31 August 2014

Artikel Amalan UBK Terbaik : Program Minda Sihat

Artikel Amalan UBK Terbaik : Program Minda Sihat



Di ambang Merdeka
Countdown

Artikel yang saya hantar untuk amalan terbaik UBK SMK Cheras untuk dihantar ke Unit HEM, JPWPKL. Jika ada rezeki dapatlah dipertandingkan mewakili JPWPKL kategori amalan terbaik perkhidmatan guru kaunseling untuk dibentangkan ke peringkat kebangsaan. Jika tidak dapat mewakili UBK JPWPKL maka saya beranggapan artikel ini boleh dikongsi juga untuk panduan guru kaunseling yang lain.
.


ABSTRAK
Program Minda Sihat merupakan program yang dijalankan bagi memperkasakan pelajar menangani stres, cabaran kehidupan sehari- hari dengan berkesan melalui kemahiran daya tindak dan teknik relaksasi yang akan membantu sekolah menangani gangguan perasaan dan kecelaruan minda, termasuk kes histeria dan kemurungan dalam kalangan murid. Program ini dijalankan pada tahun 2013 dengan fokus kepada Tingkatan 4.  Kejayaan intervensi Minda Sihat kepada pelajar yang mengalami stress yang teruk menarik UBK untuk menggunakan strategi yang sama dan meluas kepada pelajar tingkatan 3 dan 5. Ini kerana memandangkan peningkatan kes histeria dan tingkah laku agresif akibat kegagalan mengawal emosi berlaku pada tahun 2012 dan 2013 bermula dengan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 sahaja tanpa kes histeria dan kes yang serius kepada pelajar Tingkatan 4, maka Unit Bimbingan Dan Kaunseling mengubah strategi perlaksaan di sekolah.  UBK menambah beberapa inovasi pada tahun 2014 bagi meluaskan intervensi ini dalam kalangan murid sesi pagi. Antara inovasi yang dijalankan ialah mewujudkan Sudut, laluan dan wakaf Minda Sihat di tempat yang sangat strategik yang menampilkan info mengenai Minda Sihat agar para pelajar sentiasa melaluinya dan membaca maklumat hingga tertanam di minda mereka. Kedua, penubuhan fasilitator Minda Sihat dalam kalangan ahli Pembimbing Rakan Sebaya yang dilatih untuk mentadbir ujian DASS dan intervensi teknik relaksasi yang mudah bagi mengajar rakan mereka .Ketiga, mengadakan ceramah Minda Sihat sebanyak dua kali setahun dan akhir sekali bengkel mengajar para pelajar mengenai Minda Sihat sewaktu relief kelas terutama di kelas peperiksaan.  Hasil dari aktiviti intervensi yang dijalankan, kes histeria tidak berlaku di sesi pagi dari Januari hingga kini. Para pelajar yang mengalami kemurungan terutama di kelas –kelas peperiksaan dapat dikesan dengan lebih awal hasil dari kesedaran guru –guru di sekolah mengenai program Minda Sihat dan mendapat kerjasama dari guru mata pelajaran sewaktu guru kaunseling menjalankan intervensi bersama pelajar tersebut.



1.0        PENGENALAN

SMK Cheras merupakan sekolah yang terpilih untuk projek rintis Minda Sihat pada pertengahan tahun 2012 mewakili sekolah Wilayah Pudu ketika itu . Pada tahun kedua 2013 kami memfokuskan program Minda Sihat ini kepada pelajar Tingkatan 4 sahaja. Apabila saringan Minda Sihat dijalankan, kami menjalankan intervensi kepada pelajar Tingkatan 4 yang mempunyai skor teruk. Namun demikian apabila kes histeria berlaku kepada pelajar sesi pagi Tingkatan 3 dan 5 dari tahun 2012 hingga 2013 hingga menggangu pengajaran dan pembelajaran dari kelas - kelas peperiksaan yang lain, Unit Kaunseling mula mengubah strategi perlaksanaan program Minda Sihat ini. Program secara menyeluruh dijalankan kepada semua warga sekolah dan tidak tertumpu kepada pelajar Tingkatan 4 sahaja. Ini kerana kami beranggapan sewaktu saringan Minda Sihat dijalankan mungkin pelajar terlibat dengan stres dan mendapat skor yang teruk dan ada yang tidak mendapat stres ketika itu dan mendapat skor normal. Namun tidak lama kemudian, mungkin murid normal itu terlibat dengan stres. Oleh itu, UBK SMK Cheras menjadikan saringan Minda Sihat sebagai budaya untuk mengukur stres pelajar bagi klien yang berpotensi bagi semua tingkatan. Kami menjalankan inovasi dengan perlaksanaan Sudut Dan Laluan Minda Sihat di tempat yang sangat strategik agar warga sekolah sering melalui laluan ini hingga teknik relaksasi ini diserap oleh minda mereka. dan menubuhkan pasukan 15 orang ahli dari Pembimbing Rakan Sebaya yang memfokuskan mengenai amalan Minda Sihat dengan melatih ahli PRS mentadbir Ujian DASS dan menjalankan intervensi stress yang mudah. Dengan cara ini mereka dapat menjadi agen program Minda Sihat.  Diharapkan agar strategi ini dapat memperkasakan pelajar menangani stres, cabaran kehidupan sehari- hari dengan berkesan melalui kemahiran daya tindak dan teknik relaksasi yang akan membantu sekolah menangani gangguan perasaan dan kecelaruan minda, termasuk kes histeria dan kemurungan dalam kalangan murid.




2.0        OBJEKTIF

2.1          Objektif Umum

1)    Agar dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga sekolah tentang kepentingan kesihatan mental


2.2          Objektif Khusus

1)    Agar dapat mengesan gejala awal minda tidak sihat dalam kalangan murid melalui pelaksanaan saringan minda sihat bagi tahap stres, keresahan dan kemurungan.
2)    Agar dapat memberi kemahiran kepada murid sekolah tentang cara-cara menangani stres dan mengendalikan masalah emosi dan tingkah laku.
3)    Agar dapat melaksanakan intervensi stres bagi mengurangkan tahap stres dalam kalangan murid
4)    Agar dapat mengurangkan kes histeria yang berlaku di sesi pagi terutamanya di kelas peperiksaan.

3.0        KUMPULAN SASARAN
Semua pelajar sesi pagi


4.0        PELAKSANAAN PROGRAM

4.1          Tinjauan Masalah

Pada tahun 2012, kes histeria bermula dengan seorang pelajar Tingkatan 3 dan hampir mempengaruhi satu kelas 3J dan kemudian pada tahun 2013 pula seorang pelajar Tingkatan 5v1 pula dan mempengaruhi satu kelas tingkatan lima di SMK Cheras hingga menjejaskan pembelajaran dan pengajaran. Semakin lama kes histeria semakin menjadi – jadi di sesi pagi yang melibatkan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 sama ada agresif di rumah atau di sekolah. Di dapati pelajar – pelajar tersebut mempunyai masalah stres dan tidak pernah menjalani intervensi menangani stres walaupun sekolah terlibat dengan program Minda Sihat. Ini kerana kami terlalu menfokuskan program Minda Sihat dan saringan minda sihat serta intervensi stres kepada semua pelajar Tingkatan 4 sahaja seperti yang diarahkan kerana reten saringan Ujian DASS dan intervensi untuk pelajar Tingkatan 4. Pada tahun 2013, seramai 28 pelajar Tingkatan 4 yang mendapat skor teruk untuk saringan Minda Sihat telah menjalani intervensi dan  2 orang masih skor teruk tapi terkawal emosinya, manakala 26 orang telah memperolehi skor DASS sederhana stres ke normal. Oleh itu, Unit Bimbingan Dan Kaunseling ingin menjalankan program Minda Sihat yang menyeluruh kepada semua pelajar sesi pagi terutamanya yang terlibat dengan kelas peperiksaan iaitu Tingkatan 3 dan 5 berdasarkan modul Minda Sihat.



