2 June 2015

Mengejar Pelangi...Farisha!

Keratan akhbar 27 Mei 2015 Sabtu menyiarkan mengenai pelajar saya Norfarisha Mohd Soffian berkaitan keluarganya yang miskin. Akhbar penuh satu muka surat itu dibawa oleh Cikgu Rozinani kepada saya kerana pelajar ini memang sangat akrab dengan Unit Bimbingan Kaunseling.

Saya rapat dengan pelajar yang sangat bersopan santun ini, mempunyai tutur kata yang baik di akhir Ting 3. Pelajar ini mendapat keputusan cemerlang 8A dalam PMR dan mengambil keputusan PMR tanpa ditemani sesiapa. Dia tidak mempunyai telefon bimbit seperti kebanyakan rakan sebayanya. Dia menangis menerima keputusan PMR dan meminjam telefon bimbit Cikgu Padali untuk menelefon ibunya. Sebenarnya di sekolah menengah harian biasa tempat saya bertugas di mana majoriti pelajar tinggal di kawasan PPR, maka cerita Farisha adalah cerita yang memang dialami oleh ramai pelajar sekolah saya. Guru kebajikan sekolah sangat efisien tetapi apabila melibatkan ramai pelajar maka pelbagai latar belakang keluarga seperti mempunyai disiplin yang baik dan mempunyai kedatangan ke sekolah yang baik juga adalah kriteria nilai tambah untuk diberikan bantuan oleh pihak sekolah selain dari membantu mendapatkan biasiswa Baitulmal bagi pelajar.Saya selalu melihat pelajar ini bergegas balik sekolah sebaik sahaja tamat sesi persekolahan dan jarang stayback. 

Sewaktu di tingkatan 4, pelajar ini melibatkan diri dengan Pembimbing Rakan Sebaya dan memang beliau disenangi oleh kawan-kawan sebaya yang menyebabkannya terpilih menjadi Pengerusi PRS 2014/2015. Dari sinilah hubungan kami akrab dan saya baru mengetahui mengenai latar belakang keluarganya yang kurang berkemampuan. Menjalankan sesi kaunseling individu saya benar -benar kagum dengan ketabahan pelajar ini seawal usia muda remaja sudah mula menggalas tugas berat.Oh ye..memandangkan kekangan waktu untuk aktif dengan kokurikulum, saya mula melibatkan Farisha dengan hampir apa sahaja aktiviti kokurikulum yang boleh disertainya dengan menjalankan tugasan di rumah. Ini kerana dia perlu balik ke rumah segera bagi membantu ibunya membungkus nasi lemak untuk dijual di waktu petang dan menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Abang tinggal nun jauh di asrama menyebabkan Farisha adalah tulang belakang ibunya di rumah. Sebagai remaja, memang banyak perubahan , permintaan dan dilema. Dia juga tidak lepas dari mengalami tekanan dan adakalanya memang saya nampak dia menangis di bilik kaunseling. Adakalanya dia terlelap di bilik kaunseling sementara menunggu kawan untuk pulang bersama. Pelajar ini harus bijak mengatur masa kerana kebanyakan masa di rumahnya dihabiskan dengan membuat kerja-kerja rumah dan menjaga kebajikan adik-adik sewaktu ibu menjual di gerai. Mempunyai adik kembar berumur dua tahun ketika itu dan seorang lagi adik berumur  tiga tahun memang menuntut kesabaran yang tinggi. Hanya apabila lewat malam ketika adik adik sudah terlena, baru dia berpeluang membaca buku di tangga koridor rumah pangsa itu.

