KAJIAN
KES OLEH
PUAN
NURHAIZA BT CHE MAT
TAJUK:
PENYESUAIAN DI SEKOLAH
PENGENALAN
Kes ini berkaitan
dengan masalah murid untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru . Di
dalam kajian kes ini Guru Bimbingan Dan Kaunseling meneroka untuk membantu
menangani masalah ini dengan menggunakan model Terapi Realiti yang diutarakan
oleh William Glasser dimana guru kaunseling bertindak secara aktif, mengarah
dan kognitif dan guru kaunseling yakin murid mempunyai keupayaan tertentu untuk
melakukan sesuatu pada masa kini bagi mengubah tingkah lakunya. Masalah
penyesuian yang dihadapi oleh individu timbul dari kegagalan individu memenuhi
keperluan-keperluannya. Masalah psikologikal seperti kesedihan, keresahan,
kemurungan akan luput apabila keperluan ini dipenuhi.
LATAR
BELAKANG KLIEN
Klien dikenali dengan nama
Athirah (bukan nama sebenar) merupakan murid dari sekolah tahfiz. Selama 5
tahun murid ini tidak pernah berada dalam sekolah aliran perdana hanya sekolah
swasta aliran tahfiz menyebabkan batasan pergaulan sosialisasi sangat terhad.
Murid ini tinggal dengan ibunya sejak berumur 6 tahun apabila ibu bapa
bercerai. Ibu berkahwin lain ketika berumur 7 tahun dan murid berpindah pula mengikuti
keluarga barunya. Namun demikian, ketika berumur 8 tahun, ibunya meninggal
dunia dan murid diletakkan di bawah penjagaan keluarga datuknya sebelah ibu.
Tetapi datuknya tidak dapat membela Athirah kerana telah berkahwin lain dan
mempunyai keluarga yang baru. Oleh itu hanya beberapa bulan tinggal dengan
datuknya, Athirah diserahkan kepada
datuk saudaranya pula selama 2 tahun. Kemudian sewaktu berusia 11 tahun, murid ingin
tinggal kembali dengan datuknya tetapi datuknya menempatkan Athirah di asrama
tahfiz kerana masalah kewangan. Akhirnya, Athirah lebih selesa berada di asrama
ini dan tidak pernah balik ke rumah sesiapa pun sewaktu cuti sekolah mahupun
Hari Raya. Athirah tidak pernah menghubungi bapa kandungnya sejak ibunya
meninggal dunia kerana tidak dibenarkan oleh datuk atau saudara maranya. Masalah
Athirah bermula dengan masalah disiplin di sekolah asrama tahfiz apabila dia
diarahkan dipindahkan ke kawasan asrama yang lain. Murid ini melarikan diri
dari asrama dan bergelandangan selama beberapa hari. Hinggalah seorang pegawai
polis membantunya untuk pulang ke rumah datuknya. Memandangkan datuknya tidak
dapat menjaga Athirah dan dalam masa yang sama Athirah berdegil untuk tidak
mahu kembali ke asrama maka datuknya
bersetuju dengan permintaan Athirah yang ingin mencari ayah kandungnya. Berpandukan
alamat dalam simpanan lama datuknya, Athirah berjaya berjumpa dengan ayah
kandungnya. Apabila tinggal dengan ayah
kandungnya, Athirah perlu bersekolah di sekolah menengah harian biasa yang
mempunyai pelbagai kaum dengan saiz kelas yang agak besar menyebabkan Athirah
merasa tertekan untuk menyesuaikan diri. Pengalaman berada 5 tahun di sekolah
tahfiz agak menyukarkan Athirah menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan
persekitaran barunya dan dalam masa yang sama Athirah juga perlu menyesuaikan
diri dengan persekitaran di rumah memandangkan hampir 10 tahun dia tidak
berjumpa dengan ayah kandungnya. Namun sesi kaunseling lebih berfokuskan kepada
penyesuaian di sekolah memandangkan murid ini selesa dengan keluarga bapanya
yang melayannya dengan baik.
