Total Pageviews

3 September 2014

Sesi Kaunseling Kes Kemurungan Murid

Thank you ....
When your ex PRS 
Batch 2008/F3
Drop by and say hi


Hari ini nak berkongsi mengenai kes depress pelajar sehingga menjejaskan persekolahan selama hampir setahun.

Mendengarkan kisah duka seorang ibu yang menceritakan mengenai masalah anak perempuannya seorang pelajar ting 4 yang hampir 2 minggu tidak pergi ke sekolah kerana isu yang ibu sendiri tidak tahu. Saya cuba membayangkan muka pelajar ini tetapi apabila dimaklumkan bahawa pelajar ini baru sahaja bertukar ke sekolah saya dan anaknya ke sekolah ini baru beberapa minggu sehingga tiba -tiba tidak mahu bersekolah lagi. Pelajar ini juga tidak mahu bercakap dengan sesiapa.

Saya cuba meneroka keadaan fizikal pelajar dari si ibu untuk mengenal pasti tahap stres pelajar. Difahamkan yang si anak hanya suka berkurung dalam bilik dalam keadaan gelap dan hanya baring atau tidur sepanjang hari. Pelajar juga mengalami gastrik yang agak teruk. Orait simptom depress memang ada dan saya meminta agar si ibu memujuk anaknya datang ke sekolah sekurang-kurangnya bukan untuk masuk ke kelas tetapi duduk dengan saya di bilik kaunseling bagi menangani kes kes pelajar depress yang memang kita handle with care, label yang diberi kepada masalah pelajar depress. Ada yang boleh ditangani oleh saya tanpa perlu rujukan ke doktor dan ada yang perlu berjumpa doktor bergantung kepada kes dan hasil konsultasi bersama ibu bapa. Ada yang akan duduk di bilik kaunseling dahulu selama beberapa hari atau seminggu dan menjalankan intervensi dengan saya sehingga kita dapat mengenal pasti tahap stres mereka sama ada untuk intervensi bersama guru kaunseling sahaja dan menjalankan konsultasi bersama ibu bapa atau keluarga. Atau tahap stress yang memerlukan bantuan luar iaitu doktor perubatan agar saya dapat menyediakan laporan bagi rujukan doktor untuk diambil tindakan seterusnya.

Pada hari yang dijanjikan, si ibu membawa anaknya ke bilik kaunseling. Bagi kes khas begini, saya akan bekerjasama dengan guru kelas untuk tidak mengeluarkan surat amaran ponteng sekolah kerana pelajar mempunyai masalah kesihatan dan si ibu sangat update perkembangan anak yang jelas bukan kes ponteng sekolah. 

Orait fizikal anak memang kelihatan sangat lesu dengan keadaan yang tidak terurus. Ibu betul betul bingung dengan apa yang berlaku. Seorang ibu tunggal mualaf yang begitu kecewa dengan apa yang berlaku pada anaknya apatah lagi membayangkan anaknya akan dibuang sekolah. Setelah meminta ibu meninggalkan anaknya di bilik kaunseling untuk separuh hari, saya cuba meneroka apa yang berlaku. 

Menjalankan sesi kaunseling kepada pelajar yang depress bukan sesuatu yang mudah untuk mendengar dengan jelas butir percakapan mereka, kerana mereka kosong benar -benar jasad sahaja di situ. Kena pelbagaikan teknik untuk menarik mereka berkongsi cerita..yang mana akhirnya saya dapat meneroka kisah perjalanan hidup pelajar ini untuk memahami perasaannya dengan lebih baik.
Ini kerana pada tahun lepas, kisah hidup yang signifikan sedih banyak berlaku. Bermula dengan hubungan ibu bapa yang tidak begitu baik dan si bapa meninggalkan keluarga dan menceraikan ibunya merupakan permulaan episod stres pelajar. Ini kerana pelajar sangat rapat dengan bapanya. Peristiwa berlaku beberapa bulan sebelum peperiksaan PMR dan setelah itu si bapa terus meninggalkan keluarga dan pelajar sangat merasakan kehilangan bapanya. Pelajaran terjejas dan sentiasa tidak hadir ke sekolah. Keputusan peperiksaan PMR pelajar sederhana sahaja walaupun dia adalah pelajar pandai. Episod stres pelajar makin menjadi jadi apabila di tingkatan empat, dia perlu berpisah kelas dengan kawan karibnya yang tidak pernah berpisah kelas sejak sekolah rendah hingga ke tingkatan tiga. 