Sebagai seorang anak, siapalah yang tidak terkesan dengan perkahwinan ibunya yang gagal di tengah jalan. Farisha mewarisi sikap ketabahan ibunya..tidak mengalah apatah lagi mengeluh dan mengadu domba kepayahan keluarganya kepada orang lain. Ibunya juga bukan seorang yang meminta -minta dan tidak suka jika masalah keluarga dibincangkan dan diberikan pertolongan oleh orang lain tanpa berbincang terlebih dahulu dengan siibu. Mempunyai 3 orang sahabat karib yang juga ahli PRS, kepada merekalah saya sering merisik khabar jika saya merasakan emosinya tidak berapa ok ketika itu terutama jika Farisha tidak hadir ke sekolah. Ibunya sangat mementingkan keselamatan anak-anak, walaupun jarak rumah dan sekolah dekat, tetapi ibunya tidak akan membenarkannya berjalan seorang diri ke sekolah jika sahabat karibnya tidak bersama atau jika tiada siapa yang dapat menghantarnya. Mungkin kehidupan sering dilanda badai menyebabkan jiwa pelajar ini sangat kental. Kehidupan remajanya tidak seligat remaja seusia dengannya. Tidak mudah untuk keluar bersosial pada hujung minggu. Malah jika ada projek kaunseling pada hari Sabtu juga, sukar untuk dia hadir ke sekolah. Farisha sangat menyayangi adik adiknya walaupun status mereka ialah adik tirinya terutama tiga yang kecil, jelas kelihatan jika dia tersenyum bercerita celoteh adik adiknya walau dia penat menguruskan kehendak mereka malah dia risau jika bapa kandung adik -adik tirinya itu datang menziarahi kerana bimbang adiknya akan berpisah dengannya...sehingga saya terpaksa menenangkannya pada satu ketika dia tidak dapat mengawal emosinya. Bonding kakak dan adik yang cukup kuat bak kata Farisha..sayalah yang menjaga mereka dari lahir hingga sekarang bukan bapa mereka!

Sebagai guru kaunseling saya pernah sekali mengunjungi ke rumahnya untuk mendekati ibunya agar memberi kelonggaran untuk pelajar ini menjalankan aktiviti kokurikulum di sekolah dengan jaminan saya sendiri akan menghantar jika terlewat balik sebelum pukul 3 petang. Selain itu, saya juga ingin melihat sendiri kepayahan keluarga ini.  Dari sesi konsultasi bersama ibu pelajar ini, saya dapat menyelami bukan mudah membesarkan anak 7 orang dengan dua bekas suami yang masih hidup tetapi tidak dapat memberikan nafkah dengan baik untuk anak-anak...bukan senang. Pihak sekolah cuba membantu dengan menempah nasi lemak dari ibunya  jika ada program besar di sekolah. Oh nasi lemak air tangan ibunya memang sangat sedap. Unit Kaunseling sendiri akan menempah nasi lemak ini jika mengendalikan kursus bersama PRS atau program bersama pelajar di luar sekolah.Tempahan begini lebih digemari ibunya kerana dapat bekerja di rumah sahaja tanpa perlu membuka gerai jualan dan keuntungan lebih besar memandangkan jualan kos di gerai hanyalah sebungkus nasi lemak berharga RM 1.00 kerana tidak dijual bersama lauk pauk nasi lemak. Jika tempahan, maka dapat dijual bersama lauk pauk. Saya pernah bertanya mengapa tidak dijual bersama lauk pauk jika keuntungan lebih tinggi. Dengan pantas Farisha menjawab ibunya tidak mahu memotong rezeki orang lain, kerana gerai berhampiran terlebih dahulu menjual lauk pauk nasi lemak dan kurang manis jika hasil jualan adalah sama! Wah mulia betul hati keluarga ini :). Namun tempahan biasanya hanya cukup sekadar menampung keperluan asas keluarga. Namun jiwa ibunya begitu bersemangat meneruskan hidup dengan membuat pelbagai pekerjaan satu semangat yang menyentuh hati sesiapa sahaja bergelar ibu. Dugaan demi dugaan dalam jualan , jatuh bangun dalam memastikan kelangsungan jualannya diharung juga untuk mendapatkan rezeki.  Sejak itu kami sentiasa berhubung jika ibunya ingin mencari Farisha terutama jika Farisha terpaksa balik lewat dari sekolah.

Tahun ini pelajar ini akan mengambil SPM , saya agak risau melihat prestasi akademiknya yang agak merundum berbanding kecemerlangannya di PMR. Silibus akademik aliran sains di ting 4 dan 5 agak sukar, dan menelaah sendiri bukanlah satu option yang baik seperti mengulangkaji PMR. Pelajar ini tidak mengambil kelas tambahan di luar..kos dan juga masa untuk ke pusat tuisyen agak sukar untuk diadjust dengan keperluan keluarga. Marilah kita sama -sama berdoa agar keberkatan hidup membantu orang tuanya memberikan sinar bahagia dan dimurahkan rezeki agar perjalanan hidupnya seperti yang diimpikan.

Wake up at 3 am
How i wish my dreams 
Come true


Sambutan Hari Guru 2015
 

Telegram Channel