TINDAKAN/PROSES
KAUNSELING
SESI
KAUNSELING PERTAMA
Pada hari pertama, murid
datang dengan ditemani oleh bapanya. Namun demikian, murid yang sepatutnya berada
di tingkatan 4 itu enggan mengikuti persekolahan pada hari pertama dan mengikut
bapanya pulang selepas pendaftaran. Bapa menceritakan serba sedikit latar
belakang pendidikan anaknya manakala murid membisu. Pendaftaran dijalankan
lewat hampir 3 bulan kerana masalah dokumen murid dan murid sendiri tidak
bersedia untuk ke sekolah hingga dipujuk oleh bapanya.
Pada hari kedua, murid hadir
ke sekolah tetapi enggan masuk ke kelas yang telah ditentukan untuknya. Murid
ini hanya membatu apabila diarahkan masuk ke kelas dan membisu. Guru membawa
murid ke bilik kaunseling untuk menjalankan sesi kaunseling individu namun
murid banyak mendiamkan diri dan kurang memberikan kerjasama. Oleh itu pada
sesi kaunseling pertama guru kaunseling banyak menjalankan rapport untuk
membina hubungan dengan bertanya khabar, keadaan kesihatan, dan membantu
membimbing murid mengisi borang rekod sesi kaunseling sambil bertanyakan
maklumat mengenai latar belakang keluarga yang asas dan pendidikan asas . Dalam
sesi kaunseling pertama, peringkat membina hubungan dan penstrukturan
dijalankan. Penstrukturan mengenai prosedur dan etika dalam sesi kaunseling dan
menjelaskan peranan murid sebagai klien dan tanggungjawab masing – masing.
Etika kerahsiaan dan bantuan dari guru kaunseling untuk murid tersebut
berkongsi masalahnya.
SESI
KAUNSELING KEDUA
Pada hari ketiga, sesi
kaunseling kedua dijalankan dengan guru kaunseling menyakinkan murid mengenai
bantuan kaunseling hanya boleh diberikan jika murid juga bekerjasama untuk
dibantu. Guru menggunakan soalan tertutup ya atau tidak dalam meransang murid
untuk memberikan respon. Murid dibiarkan dahulu di bilik kaunseling di ruang
belajar dan tidak masuk ke kelas. Guru kaunseling keluar masuk bilik kaunseling
akan menyapa dan berbual santai di luar bilik sesi kaunseling. Ini kerana
tingkah laku murid ini sendiri yang memandang semua orang seperti kebimbangan
yang melampau menyebabkan guru kaunseling yakin murid ini belum bersedia untuk
masuk ke dalam kelas.
SESI
KAUNSELING KETIGA
Pada sesi ini, guru
kaunseling membantu murid sedar tentang tingkah lakunya yang tidak berkesan. Asas
utama terapi realiti ialah menolong klien menilai sama ada keperluannya
realistik dan sama ada tingkah lakunya dapat menolongnya. Guru kaunseling perlu
menolong klien sedar dan selepas itu membantu klien meningkatkan tahap
kesedaran itu. Terapi realiti menekankan konsep tanggungjawab iaitu tingkah
laku untuk memenuhi keperluan seseorang tanpa menggangu orang lain. Dari
rapport dengan guru kaunseling dan maklumat penerokaan latar belakang diri
murid, didapati murid ini belum bersedia dengan perubahan persekitarannya lagi.
Murid baru sahaja tinggal bersama ayah kandungnya semula setelah 10 tahun tidak
pernah berjumpa dan berhubung sejak ibu bapanya bercerai. Malah baru juga tahun
lepas, murid melarikan diri dari asrama tahfiz apabila didenda dihantar ke
sekolah tahfiz yang lain walaupun dia sudah menginap selama 5 tahun di sana.
Datuk yang diharapkan memberikan perlindungan kepadanya enggan menjaganya
kerana masalah keluarga dan kewangan. Malah penolakan demi penolakan dari
kecil, menyebabkan murid bimbang dan gementar setiap kali perlu berhadapan
dengan situasi baru.
Terapi realiti menekankan
tingkah laku masa kini. Guru kaunseling menumpukan kepada tingkah laku kini
murid mengenai sikapnya yang tidak mahu masuk ke kelas. Guru kaunseling
mencabar murid agar sikap itu boleh diubah dan mencuba untuk mengenalpasti kesesuaian
berada di dalam kelas tersebut.
Selepas sesi kaunseling
ketiga, murid bersetuju untuk masuk ke kelas dengan pemantauan daripada guru
kaunseling. Namun demikian pada waktu rehat sahaja, murid ini akan datang ke
bilik kaunseling. Baru tiga hari di kelas baru, murid memohon untuk bertukar
kelas dengan suara yang terdesak akibat stres . Dari temubual dengan rakan
sekelas, mereka memaklumkan murid ini hanya mendiamkan diri dan mengasingkan
dirinya. Ini menambahkan keyakinan guru kaunseling bahawa murid ini tidak dapat
menyesuaikan diri di dalam kelas ini.
SESI
KAUNSELING KEEMPAT
Dari sesi penerokaan
mengenai masalah murid ini menyesuaikan diri di kelas baru ialah bilangan murid yang ramai hampir 38 murid di
dalam kelasnya yang bising dan berbilang kaum. Dia seperti kehilangan punca dan
semua murid sudah mempunyai klik mereka yang tersendiri dan tiada motivasi
untuk memulakan salam perkenalan apatah lagi menyambut salam dan berbual dengan
orang lain. Murid merasakan penolakan berada dalam kelas tersebut. Kehidupan
selama 5 tahun berada dalam sekolah tahfiz yang mana saiz kelas adalah kecil
antara 15 orang sahaja di dalam kelas dan tidak bercampur jantina dan kaum
menyebabkan murid tidak betah di dalam kelas tersebut. Klien menangis
bersungguh –sungguh menunjukkan yang dia memang tidak sanggup untuk meneruskan pembelajaran
di dalam kelas itu dan ingin berhenti. Dalam terapi realiti, klien diminta membuat
penilaian dengan menilai kualiti tindakannya. Maka guru kaunseling bertanya
dengan menggunakan soalan yang sesuai apakah perancangannya selepas ini? Murid
meminta peluang untuk bertukar kelas yang lebih sesuai dengan keperluannya.
Guru kaunseling membimbing murid untuk meneroka kemungkinan tingkah laku dan
merangka pelan tindakan. Sepanjang proses perancangan ini, murid diingatkan
agar sentiasa mengambil tanggungjawab untuk pilihan dan tindakannya. Guru
kaunseling menentukan secara terarah bahawa murid harus bersedia dengan pilihannya.
Persetujuan dicapai di antara guru kaunseling dan Athirah iaitu guru kaunseling
akan mengenal pasti kelas yang sesuai dengan keperluannya dan klien pula perlu
bersedia dengan tidak memberi alasan yang sama. Kontrak dalam bentuk perjanjian
di mana klien akan cuba menyesuaikan diri di dalam kelas sekurang-kurangnya
dalam masa seminggu hari persekolahan dan guru kaunseling akan menyemak
kehadiran klien. Jika perancangan ini berjaya, guru kaunseling akan membantu
klien mendapatkan tempat di kelas tersebut dengan membuat permohonan kemasukan
ke kelas mata pelajaran vokasional memandangkan kini sudah bulan April dan
klien sudah terlewat 4 bulan memulakan persekolahan tingkatan 4. Sekiranya dalam masa seminggu, klien sudah
memberikan alasan maka klien harus bertanggungjawab dengan pilihan seterusnya
iaitu perbincangan yang melibatkan bapanya untuk menentukan hala tuju akademik
klien sama ada kembali ke sekolah tahfiz yang berhampiran tetapi berjauhan
kembali dengan bapa kandungnya atau memilih ke sekolah lain yang menepati
keperluan klien.
Selepas sesi keempat, guru
kaunseling berbincang dengan penyelaras tingkatan empat untuk menempatkan murid
ini dalam kelas sementara di kelas yang lebih sesuai. Di tingkatan 4, hanya kelas mata pelajaran
vokasional sahaja yang mempunyai bilangan
murid antara 15 – 20 orang sahaja.
Maka satu dari kelas tersebut dipilih yang majoritinya ialah murid
perempuan dan beragama Islam. Murid bersetuju untuk mencuba masuk ke dalam
kelas tersebut dan guru kaunseling sendiri yang menghantarnya ke dalam kelas tersebut.
Guru kaunseling memanggil 2 orang murid perempuan kelas tersebut dan meminta
mereka untuk membantu guru kaunseling membantu Athirah menyesuaikan diri di
sekolah ini dengan mengajaknya ke kantin sekolah, atau jika ada pergerakan ke
mana-mana dalam kawasan sekolah ini sama ada ke perpustakaan, makmal dan bilik
katering sila beriringan dengan murid baru ini. Pada hari ini, buat pertama
kali Athirah tidak datang ke bilik kaunseling sewaktu rehat memberikan satu
petanda yang positif. Dalam masa yang sama, guru kaunseling akan masuk relief
kelas tersebut untuk melihat sendiri sama ada Athirah sudah boleh menyesuaikan
diri. Guru menjalankan aktiviti sewaktu relief untuk melihat respon murid
bersosialisasi di dalam kelas.
HASIL
SESI KAUNSELING
Guru kaunseling memaklumkan
bahawa guru gembira dengan perubahan positif murid yang ceria kerana murid
sudah boleh tersenyum dan kelihatan boleh menyesuaikan diri dalam kelas baru
dan menjadi kawan baik kepada dua orang murid yang telah guru kaunseling
meminta pertolongan untuk membantunya. Ternyata strategi itu membantu murid
sebagai satu sumber sokongan untuk murid ini merasa selesa berada di dalam
kelas kerana diterima sebagai sebuah keluarga, Apabila murid sendiri merasa
selesa, dan dapat berinteraksi dengan orang lain, maka dengan mudah pula orang
lain akan datang menghampiri untuk menjalinkan persahabatan dengan Athirah.
Guru –guru subjek juga memberikan respon yang positif apabila selepas setahun
berlalu, murid ini sudah boleh menjalankan aktiviti kokurikulum, aktiviti luar
dan adakalanya bertukar-tukar kawan yang berjalan dengannya.
RUMUSAN
Dengan penggunaan
model Terapi Reaiti ini, kes dapat dikendalikan dengan lancar. Ia mudah
dipraktikkan kerana bersifat realistik dan praktikal. Matlamat terapi ini untuk
mengatasi masalah tingkah laku dalam kalangan remaja. Kebolehpercayaan terhadap
kemampuan individu untuk memimpin dirinya sebagai seorag yang bertanggungjawab
telah memberikan satu penghormatan dan sokongan moral kepada individu itu. Ia
mrupakan satu motivasi dalaman yang amat kuat untuk membantu individu berusaha
memperbaiki tingkah laku untuk mencapai matlamat masa depan dengan lebih
berjaya.
RUJUKAN
Othman Mohamed, Halimatun
Halaliah Mokhtar, Maznah Baba dan Wan Marzuki Wan
Jaafar (2008). Srategies In Counselling
Practices. Serdang: Universiti Putra Malaysia
Sapora Sipon dan Ruhaya
Hussin (2008). Teori Kaunseling Dan Psikoterapi. Bandar Baru Nilai: Universiti Kebangsaan
Malaysia
Sometimes you need to sacrifice
Something that matters to you
To offer something
That matters more to someone else...