22 October 2017

Artikel Prosiding Amalan Terbaik Kaunseling Disiplin Kebangsaan: Program SUIT

PROGRAM SUIT MENINGKATKAN KEHADIRAN MURID KE SEKOLAH


ABSTRAK

Program SUIT iaitu Sahsiah Unggul Individu Terbilang merupakan program peningkatan kehadiran murid ke sekolah.  Ini kerana peratus kehadiran murid yang semakin merundum iaitu 83% pada tahun 2014, dengan bilangan surat amaran mencecah 1027 untuk 668 murid ponteng sekolah. Menggunakan populasi murid SMK Cheras untuk kajian ini bagi dan populasi murid Tingkatan 5 ponteng tegar dan masalah disiplin berat bagi kategori butterfly SUIT.  Menggunakan analisa deskriptif, impak program ini berkesan meningkatkan kehadiran murid ke 90% pada penggal pertama persekolahan tahun 2017. Bilangan surat amaran ponteng dan bilangan murid ponteng sekolah juga berjaya dikurangkan.
Kata kunci : ponteng sekolah, masalah disiplin

LATAR BELAKANG
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, terdapat 11 anjakan untuk transformasi sistem iaitu merujuk kepada anjakan ke 10 iaitu memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dengan cara mengaitkan setiap program kepada keberhasilan murid yang jelas dan merasionalkan program impak rendah setiap tahun untuk ditambahbaik.. Berdasarkan aspirasi transformasi daerah 2.0, kehadiran murid ke sekolah ialah dengan indikator prestasi 95% sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka dengan kehadiran murid di SMK Cheras pada tahun 2014 hanyalah 83%, dengan bilangan surat amaran mencecah 1027 untuk 668 murid ponteng sekolah, maka satu pendekatan sistematik dan berimpak tinggi perlu dijalankan oleh pihak sekolah. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 8/2001:Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah, maka program dilaksanakan berdasarkan intipati surat pekeliling tersebut mengenai pemantapan pengurusan  disiplin dan kaunseling sekolah, perlaksanaan sekolah penyayang dan permuafakatan ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Menurut Dr James Ang ( 2007) dalam bukunya berjudul Pengurusan Disiplin Murid, pengurusan disiplin adalah perkhidmatan membangunkan modal insan dan institusi sekolah kerana disiplin murid mempunyai kesan kepada pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya pengurusan disiplin yang mantap dan berkesan, ia membantu meningkatkan lagi kualiti pengajaran guru dan seterusnya pembelajaran murid.
Pendekatan Teori
Pendekatan teori berdasarkan Teori Pelaziman Skinner (1904), di mana ia digunakan untuk  pengukuhan positif berdasarkan prinsip meningkatkan  tingkah laku yang positif kerana adanya ransangan. Bentuk bentuk pengukuhan positif ialah hadiah, dengan pujian dan kata – kata positif untuk mengukuhkan tingkah laku yang positif seperti memberi ganjaran setelah perlakuan berulang/ diperkuatkan atau memberi ucapan tahniah dan kata – kata jika tingkah laku adalah positif. Pengukuhan negatif ialah meransang serta merta perasaan yang tidak selesa. Murid rasa tidak selesa, segan dan sedaya upaya tidak mengulangi tingkah laku yang negatif.
Pernyataan Masalah
Berdasarkan Program Transformasi Daerah 2.0 pada tahun 2015, didapati SMK Cheras antara sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Wilayah Pudu yang mempunyai masalah kehadiran dan disiplin murid. Dengan   rekod kehadiran pada tahun 2014 hanyalah 83% dan surat amaran yang dikeluarkan mencecah 1,027 keping surat kepada 668 murid, ia menunjukkan masalah kehadiran murid perlu ditangani dengan segera. Maka dengan ini timbul satu idea yang bernas dan praktikal untuk diperkenalkan iaitu Program SUIT iaitu Sahsiah Unggul Individu Terpuji dengan transformasi sistem pelaporan, sistem pemantauan dan sistem ganjaran. Sistem pelaporan dengan penambahbaikan kepada format pelaporan kehadiran murid ke sekolah melalui sistem e-Kehadiran dan penambahbaikan format buku kawalan kelas. Sistem pemantauan ditambahbaik dengan kekerapan pemantauan ditambah melalui sistem kad SPOT (Sistem Pemantauan Orang Tertentu) dan sistem ganjaran dicipta untuk memotivasikan murid melalui ganjaran murid kategori Ultimate Kehadiran iaitu murid kehadiran penuh, kategori Butterfly untuk murid yang mempunyai peningkatan sahsiah dan ganjaran kelas melalui kategori kelas mencapai indikator prestasi sasaran 95%, 90% dan 87% setiap bulan kehadiran ke sekolah agar dapat mencapai sasaran 90% kehadiran murid dalam tahun 2017. Transformasi dan inovasi ini dilaksanakan untuk menangani masalah murid yang ponteng dan seterusnya meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan seterusnya mengurangkan keciciran murid dalam sistem pendidikan sekolah.

