12 January 2014

melangkah Ke Alam Sekolah Menengah: Persiapan Psikologi


Slot ibu bapa
Bersama Cikgu Haiza ;)


Taklimat  dari saya khas untuk ibu bapa segmen keibu bapaan. Saya menekankan mengenai pentingnya 3 bulan pertama perubahan psikologi anak di sekolah menengah kerana bimbang jika dibiarkan akan menjadi depress. Antara isu penting yang ditekankan ialah perubahan pelajar yang tidak mempunyai salah laku di sekolah rendah dan mempunyai sahsiah yang baik di rumah tetapi ponteng dan berubah laku kerana tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah menengah. 

Ini kerana pelajar sedih kerana berpisah dengan rakan baik, berlainan kelas dengan geng sekolah rendah, tidak dapat menyesuaikan diri dengan kawan kawan kelas antara isu yang kerap diutarakan oleh pelajar tingkatan satu sewaktu sesi kaunseling.  Pelbagai ragam terpaksa dihadapi oleh ibu bapa seperti pelajar enggan ke sekolah hingga perlu ditemani oleh ibu bapa seawal melangkah kaki ke pagar sekolah hingga di hadapan kelas dan dijemput apabila balik dari sekolah, pelajar enggan masuk ke kelas dan mundar mandir ke sana ke mari tanpa arah tujuan. Ada yang dihantar oleh ibu bapa ke sekolah tetapi selepas itu mereka membelok ke arah lain dan tidak masuk sekolah. Ketidakhadiran mula dikesan apabila guru kelas menelefon ibu bapa. Ada juga kes pelajar memprotes kepada ibu bapa kerana menyekolahkannya di tempat yang dia sendiri tidak suka. Dalam kes yang ekstrim, pelajar akan menangis sahaja kerana tidak sanggup berpisah dengan kawan - kawan sekolah lama apatah lagi jika dia sahaja dari geng sekolah rendah yang berada di sekolah ini.

Pelajar ting 1 masuk ke sekolah pada sesi petang pada pukul 1.10 tengah hari. Ibu bapa yang bekerja diminta memantau anak hadir ke sekolah setiap hari dan memantau sekali sekala pergerakan mereka dari rumah ke sekolah pada selang masa 5 jam anak mereka di rumah pada waktu pagi. Ini kerana kebanyakan masalah sosial pelajar berpunca dari senggang masa tersebut kerana pelajar berjalan kaki ke sekolah atau naik bas dan ibu bapa tidak sedar jika anak melencong ke siber cafe atau medan selera semata - mata untuk bersantai, menghisap rokok atau berbual kosong dengan rakan rakan terutama dari sekolah yang lain. Ini kerana di sekolah rendah waktu hari bersekolah mereka agak padat kerana bersekolah di sekolah agama pula. Oleh itu apabila naik di sekolah menengah mereka agak terkejut dengan waktu persekolahan yang singkat. Oleh itu masa - masa itulah dikongsi dengan kawan-kawan dan keluar rumah untuk ke sekolah terlalu awal. Bagi anak - anak yang terlalu dikonkong dengan ketat hingga tidak boleh keluar bermain dengan kawan-kawan, masa inilah peluang yang ditunggu. Ini kerana wang saku pelajar sekolah menengah makin bertambah. Biasanya ibu bapa juga meletakkan kepercayaan kepada anak mereka kerana percaya anak mereka telah dewasa dan boleh menjaga diri.


 3 bulan pertama perubahan emosi dan psikologi perlu ditangani dengan baik kerana jika dibiarkan pelajar tersebut akan mengalami masalah disiplin pula. Bagi ibubapa pula, jangan terlalu berkeras dengan anak sewaktu anak mengalami proses penyesuaian ini dan sila rujuk kepada guru kaunseling untuk sesi seterusnya. Ini kerana saban tahun ada sahaja kes yang melibatkan masalah pelajar ting 1 yang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan di sekolah menengah.

Bagi pelajar yang pernah terlibat dengan masalah disiplin dari sekolah rendah lagi, ibu bapa boleh bekerjasama dengan memberikan nama anak masing- masing agar dapat dipantau terus oleh guru kaunseling seawal minggu pertama persekolahan lagi.

Dengan kekuatan tiga orang guru kaunseling, kami menjalankan aktiviti pencegahan, perkembangan dan pemulihan kepada pelajar yang memerlukan khidmat kaunseling secara sukarela atau dirujuk oleh ibubapa.




 

Telegram Channel