Total Pageviews

7 October 2019

Penulisan ebook : Project Based Learning MyCherasianTV SMK Cheras


Saya kongsikan penulisan ilmiah saya mengenai Project Based Learning murid untuk dimuatkan dalam ebook. Pertama kali saya diperkenalkan dengan aplikasi Wetransfer untuk memindahkan file. 

Ilmu baru!

Produk MyCherasianTV inisiatif team jurugambar Unit Dokumentasi Sekolah dibawah bimbingan Cikgu Rahimi. Manakala bab menulis, melapor dan menyebar dalaman sekolah adalah Unit Buku Dokumentasi Sekolah dibawah bimbingan guru kaunseling. 

Sila like page ini tanda sokongan anda terhadap produk PBL ini.

https://www.facebook.com/mycherasiantv/




PROJECT BASED LEARNING: 
MY CHERASIAN TV

Nurhaiza Binti Che Mat

Rahimi Bin Abd Karim

Rozinani Binti Awang



SMK Cheras

Jalan Yaakob Latiff, Bandar Tun Razak, 56000, Cheras, WPKL





Abstrak



Project Based Learning SMK Cheras bagi projek PIBK telah mengadakan projek My Cherasian TV bagi menangani isu penyimpanan dokumentasi yang merupakan dokumentasi penting peristiwa sekolah dengan cara yang lebih baik, tahan lama, berkualiti dan mudah diakses oleh semua warga sekolah. Oleh itu projek menerbitkan dokumentasi dalam bentuk video dan disebarkan dalam bentuk berita telah dipilih. Bagi menunjukkan bahawa satu medium rasmi sekolah untuk menyebarkan video-video tersebut, satu medium My Cherasian TV telah diwujudkan. Medium ini merupakan penyebaran rasmi terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh warga sekolah.Projek ini berjaya memberikan impak terhadap PAK 21, konsep 6C dan kemahiran dalam pendidikan abad ke 21.







1.    PENGENALAN



Project Based Learning (PBL) di SMK Cheras untuk pertandingan showcase PBL Parlimen Bandar Tun Razak telah mula dijalankan sejak Mac 2019. Projek PBL yang dinamakan My Cherasian TV ditubuhkan berdasarkan isu-isu dalam Unit Dokumentasi Sekolah yang mempunyai jawatankuasa yang terdiri dari 4 orang guru sahaja iaitu seorang guru yang bertanggungjawab dalam fotografi sekolah dan tiga guru lagi dalam pengumpulan bahan-bahan dokumentasi sekolah dari Unit Kurikulum, Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum sekolah. Unit Dokumentasi sekolah mempunyai pasukan murid-murid yang membantu untuk mendokumentasikan dan menyebarkan program sekolah dalam bentuk fotografi dan laporan. Bagi memulakan projek ini, sesi sumbangsaran antara murid –murid ini telah dijalankan bagi memantapkan pengurusan dan pelaksanaan penyebaran program sekolah kepada warga sekolah khususnya dan komuniti amnya.





2.    PERANCANGAN



Unit Dokumentasi Sekolah terbahagi kepada Jawatankuasa Fotografi Sekolah yang bertugas mengambil gambar-gambar sepanjang peristiwa penting di sekolah. Manakala Jawatankuasa Berita Sekolah bertanggungjawab dalam buku dokumentasi sekolah dan penyebaran berita sekolah melalui hebahan di tapak perhimpunan, penyebaran melalui komunikasi di telegram dan whatsapp formal warga sekolah, PIBG dan KSIB. Penyebaran aktiviti sekolah juga dijalankan melalui media sosial seperti facebook atau blog.  Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam menulis mengikut format penulisan yang betul, menyebarkan dan menyimpan dokumentasi sekolah dalam keadaan yang baik.



Dalam zaman era revolusi 4.0 di mana teknologi mengambil peranan, maka antara persoalan yang diajukan adalah:

1)     Penyimpanan buku dokumentasi yang banyak menyebabkan ruang penyimpanan semakin sesak

2)     Buku dokumentasi yang tidak tahan lama dan pudar dimamah usia.

3)     Buku dokumentasi yang agak membosankan kerana perlu dibelek-belek dan kualiti gambar yang tidak menarik

4)     Mengambil masa untuk mencari buku dokumentasi kerana penyimpanan yang tidak sistematik, hanya menyimpan dalam almari apabila diserahkan oleh guru yang bertanggungjawab dalam penyediaan sesuatu dokumentasi.

5)     Sukar untuk dirujuk dan ada yang hilang apabila dirujuk dari tangan ke tangan peminjam.

6)     Gambar-gambar merupakan eviden penting pelaksanaan sesuatu program telah dijalankan kerana ia merupakan peristiwa yang benar dan tidak boleh ditipu, oleh kerana itu gambar-gambar dokumentasi akan digunakan berulang kali sama ada untuk penyediaan multimedia, majalah sekolah mahu pun taklimat kepada pemantauan.



Berdasarkan isu-isu permasalahan yang dibentangkan oleh ahli-ahli dalam Jawatankuasa Dokumentasi Sekolah, maka persoalan yang diajukan ialah bagaimana cara untuk menyimpan dokumentasi yang merupakan dokumentasi penting peristiwa sekolah dengan cara yang lebih baik, tahan lama, berkualiti dan mudah diakses oleh semua warga sekolah.



 Oleh itu, satu perancangan untuk menjadikan dokumentasi sekolah lebih tersusun dengan sistematik dan tahan lebih lama ialah dengan menyimpan dalam bentuk cakera padat. Namun demikian idea ini juga tidak begitu disambut dengan baik kerana kurang releven. Ini kerana  komputer di abad ke 21 ini tidak mempunyai tempat pemain cakera padat dan perlu membeli perkakasan lain untuk memainkan cakera padat tersebut. Oleh itu cadangan cakera padat ini hanya dijalankan untuk beberapa dokumentasi dan ternyata tidak berkesan.



Ternyata tahun 2019 yang sering dipromosikan kepada murid-murid mengenai Revolusi 4.0 dan bagaimana revolusi 4.0 ini mengubah cara berfikir dan cara satu produk dimulakan telah mengambil tempat terhadap cara hidup dan cara kerja masyarakat dunia. Bagaimana revolusi 4.0 ini dapat mengubah cara dokumentasi dirakam, dilaporkan dan disimpan? Murid-murid yang terpilih untuk pasukan fotografi sekolah adalah murid-murid yang kreatif dan berekspresi seni foto. Masing - masing mempunyai kamera sendiri dan mempunyai asas dalam merakam gambar dan video. Dengan adanya bimbingan dan latihan yang konsisten dari guru pembimbing Encik Rahimi Bin Abd Karim, maka hasil video yang berkualiti dapat dirakam.



Zaman teknologi maklumat yang pesat telah mengambil tempat dalam komunikasi masyarakat dunia Komunikasi menjadi lancar dalam dunia maya dan masing-masing membuka sekurang-kurangnya satu medium perhubungan melalui penggunaan internet seperti whatsapp, telegram, facebook, dan pelbagai lagi. Hampir semua warga sekolah mempunyai akaun di alam siber untuk komunikasi. Rakaman video – video yang telah diambil, dimuat naik dalam laman sosial yang sememangnya dilayari oleh semua warga sekolah seperti facebook, youtube dan Instagram. Malahan warga sekolah seperti guru, staf dan PIBG juga, majoriti mempunyai media sosial masing – masing malahan laman web rasmi masing-masing. Bagi menunjukkan bahawa satu medium rasmi sekolah untuk menyebarkan video-video tersebut, satu medium My Cherasian TV telah diwujudkan. Medium ini merupakan penyebaran rasmi terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh warga sekolah.





3.    PELAKSANAAN



3.1   Peringkat Sekolah



Jawatankuasa Berita Sekolah terdiri dari guru pembimbing Puan Nurhaiza Bt Che Mat dan Puan Rozinani Bt Awang telah melatih pasukan murid untuk buku dokumentasi program sekolah seperti menaip laporan aktiviti sekolah dan program –program sekolah dalam bentuk dokumentasi sekolah dan membentangkan mengenai aktiviti –aktiviti yang dijalankan sama ada di tapak perhimpunan atau disebarkan ke media sosial rasmi Unit Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah atau facebook sekolah. Pasukan murid ini memilih untuk menyebarkan berita sekolah dalam bentuk juruhebah radio dan penyampai berita.



Jawatankuasa Jurugambar pula terdiri dari guru penasihat En Rahimi Abd Karim bersama pasukan murid –murid yang bertugas sebagai jurugambar sekolah. Pasukan murid –murid ini memilih bukan sahaja semata-mata menangkap gambar, malahan juga mengambil video-video aktiviti yang dijalankan di sekolah.



3.2   Kerjasama PIBG



Persatuan Ibu Bapa Dan Guru membantu dalam pelaksanaan MyCherasianTV dengan menaja baju –baju seragam yang perlu dipakai oleh murid-murid yang terlibat dalam rakaman video penting sekolah agar murid-murid ini dikenali sebagai Pasukan Jurugambar Sekolah dengan nama rasminya MyCherasianTV.



PIBG juga menaja sebahagian dari kos pengangkutan murid –murid yang terlibat dengan lawatan penandaaras ke SMK Simpang Renggam, Johor yang mempunyai kemudahan penyiaran radio yang diuruskan sendiri oleh murid-murid dalam menyebarkan peristiwa penting sekolah kepada warga sekolah.





3.3   Penyertaan Swasta



Tidak melibatkan penyertaan swasta untuk projek My Cherasian TV





3.4   Komuniti Yang Terlibat



Antara komuniti yang terlibat dalam menjayakan PBL SMK Cheras ialah barisan Alumni SMK Cheras, Parlimen Bandar Tun Razak, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SMK Cheras, Klinik Kesihatan Cheras, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia merupakan  komuniti yang terlibat dengan projek PBL My Cherasian TV. Komuniti ini memberikan kerjasama yang baik sewaktu rakaman video dan sewaktu ditemubual. Slot bersama komuniti dimasukkan ke dalam slot My Cherasian TV







4.    PEMERHATIAN



4.1   Proses pembentukan pelajar dalam PAK 21



1. Menggarap elemen KBAT dan PAK21 yang berfokus kepada amalan berimpak tinggi untuk pengetahuan murid mengenai aktiviti semasa sekolah.

2. Menyediakan aktiviti secara komprehensif dan fleksibel mengikut kesesuaian murid dan lokasi.

3. Murid mengorganisasikan pengajaran dan pembelajaran (perancangan bahan, aktiviti  mengendalikan pembelajaran selaku fasilitator)

.



4.2   Proses kemahiran yang dapat dilihat dalam kalangan murid



Peningkatkan kemahiran komunikasi. Ini kerana dalam tugasan yang perlu dilakukan oleh murid ialah menemubual personalia untuk mengisi isi kandungan dalam slot My Cherasian TV yang memerlukan murid membina skrip mereka sendiri dan mengambil laporan. Murid –murid perlu berkomunikasi dengan pelbagai tahap jawatan dan tahap umur personalia yang boleh memupuk keyakinan diri masing-masing dalam komunikasi pengucapan awam.



Kemahiran kepemimpinan murid-murid juga diasah kerana membina sendiri aktiviti yang perlu dijalankan, memimpin aktiviti yang perlu dijalankan agar dapat mencapai matlamat dari aspek kuantiti bahan yang perlu disiapkan dan kualiti bahan yang perlu disebarkan untuk tontonan.





4.3   Tahap pelajar dalam 6C



Tahap pemikiran kritis murid semakin meningkat dengan projek ini. Kemahiran ini membantu murid berupaya membuat penilaian tentang sesuatu termasuk kebaikan dan kelemahannya.  Murid-murid ini dapat memikirkan bagaimana cara mendapatkan sudut fotografi yang menarik, kaedah menemubual personalia, kaedah menyebarkan berita mengenai aktiviti sekolah dengan cara yang informatif.  Murid-murid sudah pandai meneroka pemikiran dan menilai idea-idea yang diterima dari ahli pasukan secara rasional  dan membuat pertimbangan mengenai idea itu melalui penggunaan alasan-alasan yang wajar. Apabila berhadapan dengan masalah, ahli pasukan mempunyai alternatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan.



Tahap pemikiran kreatif murid-murid semakin berkembang dengan pembacaan dan rujukan sumber-sumber yang optimum untuk menghasilkan idea-idea yang baru mengenai teknik penghasilan rakaman suara dalam video, teknik pencahayaan dalam pengambilan rakaman video sewaktu temubual atau sewaktu program dijalankan dan kreatif dalam menyampaikan maklumat berita mengenai aktiviti sekolah dengan cara yang efektif dan asli, dan luar dari kebiasaan pengumuman semata-mata di tapak perhimpunan atau penggunaan bentuk buletin yang biasa.