Objektif
1) meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah  
2) meningkatkan kehadiran murid kehadiran penuh ke sekolah
3) mengurangkan bilangan surat amaran yang diterima oleh murid
4) mengurangkan bilangan murid yang menerima surat amaran
5) meningkatkan bilangan murid bersahsiah positif dari negatif
6) mengurangkan kos operasi untuk pengurusan surat amaran

METADOLOGI
Reka bentuk kajian
Kajian ini merupakan kajian populasi yang melibatkan keseluruhan murid di SMK Cheras manakala kajian butterfly SPOT melibatkan populasi  murid tingkatan 5 yang mempunyai lebih dari dua masalah iaitu masalah ponteng sekolah tegar dan juga masalah disiplin lain yang berat.

Prosedur mengumpul data dan analisis data
Kajian ini mengaplikasikan analisis data  kuantitatif secara deskriptif. Statistik deskriptif digunakan untuk mentafsirkan data. Objektif kajian diuji menggunakan teknik peratusan. Teknik peratusan digunakan untuk melihat peningkatan kehadiran murid ke sekolah. Statistik deskriptif min iaitu bilangan jumlah digunakan untuk  menunjukkan pengurangan atau peningkatan bagi objektif kedua hingga keenam.
Data dikumpul melalui pelaporan peratus kehadiran murid dalam sistem e-Kehadiran sekolah. Manakala data murid yang menerima surat amaran  dirujuk dalam buku log pelaporan surat amaran dan buang sekolah di pejabat sekolah. Data murid kategori Butterfly dirujuk dari data murid berfokus masalah disiplin berat tingkatan 5 dalam fail pengurusan disiplin murid- data murid bermasalah ponteng.

DAPATAN KAJIAN
Data yang dipersembahkan adalah data yang dikumpul menggunakan  teknik peratusan dan analisa deskriptif bilangan jumlah sahaja.


Jadual 1

Jadual 1 menunjukkan peratus kehadiran murid yang semakin meningkat dari tahun 2014 hingga penggal pertama tahun 2017. Dari 83% pada tahun 2014 meningkat ke 90% pada September 2017.




PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI
Jadual 1 jelas menunjukkan peratusan kehadiran murid yang semakin meningkat. Sebelum intervensi dijalankan, hanya 83% pada tahun 2014, melonjak ke 87% pada tahun 2015 dan semakin meningkat hingga pertengahan tahun 2017 sebanyak  90%.  Ini menunjukkan bahawa program SUIT ini berjaya meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.  Melalui sistem pelaporan yang ditambahbaik, sistem pemantauan murid bermasalah dengan lebih kerap dan sistem ganjaran yang memotivasikan murid meransang peningkatan murid ke sekolah. Stategi untuk meletakkan indikator prestasi yang berbeza bagi kategori kelas yang berbeza iaitu 95%, 90% dan 87% membantu peningkatan ini kerana kelas yang berbeza latar belakang akan cuba mencapai KPI kelas masing – masing untuk mendapatkan ganjaran kelas.
Jadual 2 pula menunjukkan peningkatan bilangan murid kehadiran penuh ke sekolah melalui sistem ganjaran Ultimate Kehadiran, murid kehadiran penuh diberikan pengiktirafan berbentuk sijil penghargaan di tapak perhimpunan dalam Majlis Anugerah Hal Ehwal Murid yang berprestij dan mendapat ganjaran individu seperti lawatan yang dibiayai oleh pihak PIBG dan koperasi sekolah. Oleh itu peningkatan secara mendadak sebanyak 64% bilangan murid kehadiran penuh dari 24 pada tahun 2014  kepada 88 murid pada tahun 2015 dan meningkat setiap tahun. Ini kerana anugerah ini tidak pernah diwujudkan sebelum program SUIT menyebabkan murid berpotensi kehadiran penuh tidak bermotivasi untuk mengekalkan kehadiran penuh ke sekolah.
Jadual 3 yang  menunjukkan  bilangan surat amaran dari 1027 pada tahun 2014 tetapi pada tahun  2015 semakin menurun hingga 51% , dan semakin menurun pada tahun 2017. Ia menunjukkan bahawa dengan sistem pemantauan yang kerap dan berterusan maka masalah disiplin murid ponteng dapat dikurangkan. Sistem pelaporan yang efisien membantu Jawatankuasa Disiplin untuk mengesan murid bermasalah salah laku dengan lebih cepat dan mengurangkan salah laku ini diulang . Dendaan yang diberikan secepat mungkin akan menyebabkan murid sedar bahawa sekolah serius dalam menangani masalah ponteng sekolah. Lawatan ke rumah yang lebih agresif oleh pasukan Unit Bimbingan Dan Kaunseling dan guru kelas yang menghubungi ibu bapa dengan kadar segera memberikan impak terhadap penurunan surat amaran ponteng sekolah. Malahan perjumpaan berjadual juga dijalankan dengan murid –murid penerima surat amaran kedua dan ketiga oleh guru kaunseling.
Jadual 4 yang menunjukkan murid yang menerima surat amaran pada tahun 2014 ialah 668 dan menurun dengan mendadak pada tahun 2015 dengan 54% peratus pengurangan, dan semakin menurun pada September 2017 kerana murid – murid ini telah dipantau kehadiran mereka oleh guru kelas, guru disiplin bahkan guru kaunseling dengan intervensi pemantauan kehadiran melalui buku kawalan kelas, buku kehadiran kelas, konsultasi keibubapaan dan pemantauan kad SPOT (Sistem Pemantauan Orang Tertentu.  Perkongsian kajian kes  mengenai lawatan –lawatan ke rumah  dikongsikan dalam perhimpunan murid sekolah dengan merahsiakan nama murid. Ia membantu murid sedar bahawa guru akan sedaya upaya menghubungi ibu bapa jika tidak dapat menghubungi ibu bapa melalui telefon dan surat amaran yang tidak bermaklum balas.  Konsultasi keibubapaan oleh pihak sekolah, ceramah keibubapaan dan bantuan kewangan bagi yang memerlukan untuk kes kebajikan murid anjuran Persatuan Ibu Bapa Guru juga turut memberikan impak terhadap penurunan bilangan murid ponteng.
Jadual 5 menunjukkan bilangan murid butterfly kategori penerima kad SPOT tingkatan lima yang berjaya bergraduasi iaitu dari tahun 2015 sebanyak 5 orang dari 15 orang . Pada tahun 2016 seramai 18 orang dari 20 orang bergraduasi dan pada tahun 2017, 10 orang murid SPOT bergraduasi. Ini menunjukkan impak kepada risiko murid keciciran sekolah terutama murid tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM tahun semasa. Ini kerana setiap tahun sekolah menerima murid berisiko tinggi dari sekolah – sekolah berhampiran yang dibuang sekolah, yang ponteng tegar atau mempunyai masalah penyalahgunaan dadah. Dalam mengawal pengaruh negatif  murid – murid ini di samping  mengawal murid – murid tingkatan 5 yang semakin senior dan semakin aktif dalam masalah salah laku, maka inovasi kawalan kad SPOT dijalankan. Kad ini diberikan kepada semua ahli butterfly tingkatan 5. Kad ini mempunyai sistem warna iaitu dari warna merah ke warna kuning dan akhir sekali kad hijau yang menunjukan bahawa murid ini sudah berubah ke positif dengan pemegang kad SPOT hijau. Pertukaran kad ini berlaku setiap bulan dan jika tiada perubahan warna kad tidak berubah.  