Pelajar mempunyai satu tanggapan dalam mindanya, semua orang yang disayanginya akan meninggalkannya. Oleh itu dia mula menjadi possessive. Tidak boleh terima hakikat jika kawan baiknya bercakap dengan orang lain atau meluangkan masa dengan orang lain kerana berlainan kelas. Walaupun masa rehat, mereka masih rehat bersama tetapi lama kelamaan pelajar merasa cemburu bila kawan lain mendekati kawan baiknya. Sejak itu, pelajar ini yang menjauhkan diri dari rakannya dan tidak mahu berkawan langsung dengan kawan baiknya dan mula tidak hadir ke sekolah. Ibu mengambil langkah cepat dengan menukarkan anak ke sekolah lain. Oh ye..tidak mudah untuk membiasakan diri dengan suasana sekolah baru dan mata pelajaran elektif tingkatan 4 yang baru jika di awal persekolahan ting 4 pelajar tidak mengikutinya selama beberapa bulan. Pada hari pertama lagi di sekolah baru, pelajar memang tidak bersemangat. Oleh itu apabila di tegur oleh guru, pelajar sudah menujukkan reaksi yang kurang menyenangkan dan hanya bertahan beberapa minggu di sekolah tersebut kerana masalah disiplin dan pelajar juga tidak boleh ditegur kerana terlalu sensitif. Sejak itu pelajar duduk di rumah dan tidak ke sekolah. Si ibu mengambil inisiatif menukarkan pelajar ke sekolah ketiga tidak sampai 7 bulan sesi persekolahan 2014. 

Di sekolah ini, pelajar ditempatkan di kelas Sains walaupun guru penyelaras telah memaklumkan kepada siibu, pelajar akan melalui persekitaran yang agak sukar memandangkan persekolahan pelajar di ting 4 sentiasa on off sahaja. Hanya seminggu dua bersekolah, paten tidak hadir sekolah berulang lagi kerana pelajar terasa hati dengan seorang guru di sekolah yang menegurnya. Ibu mula merasa kecewa dengan perangai anak yang mula berkurung dalam bilik semula. Menangani masalah depress pelajar ini saya memang memerlukan bantuan luar dari doktor psikiatri kerana hasil sesi kaunseling sebanyak 3 kali, saya dapat merasakan kesan emosi yang terlalu dalam selepas penceraian ibunya, ditinggalkan begitu sahaja oleh si bapa tanpa bertanya khabar sehingga kini, berpisah dengan kawan baik benar - benar membuatkan pelajar merasakan hidupnya tidak berharga sama sekali. Dia sukar menjalinkan hubungan dengan rakan sekelas apatah lagi rakan lain di sekolah. Hampir seminggu bersama saya di bilik kaunseling tanpa masuk ke kelas, minggu kedua saya meminta kawan di dalam kelasnya datang ke bilik kaunseling untuk bertanya khabar dan kehadiran pelajar ketika ini masih on off. Pelajar terus tidak hadir apabila masuk ke kelas semula dan terus memberontak apabila diminta oleh ibu untuk bersiap ke sekolah. Apabila ujian DASS dijalankan seawal sesi kaunseling, memang pelajar mempunyai depress yang sangat teruk. Pelajar ini sudah menunjukkan perkembangan yang sedikit positif apabila bersetuju untuk masuk ke kelas, namun bagi saya persekitaran belum cukup kondusif untuk pelajar ini survive dengan emosi yang agak rapuh. Tahap sensitif yang begitu tinggi menyebabkan pelajar ini menarik diri.

Konsultasi dengan ibu untuk berbincang tahap depress anaknya ini memang memerlukan bantuan doktor. Saya cuba memujuk pelajar untuk bekerjasama dengan ibu apabila dibawa ke hospital. Saya menyiapkan laporan bagi ibu yang sudah bersedia untuk berjumpa dengan doktor psikiatris dan dalam masa yang sama meminta ibu bersabar dan membimbing ibu tadi bagaimana berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang yang mengalami depress yang teruk. Bagi kes begini pelajar tidak dibuang sekolah apatah lagi menerima surat amaran kerana perkembangan pelajar sentiasa mendapat kerjasama ibu tetapi lebih baik jika ibu menanguhkan persekolahan anak.  

Selepas konsulatasi, ibu bersetuju menangguhkan sesi persekolahan anaknya dan fokus kepada usaha memulihkan semangat anak yang hilang dari memujuk anak ke sekolah setiap hari. Bantuan ubatan depress juga diperlukan kerana pelajar ini sudah menunjukkan simptom krisis emosi yang teruk yang perlu ditangani satu persatu. Saya memberikan sokongan kepada si ibu agar bersabar dengan dugaan dan hasil dari kekerapan berhubung antara satu sama lain, saya dapat merasakan keperitan di pihak ibu menangani masalah hidup dan berdoa agar diberi kekuatan kepadanya agar sihat fizikal dan emosi yang stabil untuk membesarkan anak- anak seorang diri. Tidak mudah bagi sesiapa sahaja yang bergelar ibu, untuk melihat anak yang selama ini dikandung dan dibesarkan secara sihat dan ceria tiba - tiba berubah kesihatan mental dan fizikal.







No comments: