24 October 2014

Artikel Masalah Stres Pelajar


Good morning Blueblue
Good morning Redcake
New pets in the house

Artikel untuk majalah sekolah tahun ini.

MASALAH STRES PELAJAR

Stres sama ada positif atau negatif memaksa seseorang untuk menyesuaikan diri dan mengubah sikap supaya sesuai dengan situasi yang sedang dialami. Stres yang negatif meninggalkan kesan yang memudaratkan kerana melampaui keupayaan seseorang untuk menanganinya, melemahkan sistem ketahanan tubuh dan mengakibatkan masalah tingkahlaku atau fizikal. Stres yang berlanjutan akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan ialah sejenis penyakit yang berbahaya yang boleh menghancurkan kehidupan dan seterusnya membunuh. Kemurungan melibatkan seluruh sistem tubuh seperti mental, emosi, tingkah laku dan fizikal akan terjejas. Ini kerana ia menganggu sistem tubuh badan menyebabkan keadaan menjadi serius. Apabila sistem ketahanan badan lemah, penyakit akan mudah menyerang. Antara tanda tanda orang yang mengalami penyakit kemurungan ialah rasa sedih, rasa terganggu, hilang selera makan, sukar memberi tumpuan, cepat marah, tidak bersemangat, rasa letih yang berpanjangan, sakit kepala dan pelupa. Tekanan ini sangat menyakitkan dan membuat hidup menderita yang sukar digambarkan oleh orang yang tidak mengalaminya.

Sejak program Minda Sihat dijalankan di sekolah, guru kaunseling dapat mengenal pasti tahap stres, keresahan dan kemurungan dalam kalangan pelajar dengan lebih cepat. Melalui rujukan guru kelas, bantuan akan diberikan bagi mengurus masalah emosi dan kemurungan pelajar. Kebanyakan pelajar yang mengalami kemurungan akan menghidap sakit perut dan gastrik kerana respon badan terhadap kesayuan dan kemurungan berkumpul di usus kecil dan perut. Pelajar juga sering sakit kepala kerana stres juga akan menyerang kawasan pemikiran iaitu kepala, leher, bahu, lengan dan tangan kerana kesakitan di anggota ini berkait dengan pemikiran, kegagalan dan penerimaan diri yang negatif. Setiap individu mempunyai keunikan personaliti dan daya tindak balas terhadap masalah dengan cara yang berbeza bergantung kepada personaliti, pengalaman lampau dan kemampuan fisiologi menghadapi stres. Contohnya, masalah kemurungan yang kerap berlaku berpunca dengan masalah keluarga. Dengan masalah yang sama, respon pelajar adalah berbeza. Ada pelajar yang menujukkan personalti yang ceria di hadapan kawan-kawan dan guru tanpa disedari warga sekolah bahawa pelajar tersebut sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan. Ada yang menunjukkan keceriaan di hadapan keluarga tetapi mempunyai kemurungan yang teruk apabila berada di sekolah menyebabkan keluarganya menyalahkan pihak sekolah yang memberikan tekanan akademik atau rakan – rakan sekolah yang mempengaruhi anaknya apabila mendapat tahu anak mereka terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti ponteng sekolah, memakan pil tidur berlebihan, lari mengikut pasangan dan mengambil dadah. Ada juga pelajar yang menunjukkan kemurungan di rumah dan di sekolah dan biasanya kes ini dapat dibantu segera kerana mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa dan guru untuk merujuk pelajar kepada guru kaunseling di sekolah dan selepas tiga kali sesi kaunseling, tahap kemurungan masih membimbangkan maka guru kaunseling akan menulis laporan sesi kaunseling untuk dirujuk kepada pakar psikiatri di hospital bagi bantuan pakar  perubatan. Apabila bercakap mengenai rujukan ke psikiatris, ia masih lagi taboo dalam kalangan masyarakat. Mendapatkan kerjasama dari ibu bapa dan pelajar sendiri untuk dirujuk ke psikiatris agak sukar kerana ia sering dikaitkan dengan sesuatu yang memalukan dan gila. Walhal stress dan kemurungan boleh diatasi yang memerlukan pendekatan yang merangkumi cara berfikir, mengawal emosi dan juga dari segi tingkah laku. Hanya dalam kes kemurungan yang teruk maka ubat – ubatan diperlukan bagi menenangkan pelajar. Sokongan keluarga, guru-guru dan rakan-rakan diperlukan bagi membantu pelajar dari terjebak dengan kemurungan bagi mendapatkan bantuan segera.

Oleh itu jika warga sekolah mempunyai tanda – tanda awal stres seperti yang dinyatakan, jangan biarkan ia berlanjutan dalam masa yang lama hingga menganggu kesihatan  kerana ia umpama barah yang akan merebak jika langkah pencegahan awal tidak diambil. Berkongsi masalah dengan seseorang yang dipercayai yang dapat membantu anda menangani stres. Nikmati kehidupan yang ceria dan bebas dari kemurungan dengan mengamalkan cara hidup yang sihat dan berfikiran positif.
                                                                                                                   Nurhaiza Che Mat

                                                                                                  Guru Kaunseling SMK Cheras
 

Telegram Channel