Tahap kolaborasi juga semakin baik sesama peserta program. Ini kerana proses menjalankan projek PBL ini melibatkan kerjasama oleh murid-murid dari jawatankuasa fotografi sekolah dan jawatankuasa berita sekolah untuk menghasilkan kualiti yang diperlukan dan seterusnya mencapai objektif projek PBL ini dijalankan. Jawatankuasa fotografi sekolah akan mengambil gambar dan mengambil video rakaman gambar untuk program sekolah manakala murid dalam jawatankuasa berita sekolah pula akan menyebarkan dan menyediakan laporan untuk aktiviti sekolah. Kolaborasi ini perlu bagi mencapai kualiti rakaman video yang diingini dan sekaligus menghasilkan berita yang cepat dan tepat. Oleh itu kerjasama antara murid adalah aktif dan menyeluruh di mana ia melibatkan pertukaran idea, pendapat dan pengetahuan antara murid-murid untuk menerbitkan satu video berita program yang berinformatif bagi dimuatkan dalam slot-slot My Cherasian TV.



Kemahiran komunikasi murid-murid juga semakin baik dan berkesan. Murid-murid yakin untuk bercakap dan menemubual orang yang tidak dikenali dan murid mampu bercakap di hadapan khalayak ramai dalam menyampaikan berita terkini sekolah. Murid-murid sudah dapat mengatasi rasa takut dan gugup apabila bercakap berbanding kali pertama tugasan diberikan , dan ini meningkatkan keyakinan diri masing – masing.  Murid-murid juga lebih terbuka jika diminta untuk mengulas sebarang topik.



Kemahiran perwatakan adalah satu corak tingkah laku , fikiran dan perasaan  berdasarkan prinsip kekuatan moral dan integriti. Kemahiran nilai yang baik ini dipupuk sepanjang projek dijalankan. Ini kerana murid belajar menepati masa, membuat tugasan dalam tempoh masa yang diberikan, amanah dan penuh bertanggungjawab. Nilai murni yang baik disemaikan sewaktu berkomunikasi dengan guru pembimbing mahu pun dengan rakan –rakan sepasukan. Tingkah laku yang menjaga adab dan tatasusila membantu menjaga keharmonian perhubungan dalam ahli pasukan agar sentiasa harmoni dalam menjalankan tugas .



Tahap kenegaraan murid –murid juga semakin menonjol dengan patriotisme dalam diri melalui penghasilan video-video lakonan patriotik sewaktu bulan kemerdekaan dan mempunyai identiti nasional. Teknik penghasilan video yang dipelajari , telah digunakan dengan sebaiknya untuk menyertai pertandingan video pendek anjuran kerajaan dan swasta. Video-video lakonan patriotik yang dilakonkan sendiri oleh murid kepelbagaian kaum telah digunakan untuk ditayang kepada murid –murid dan warga SMK Cheras sepanjang bulan kemerdekaan.





5   Perbincangan



5.1           Keberkesanan PBL ke atas pelajar dalam PAK 21

    

            Kemahiran abad ke 21 dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat yang memungkinkan kepantasan yang memendekkan faktor jarak dan masa. Kemenjadian murid di era 2020 ini berkait rapat dengan kemahiran menggunakan teknologi dengan efisien. Dunia pendidikan mengalami gelombang arus pendidikan yang berpusatkan murid sendiri bagi meneroka, memahami kepelbagaian topik pendidikan dengan dibimbing oleh guru. Oleh itu projek PBL My Cherasian TV ini berkesan dalam melahirkan murid – murid yang menggunakan kemahiran teknologi dengan cekap. Guru sebagai fasilitator memantau cara penyampaian murid-muridnya supaya pembentangan hasil kerja menjadi berkesan serta dapat memberikan maklumat yang berkualiti kepada murid-murid yang lain. Guru lebih kepada fasilitator yang meransang murid-murid untuk mencari bahan dan menjalankan projek bagi memenuhi slot –slot penyebaran berita dalam My Cherasian TV. Projek ini berjaya menepati Revolusi 4.0 yang memerlukan murid-murid berdayasaing dalam era perindustrian dan mengoptimumkan penggunaan teknologi dan alam maya



.