Masalah disiplin murid tingkatan 5 dapat dipantau melalui ulasan setiap guru kaunseling, guru disiplin malahan guru subjek. Guru subjek digalakkan memberi kata –kata peneguhan positif dalam kad SPOT jika murid berjaya menunjukkan perubahan positif seperti tidak tidur dalam kelas, membuat kerja sekolah, menyiapkan tugasan guru dan lain – lain. Ini menyebabkan murid ini seronok kerana mendapat sedikit peneguhan atas perlakuan positif mereka. Guru disiplin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid atau guru kaunseling yang menandatangani kehadiran murid ini setiap hari pada kad SPOT dapat berkomunikasi dengan murid ini setiap hari agar mereka sedar pergerakan mereka diawasi oleh guru –guru yang prihatin terhadap kemajuan mereka untuk membimbing mereka hingga bergraduasi dari sekolah. Pada tahun 2017, terdapat penurunan murid yang dipantau kerana murid –murid bermasalah disiplin dari sekolah – sekolah berhampiran sudah tidak berminat untuk memilih ke SMK Cheras jika mereka dibuang sekolah.
Jadual 6 menunjukkan penjimatan kos operasi untuk pembelian setem dan sampul surat penghantaran surat amaran daripada pihak sekolah kepada ibu bapa. Kos ini ditanggung oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Memandangkan kos setem  dan sampul surat yang semakin meningkat setiap tahun, maka pengurangan bilangan surat amaran menjimatkan kos operasi yang ditanggung oleh pihak PIBG.
RUMUSAN
Cadangan penambahbaikan bagi program ini ialah mempelbagaikan kategori ganjaran untuk sahsiah dan disiplin murid, penyampaian anugerah sahsiah murid dijalankan sebanyak dua  kali setahun, memaparkan wajah murid –murid dan data di papan kenyataan khas program bagi yang menerima anugerah, ganjaran khas juga untuk guru yang memberikan komitmen terhadap peningkatan sahsiah murid. Sekolah juga boleh mewujudkan konsep mentor- mantee kepada murid –murid katergori butterfly iaitu murid – murid berisiko tinggi di bawah jagaan barisan pentadbir dan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Sekolah sebagai satu sistem perkhidmatan pendekatan psikologi dengan mendekati mereka. Peranan Kelab Pencegah Jenayah boleh ditingkatkan lagi seiring dengan surat pekeliling ikhtisas 7/1999 yang mengesyorkan penubuhan kelab ini untuk menangani gejala antisosial dan kegiatan berunsur jenayah dalam kalangan murid sekolah.
Pengkaji berharap agar program ini dapat dikongsikan dengan sekolah – sekolah lain juga. Ini kerana buat masa ini Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Pudu memurnikan modul SUIT SMK Cheras ini untuk digunakan kepada sekolah- sekolah yang di daerah tersebut yang masih lagi belum mencapai 90% kehadiran murid ke sekolah dan tiada peningkatan kehadiran murid kerana kurang impak program yang dijalankan. Selaras dengan  anjakan 6 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mengupayakan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan dengan memacu peningkatan prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin oleh PPD. Sebagai Jurulatih Utama program kehadiran murid, pengkaji telah mewujudkan sebuah manual modul menangani murid berisiko keciciran untuk disebarluaskan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan dan sebagai panduan dalam membimbing guru disiplin dan guru kaunseling menangani masalah murid untuk diaplikasikan di sekolah sebagai alternatif kepada program yang sedia ada di sekolah masing – masing.
Kesimpulannya, merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas 8/2001 mengenai Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah jelas menyatakan bahawa perkara-perkara penting yang perlu dimantapkan untuk menguruskan masalah disiplin murid ialah dengan pemantapan pengurusan disiplin dan kaunseling sekolah, mewujudkan sekolah penyayang dan wujudnya permuafakatan ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Maka dengan wujudnya elemen –elemen pengukuhan sistem pelaporan kehadiran murid di kelas atau di sekolah, sistem pemantauan yang lebih kerap dan berjadual, serta mewujudkan sistem ganjaran didapati  menepati intipati surat pekeliling tersebut yang jelas memberikan impak yang lebih tinggi dalam menguruskan masalah disiplin murid di sekolah.

BIBLIOGRAFI
Ang Jit Eng. Pengurusan Disiplin Murid Kuala Lumpur: Publishing Sdn Bhd (2007)
Garis Panduan Pengurusan Disiplin Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur . JPWPKL.2004
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia , Kementerian Pendidikan Malaysia
Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin. Teori Kaunseling Dan Psikoterapi. USIM 2008
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Surat Pekeliling Ikhtisas 8/2001:Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah,


Thanks sis Ema
Hush Puppies for my birthday present
And delicious meatball IKEA
Semoga murah rezeki..



 

Telegram Channel