4.2     Tindakan Yang Dijalankan
Strategi 1 : Sebaran Maklumat
Bil
Aktiviti


1

Ceramah dan taklimat di tapak perhimpunan

2

Pengedaran brosur dan modul Minda Sihat kepada semua pelajar

3

Demonstrasi teknik relaksasi kepada semua pelajar

4

Taklimat kepada ibu bapa sewaktu orientasi pelajar baru

5

Taklimat kepada AJK PIBG

Strategi 2 : Saringan mengesan gejala awal minda tidak sihat dalam kalangan murid
Bil
Aktiviti

1
Saringan DASS kepada semua Tingkatan 4
Saringan DASS kepada pelajar dari tingkatan 3 dan 5 yang mengalami masalah emosi atau tingkah laku melalui rujukan ibu bapa atau guru.
2
Saringan Gaya Daya Tindak dijalankan kepada pelajar yang mempunyai DASS yang teruk dan sangat teruk untuk mengenal pasti cara pelajar menangani masalah mereka

Strategi 3 : Intervensi
(Mengurangkan tahap stres dalam kalangan murid dan melaksanakan intervensi stres)
Bil
Aktiviti

1        1
Ceramah penyelesaian masalah

2        2
Bengkel penyelesaian masalah

3
Bengkel teknik relaksasi

4
Sesi kaunseling individu

5        5
Sesi kaunseling kelompok

6        6
Rujukan kepada doktor di Klinik Kesihatan Cheras melalui rundingan dengan

ibu bapa


Strategi 4 : Pengukuhan (Memastikan program minda sihat tersebar dalam kalangan murid)
Bil
Aktiviti

1
Laluan  Minda Sihat diadakan di tempat yang strategik iaitu laluan ke kantin dan pintu pagar sekolah dari blok akademik yang mempamerkan mengenai teknik relaksasi dan teknik menangani stres yang boleh diamalkan pelajar. Diharapkan pelajar yang melalui laluan ini akan sentiasa membaca hingga tersimpan di dalam minda mereka.
2
Wakaf Minda Sihat diadakan di hadapan bilik kaunseling yang mempamerkan

mengenai teknik relaksasi untuk diamalkan oleh pelajar sambil bersantai.

3





Sudut Minda Sihat diadakan di hadapan bilik disiplin agar pelajar mengetahui

mengenai pengurusan stres terutama bagi para pelajar yang bermasalah

disiplin


4


Latihan modul intervensi stress diberikan kepada 15 ahli Pembimbing Rakan Sebaya iaitu 7 orang dari Tingkatan 5 dan 8 orang dari Tingkatan 4 merangkumi pentadbiran ujian DASS dan intervensi stres yang mudah agar dapat menjadi agen program Minda Sihat dan membantu guru kaunseling dalam mengendalikan kelompok besar dari semasa ke semasa.


5
Mengadakan ceramah Minda Sihat dua kali setahun iaitu pada penggal pertama dan kedua bagi kelas – kelas peperiksaan iaitu Tingkatan 3 dan Tingkatan 5


6
Kerap menggunakan modul Minda Sihat dalam kelas-kelas relief bagi Tingkatan 3 dan 5.


7
Menganjurkan pelbagai jenis aktiviti riadah atau program 1000 langkah menggunakan peruntukan sekolah atau dari penajaan Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan PIBG sekolah seperti berbasikal di Taman Botani, mendaki bukit dan sebagainya.






4.4     IMPAK PROGRAM

   1)    Pada tahun 2014, dari Januari hingga Ogos masalah histeria bukan sahaja berkurangan malah tidak berlaku pada sesi pagi di SMK Cheras.

  2)    Seramai 28 pelajar yang mengalami saringan Minda Sihat yang sangat teruk dan teruk dapat menangani masalah stres mereka melalui intervensi dengan guru kaunseling dan rujukan pakar perubatan. Hanya 2 orang pelajar yang memperolehi sangat teruk didapati masih berada di skor teruk di akhir Oktober tahun 2013.

  3)  Para guru lebih memahami prosedur program Minda Sihat dan mudah mendapatkan kerjasama guru-guru untuk menangani kes pelajar yang terlibat dalam projek intervensi Minda Sihat terutama bagi guru kelas – kelas peperiksaan. Ini kerana pelajar yang mempunyai masalah stres yang sangat teruk di rumah akan dimaklumkan kepada guru mata pelajaran tertentu untuk mengurangkan stres mereka di sekolah. Dengan cara ini pelajar dapat mengawal emosi di sekolah dari mengamuk atau terjadi histeria.


5.0   PENGIKTIRAFAN DAN PENANDA ARAS

  1)    Program Minda Sihat yang dijalankan di SMK Cheras sering menjadi rujukan Kementerian Kesihatan Wilayah Persekutuan sewaktu mengadakan taklimat kepada guru kaunseling dan doktor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk program Minda Sihat.

2) Guru kaunseling menulis kajian kes bertajuk : Intervensi Program Minda Sihat di Sekolah Perintis: Masalah Dan Penambahbaikan  dan membentangkan hasil kajian kes di mesyuarat bersama AJK Klinik Kesihatan Cheras untuk penambahbaikan dan disebarluas hasil kajian kes kepada sekolah – sekolah yang baru terlibat.
 
    3) Lawatan Penandaaras dari Jawatankuasa Guru Kaunseling Kuala Selangor ke Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMK Cheras. Berkongsi program Minda Sihat dengan guru-guru kaunseling tersebut.


5.0        PENUTUP
Diharapkan dengan adanya program Minda Sihat ini, pihak sekolah dapat membudayakan amalan Minda Sihat ini dalam kalangan warga sekolah dan tidak terhad kepada tenaga guru kaunseling sahaja dalam membudayakan amalan teknik relaksasi dan teknik mengurangkan stress dalam kalangan murid sekolah masing-masing. Ini kerana guru kaunseling dapat menfokuskan kepada intervensi sesi kaunseling bagi menangani masalah stres yang teruk dan sangat teruk manakala para pelajar yang lain dapat ditanamkan amalan Minda Sihat ini setiap masa dalam pengajaran dan pembelajaran guru mata pelajaran agar pelajar sentiasa bersedia dalam pengurusan stres mereka dalam kehidupan seharian. Ini kerana sekolah merupakan institusi yang berpotensi untuk menggalakkan perkembangan psikososial yang sihat dan kesihatan mental yang baik. Dengan cara ini dapat membantu sekolah menangani gangguan perasaan dan kecelaruan minda, termasuk kes histeria dan kemurungan dalam kalangan murid.



29 August 2014

Sambutan Hari Merdeka SMKC

Sambutan Hari Merdeka SMKC

Di sini ..
Lahirnya Sebuah Cinta
Sambutan Hari Merdeka Peringkat sekolah. Majlis disambut di sesi pagi dengan meriah manakala sambutan di sesi petang kami adakan bacaan Yaasin sempena menyambut kemerdekaan ke 57.

28 August 2014

Pelan Tindakan Flying Squad Menangani Histeria

Pelan Tindakan Flying Squad Menangani Histeria


Pengalaman yang berguna
Dari input yang bermakna
Modul minda yang membina
Membantu sesiapa di mana mana

Hari terakhir berkursus di mana kami perlu menyediakan pelan tindakan untuk flying squad menangani histeria ni di peringkat JPWP, Pejabat Pelajaran Wilayah dan di pihak sekolah sendiri iaitu sebelum, semasa dan selepas kes histeria berlaku. Group whats app telah dibentuk oleh urusetia untuk memudahkan kami berhubung. Di peringkat PPW Pudu, kami melantik Che Mohamad Padali iaitu partner sekolah saya selaku ketua dari kalangan guru untuk squad ni bergerak. Manakala di peringkat PPW ialah En Sepian dan En Faizul. Kumpulan saya menjalankan pelan tindakan mengenai tindakan PPW semasa kes histeria berlaku. Pembentangan dijalankan dan segala info yang kami perolehi akan dijadikan modul yang akan diterbitkan oleh JPWPKL untuk kumpulan flying squad ni bertindak dari semasa kesemasa. Perlantikan kami sebagai ahli flying squad akan dimaklumkan kepada pengetua melalui surat perlantikan yang memudahkan kami bergerak atas tiket memberi bantuan kepada sekolah terutamanya yang terkena histeria di zon kami khasnya dan kepada di JPWPKL amnya. Fokus kami kepada keupayaan membina minda yang positif dan sihat dengan keyakinan diri untuk membantu mangsa histeria bertenang dan dapat dikawal dari bertindak agresif dan menghalang dari merebak masalah histeria kepada pelajar lain di sekolah tersebut.

27 August 2014

Aplikasi Psikologi Dan Kaunseling Dalam Pengurusan Histeria

Aplikasi Psikologi Dan Kaunseling Dalam Pengurusan Histeria

Naik ke Menara Taming Sari
Belayar dengan Cruise Melaka
Cantik betul terbenamnya matahari
Siapalah yang tidak suka...

Slot menarik hari ini tentang pengurusan histeria. Penceramah TUAN HAJI ZAILAN BIN WAGIMIN selaku ketua Unit Kaunseling, Jabatan Pendidikan Selangor seorang yg sangat disegani kerana terkenal dalam membantu kes histeria di sekolah. Berguru dengan beliau merupakan satu pengalaman yg sangat berguna kerana beliau menerangkan dengan baik langkah langkah yg patut diambil oleh orang yg ingin membantu orang yg terkena histeria. Oleh kerana Selangor sangat terkehadapan dalam isu ini maka mereka telah pun memperkenalkan kit histeria yg membantu dalam menguruskan pesakit histeria. 

Persediaan seorang perawat:
1)Memahami mesej minta tolong  agar fokus kepada diri dan ingin dibantu
2) Ikhlas
3) Mahir menyakinkan denganteknik kaunseling dan psikologi
4) mengawal diri iaitu tenang, bersedia, fokus, sabar dan berdaya tahan
5) mampu memberi arahan dengan jelas, nada tinggi sambil memujuk


Transference Negatif
Teknik untuk mengalihkan pemikiran. Bersuara tinggi menggunakan kaedah mengancam, mengugut dan menyakitkan kepada diri pesakit.
Contoh : Jangan aibkan diri pada orang lain!
              Jangan tunjuk tingkah laku buruk kepada orang lain!

Transference Positif
Membawa klien kepada fitrah diri dengan suara lembut dan menyenangkan seperti
Anda ok
Anda penyayang
Anda kuat
Anda khalifah

Sapukan minyak pada jari kaki dan tangan agar selesa dari kekejangan
- Minyak wangi agar deria bau berfungsi
- Beri glukosa/garam/ gula agar deria rasa berfungsi
- Sapukan air di muka agar lebih selesa
- Ajak bercakap agar minda fokus tentang diri sekarang seperti apa yang disuka, maklumat diri dan keluarga
- Penolong dalam keadaan ceria
- Picit ibu jari kaki atau tangan agar deria sakit berfungsi 

# Ajak klien bercakap tentang dirinya dengan bimbingan.
Saya sudah ceria/ok sekarang
Saya khalifah lebih hebat dari syaitan
Saya kuat

Selepas kes rujuk kepada guru kaunseling sesi pengurusan stres





Flying skuad Zon Pudu
Kit Histeria diperkenalkan oleh Selangor
 

Telegram Channel