5.2 Keberkesanan PBL ke atas murid dalam kemahiran abad ke21



     PAK 21 adalah proses pembelajaran yang berpusatkan murid. Antara elemen yang diterapkan ialah komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Elemen-elemen ini juga disebut sebagai standard asas dalam PAK21. Elemen – elemen ini memberi kesan terhadap komunikasi murid-murid. Perbualan yang berlaku antara guru dan murid atau murid dengan murid untuk berkongsi ilmu yang difahami berjalan dengan efisien kepada rakan –rakan yang lain. Guru memainkan peranan yang baik agar proses pembelajaran berlaku.



Pembentangan demi pembentangan melalui showcase yang dijalankan mengasah komunikasi murid. Guru menggunakan komen yang membina sewaktu latihan diadakan. Guru membimbing kaedah penyampaian melalui nada suara, tulisan, cara bertanya kepada rakan –rakan, cara menjawab soalan yang diaju, cara memberi maklum balas jika rakan bertanya soalan yang tidak terjangka. Oleh itu murid –murid dapat membina keyakinan diri  semasa berinteraksi bersama-sama rakan kerana mampu mendengar dan memberi maklum balas, mampu memberikan penerangan yang jelas dan ringkas, memahami kaedah-kaedah dalam menyampaikan maklumat dan lebih terbuka untuk megulas sesuatu topik.



Pemikiran kritis terhasil dengan penggunaan sumber yang meluas, dan sesuai dengan topik. Guru-guru akan memastikan murid-murid mahir mencari maklumat dan menilai sama ada maklumat yang diperolehi itu, cukup atau tidak untuk melaksanakan tugasan yang diberi. Guru akan memberikan galakkan untuk murid- murid memberikan pendapat. Murid-murid akan mula merasa selesa dan seronok.



Dalam PAK 21, murid-murid perlu menghasilkan produk melalui pembelajaran berpusatkan murid dengan bimbingan guru. Komen – komen praktikal yang membina digunakan untuk menambahbaik produk tersebut. Murid-murid memberikan penerangan dan hujah mengapa inovasinya dan ideanya adalah baik.  Ahli –ahli pasukan yang lain akan melontarkan idea-idea mereka pula. Dengan ini, murid menjana idea dari rakan –rakan yang lain. Ini berkesan dalam memupuk murid-murid yang berani mengemukakan idea tanpa bimbang kritikan yang bakal diterima, dan berpandangan jauh.







5.3 Keberkesanan PBL ke atas pelajar dalam 6C

    

Ternyata PBL memberikan kesan yang jelas terhadap konsep 6C. Melalui projek ini, murid- murid dapat mengembangkan kreativiti mereka dan memupuk fikiran kritis mereka dalam menjalankan tugasan. Mereka bekerjasama dalam satu pasukan untuk mencapai sasaran yang diinginkan dan membentuk komunikasi berkesan antara ahli pasukan. Guru pembimbing sentiasa mengingatkan ahli pasukan agar sepanjang aktiviti dijalankan, murid- murid  menurut etika dan nilai-nilai yang baik untuk keharmonian kerja berpasukan.





5.    KESIMPULAN



Melalui pelaksanaan, pemerhatian dan perbincangan projek ini, didapati bahawa ia memberikan impak positif terhadap murid. Projek ini dapat diaplikasikan dengan lebih baik dan boleh merangkumi kemahiran murid dari aras murid tingkatan satu hingga lima. Murid ini boleh menjadi fasilitator dan membimbing rakan-rakan lain untuk Project Based Laerning tahun hadapan. Murid – murid ini bukan sahaja kreatif malahan menjadi pencipta untuk produk yang boleh dipasarkan.



PIBKS berjaya menganjurkan pertandingan PBL ini. Ternyata ia berjaya menarik minat dan penyertaan yang menggalakkan dari murid –murid untuk menyertai pertandingan Project Based Learning ini. Melalui pertandingan ini, ia berjaya memberikan impak terhadap input pembelajaran berpusatkan murid seiring dengan PAK 21 

Happy birthday Padali
Our lil bro joy to Kulim
Good luck to Eureka!





No comments: