17 August 2014

Syawal bersama PRS Batch 2011

Terima kasih atas ingatan

Hari ini menerima kunjungan dari PRS batch 2011. Berkongsi kegembiraan dengan Zhafran mendapat tawaran psikologi kaunseling di UMS dan Atiqah Ijazah Pendidikan Sejarah di UPSI manakala Hafizuan mengikuti diploma di City Kolej dan Razneil mendapat keputusan STPM yang agak baik tetapi kerana masalah keluarga dia perlu memilih kursus separuh masa agar dapat bekerja sambil belajar. Seorang yang sangat bertanggungjawab dalam usia yang muda sejak kematian ayah dia perlu menguruskan ibu dan adik beradik yang lain. Semoga Allah memberikan ketabahan dan semangat untuk dia meneruskan cita citanya di samping membantu keluarga. Zhafran ahli PRS yang sangat rapat dengan saya dan merupakan pengerusi PRS yang sangat berbakat, fokus dan berdikari. Mempunyai matlamat hidup yang jelas dan merupakan pelajar STPM cemerlang peringkat WPKL. Selepas tamat SPM dengan keputusan cemerlang dia menolak matrikulasi sains dan mengambil jurusan sastera di peringkat STPM untuk meneruskan cita citanya. Pada ketika itu, dia tetap ke sekolah Cheras dan menghubungi saya jika mempunyai masalah. Anak yatim yang kematian ayah menyebabkan hubungan dengan ibu memang rapat. Ibunya juga mempunyai nombor telefon saya dan akan menghubungi saya jika ada perkara yang ingin dibincangkan mengenai anaknya. Zhafran mendapat tawaran biasiswa yang menaja ijazahnya dan telah ditawarkan ke jawatan di Genting Highland jika dia berjaya menamatkan pengajian. Menjadi satu penghargaan bukan menyusahkan jika bekas pelajar masih lagi menghubungi berkongsi suka duka mereka seperti mana mereka di sekolah dulu. Saya bersimpati apabila dia mengadu mendaftar diri seorang diri di UMS nanti kerana keadaan ibunya yang tidak mengizinkan untuk menghantarnya. Tetapi saya kagum dan memberikan semangat kerana saya tau pelajar ini sangat berdikari. Dia seorang survival..mencari wang saku sendiri dalam usia yang muda dengan melakukan pelbagai kerja dan sangat suka melabur duit untuk pelbagai bahan bacaan ilmiah menyebabkan pelajar ini kaya dengan pengetahuan am. Saya berharap kejayaan senior PRS ini boleh dijadikan idola buat junior mereka dan cepat atau lambat menggengam ijazah bergantung kepada latar belakang masing masing yang unik. Yang penting saya berharap setiap pelajar ini tidak mudah mengalah dan patah semangat setiap kali ujian hidup menimpa mereka. Dugaan dijadikan kekuatan untuk lebih kuat menongkah arus.

 

Telegram Channel