A night with my laptop
Rasa mcm dah siap tapi asyik edit dan edit untuk menjadikan esei ni lebih telus dan tidak bersifat terlalu ilmiah yang sarat dengan dasar atau pekeliling atau literature review...huh...inilah hasilnya. Nak bagi my best friend kat sekolah iaitu Cikgu Afiqah baca..cikgu Bahasa Melayu yang kreatif dgn pelbagai idea dan selalu jadi editor untuk pelbagai esei dan artikel saya selama ni.
USAHA
UNTUK MENINGKATKAN PROFESIONALISME DALAM
BIDANG
BIMBINGAN DAN KAUNSELING
Falsafah
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menyatakan bahawasanya setiap pelajar
mempunyai potensi yang boleh digembelengkan secara optimum menerusi pengurusan
menyeluruh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang cekap, berkesan dan
beretika dengan berteraskan sumber dalaman dan luaran bagi melahirkan pelajar
yang seimbang dalam aspek intelektual, jasmani, emosi dan rohani. Sebagai
seorang kaunselor profesional, kaunselor perlu menguasai ilmu dan kemahiran
kaunseling individu, kelompok, kaunseling perkahwinan dan keluarga, memiliki ciri-ciri
personaliti serta nilai-nilai tertentu, bahkan ia juga perlu dipandu dan
dibimbing dengan kod etika yang ditetapkan dalam profesion kaunseling di
Malaysia bagi melaksanakan tugasnya secara profesional dan beramanah. Oleh itu
saya berusaha meningkatkan profesionalisme saya dalam perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling dengan mendaftarkan diri dengan Lembaga Kaunselor Malaysia untuk
dikenali sebagai kaunselor berdaftar pada 26 Februari 2013 dengan nombor pendaftaran
PA02682.
Pengalaman
saya sebagai penceramah, fasilitator dan jurulatih membantu saya meningkatkan
profesionalisme diri sebagai seorang guru kaunseling. Saya percaya penyelidikan
dan persediaan semasa membina bahan untuk bertugas sebagai penceramah dan
fasilitator membantu saya memahami
bidang kepakaran saya dengan lebih mendalam dan membantu meningkatkan profesionalisme
dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Saya juga berusaha untuk
menyumbang tenaga dan pengalaman ke arah meningkatkan profesionalisme guru–guru
lain. Saya telah dijemput menyampaikan taklimat dan mengetuai pelbagai projek
yang menuntut perkongsian pengalaman untuk dijadikan panduan kepada guru-guru
kaunseling yang lain.
Kajian
tindakan merupakan satu kaedah pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan
maklumat atau data mengenai sesuatu permasalahan. Oleh itu saya berusaha
meningkatkan profesionalisme saya dengan membudayakan amalan penyelidikan
sebagai strategi penyelesaian masalah berteraskan bukti dan fakta melalui
kajian tindakan. Data tersebut digunakan untuk membuat keputusan, perancangan
untuk menyelesaikan masalah di samping dapat menyumbang kepada pengetahuan
dalam bidang pengurusan pendidikan sekolah. Saya merupakan ahli jawatankuasa
kepada mesyuarat pengurusan sekolah, ketua Unit Bimbingan Dan Kaunseling
sekolah dan ahli jawatankuasa lembaga disiplin sekolah, Oleh kerana itu, setiap
tahun sekurang-kurangnya satu hasil kajian tindakan yang telah saya jalankan untuk menambahbaik peraturan
dan sistem pengurusan sekolah.
Saya
juga menghadiri latihan dalam perkhidmatan, kursus dan bengkel yang dianjurkan
oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri WPKL dan Kementerian Pendidikan
terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling supaya dapat pendedahan yang
releven dan terkini. Perbincangan secara profesional tentang kes-kes yang
dikendalikan boleh membantu untuk mendapatkan idea, teknik baru dan dapat
mengaplikasikan teori-teori dengan terbimbing. Saya juga berusaha untuk menyertai
bengkel dan kursus yang dikelolakan oleh pihak swasta seperti Persatuan
Kaunseling Malaysia,serta menyertai badan bukan kerajaan pada hari minggu atau
pada cuti sekolah untuk meningkatkan profesionalisma saya, Ini kerana,saya
percaya latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan serta pengalaman itu dapat membuka
peluang untuk perkongsian pintar dengan pakar–pakar kaunseling dan motivasi
dari luar persekitaran Kementerian Pelajaran Malaysia.
Saya
juga meningkatkan kemahiran diri saya sebagai seorang guru kaunseling yang profesional
dan berkesan melalui jaringan komunikasi yang luas dalam kalangan guru
kaunseling dan agensi-agensi yang lain. Pengalaman hamper 14 tahun berada dalam
Jawatankuasa Guru Kaunseling Zon Pudu menyebabkan hubungan antara semua guru
kaunseling Zon Pudu rapat. Kami berkongsi
pengalaman dan memberi sokongan antara satu sama lain. Saya juga merupakan ahli
jawatankuasa dalam Majlis Guru Kaunseling Kuala Lumpur yang memudahkan saya
menerima maklumat terkini mengenai perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk
diambil tindakan. Saya juga menjalinkan kerjasama dengan pegawai dari agensi luar
seperti Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara, Balai Polis Pudu, Ibu
Pejabat Polis, Biro Pendidikan Yayasan Pendidikan Cheras, Klinik Kesihatan
Cheras, kolej – kolej swasta dan pelbagai badan bukan kerajaan agar dapat
menangani pelbagai masalah pelajar dengan cara yang lebih profesional dan
tepat.
Sebagai
guru kaunseling yang mengendalikan generasi Y, saya percaya terhadap kuasa
media sosial yang sangat mempengaruhi para pelajar sekarang. Oleh itu bagi
mendekati pelajar dan meningkatkan profesionalisme saya dalam memahami dunia
mereka, saya juga harus mahir dalam menggunakan pelbagai gajet dan mengetahui
penggunaan pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, blog dan Whatsapp
untuk berkomunikasi dengan para pelajar. Saya mempelajari bagaimana menggunakan
teknologi maklumat ini agar mudah dihubungi oleh para pelajar dan dalam masa
yang sama menyelami dunia remaja mereka. Dengan adanya penggunaan VLE –Frog
sebagai medium perantara rasmi di sekolah yang boleh diakses oleh semua warga
sekolah malahan ibu bapa, maka saya harus sentiasa mengemas kini maklumat dan
mempromosikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang lebih profesional di
alam maya untuk makluman warga sekolah dan ibu bapa.
Kesimpulannya,
guru kaunseling sekolah yang profesional ialah guru kaunseling yang dapat
menggunakan semua ilmu kaunseling yang dipelajari untuk menangani isu yang
dibawa oleh pelajar dengan berkesan. Ilmu yang sepatutnya menjadi landasan kepada
segala aktiviti yang dilakukan termasuklah pelbagai teori dan teknik
kaunseling, etika kaunseling, pengendalian kaunseling individu, kaunseling
kelompok, kaunseling keluarga, pengetahuan kaunseling silang budaya,
pengendalian program kerjaya dan proses konsultasi dengan pelbagai pihak.
Jesteru keberkesanan profesionalisme guru kaunseling adalah apabila terdapat
perubahan pada diri pelajar dari aspek perasaan dan pemikiran yang digambarkan
melalui tingkah laku yang menjadi cerminan hasil daya usaha seseorang guru
kaunseling itu membimbing pelajar tersebut.