INTEGRITI:
JALAN MENUJU PENCAPAIAN WAWASAN
Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan yang
diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad
bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan
negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Sepenuhnya terangkum bukan sahaja
bidang ekonomi, tetapi juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga
perpaduan nasional dan sosial . Ia melibatkan keadilan sosial, kestabilan
politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah
bangsa serta keyakinan. Tan Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha
Negara menegaskan bahawa semua penjawat awam terus meningkatkan usaha dan
produktiviti dalam perlaksanaan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK – 11). Kejayaan
perlaksanaan RMK 11 menjadi penentu kepada pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara
maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Rancangan Malaysia Ke 11 bagi tahun
2016 – 2020 dengan 6 teras strategik iaitu memperkukuh pembangunan inklusif ke
arah masyarakat yang saksama, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa
pembangunan modal insan untuk menjadi negara maju , menuju ke arah pertumbuhan
hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan, memperkukuh infrastruktur
untuk menyokong perkembangan ekonomi dan merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk
peningkatan kemakmuran. Penjawat awam juga diingatkan agar mengukuhkan tahap
integriti dan memastikan perbelanjaan kerajaan secara berhemah.
. Konsep integriti dalam perkhidmatan
awam merangkumi sifat menyeluruh seseorang atau sesebuah organisasi berdasarkan
nilai-nilai sejagat termasuk aspek akauntabiliti. Oleh itu nilai yang baik
perlu menjadi budaya kerja yang diamalkan oleh para pekerja khususnya penjawat
awam. Perlaksanaan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan mengikut
kepentingan umum. Antara yang ditekankan ialah integriti bagi mengurangkan
gejala rasuah, penyelewangan dan salahguna kuasa secara berkesan, meningkatkan
kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah
birokrasi. Organisasi perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang
dikongsi bersama anggota organisasi. Prosedur yang baik dapat melicinkan
perlaksanaan tugas secara cekap, teratur dan tepat, disamping kawalan kualiti,
pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan perlu
dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab terhadap Tuhannya.
Di sekolah
terdapat empat komponen penting yang mana keempat – empat ini perlu ada
integriti bagi memastikan sistem pendidikan berada dalam keadaan baik. Pertama
pengurusan dan pentadbiran sekolah yang mempunyai integriti yang mementingkan
nilai murni. Yang kedua ibu bapa yang merupakan ‘role model’ terdekat yang
sentiasa dirujuk oleh anak-anak agar dapat dicontohi anak-anak. Yang ketiga ialah
murid itu sendiri yang keempat ialah komuniti sekolah. Berbeza dengan penjawat
awam yang lain, berlaku kerosakan jika tidak berintegriti melibatkan material
yang dinilai dalam wang ringgit tetapi jika seorang guru, jika tidak
berintegriti dia akan merosakkan generasi dan kerosakan itu lebih lama kerana
generasi itu tidak mendapat pengajaran yang berkualiti daripada guru. Jika
tiada integriti guru dalam bilik darjah kesannya lebih lama dan mengancam masa
depan negara. Antaranya generasi akan datang tidak dapat berfikir dan tidak
boleh membuat justifikasi terhadap tindakan selain tidak boleh merasionalkan
maklumat kerana perkara ini tidak dilatih di bilik darjah. Oleh itu guru perlu
memartabatkan profesion keguruan sama ada dari pihak pentadbir atau kerajaan
supaya integriti dan autoritinya sentiasa diyakini dan dipelihara. Oleh itu
seluruh warga pendidik perlu meletakkan nilai integriti dan tanggungjawab
sebagai tonggak utama dalam mendidik anak bangsa.
Pengurusan dan pentadbiran perlu memainkan peranan utama kerana semua
aktiviti dan perlakuan pentadbir yang mencerminkan kebolehannya mempengaruhi
individu atau kumpulan ke arah mencapai objektif organisasi. Kualiti kepimpinan
yang berintegriti seperti jujur, berwawasan, kompeten dan berupaya membangkitkan
inspirasi merupakan kualiti kepimpinan terbaik untuk mencapai kecemerlangan
menuju Wawasan 2020. Pembabitan Ibu bapa dalam gerakan pemantapan akan menjamin
kejayaan agenda menjadikan integriti sebagai budaya masyarakat dalam jangka
panjang. Ia selaras dengan hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan
masyarakat berorientasikan keluarga dan komuniti. Ibu bapa mempunyai
tanggungjawab mendidik anak-anak supaya dapat mengamalkan tingkah laku yang
baik dalam kalangan ahli keluarga, jiran-jiran, rakan sekolah dan sebagainya.
Keluarga seharusnya memastikan bahawa keluarga sentiasa ceria dan sihat untuk
memupuk sosiobudaya dan nilai yang baik dalam kalangan anak-anak dan anggota
keluarga yang lain. Ini akan menyumbangkan amalan yang baik untuk dipraktikkan
apabila mereka keluar dari rumah dan berinteraksi dengan rakan dan individu
dalam menjalankan tugasan mereka. Peranan ini seterusnya dapat memantapkan
institusi keluarga yang mencerminkan daya tahan institusi keluarga dan
kehidupan keluarga bahagia melalui pengurangan kadar konflik keluarga,
pengurangan kadar penderaan dan pengurangan kes pengabaian warga tua sebagai
petunjuk yang membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan
masyarakat.
Murid perlu menyemai dan mempraktikkan
nilai integriti dalam jiwa murid bagi melahirkan pewaris negara yang cemerlang
akademik dan sahsiah. Mencontohi role model terdekat iaitu guru di sekolah dan
keluarga di rumah kerana pendidikan nilai tidak boleh diajar tetapi dipamerkan,
diamalkan dan tujuk contoh yang baik. Integriti dibentuk melalui didikan secara
langsung dan tidak langsung. Dengan ini, kadar perbuatan salah laku dalam
kalangan murid sekolah dan kadar gejala sosial dapat dikurangkan melalui
pembudayaan integriti dan penguatkuasaan disiplin pada murid. Dengan ini sikap
tidak berintegriti seperti vandalism memusnahkan harta benda sekolah, dinding
bangunan, tandas dan ponteng dapat ditangani dan seterusnya mewujudkan sekolah
yang berintegriti. Komuniti juga memainkan peranan dalam membina integriti bagi
menjamin pencapaian ke arah Wawasan 2020. Komuniti yang berintegriti akan disenangi
dan disanjungi dan dapat dinilai tahap integriti organisasi tersebut. Contohnya
kemudahan awam seperti telefon awam, tempat membuang sampah, stesen bas dan
lif. Keadaan tandas yang bersih dan telefon awam serta lif yang dijaga dengan
baik menunjukkan integriti komuniti yang tinggi. Integriti bagi sesebuah
masyarakat itu adalah penting kerana ia mencerminkan imej agama, bangsa dan
negara.
Semua
perkara-perkara yang dibincangkan di atas menggambarkan betapa pentingnya
integriti kepada individu, keluarga, organisasi dan komuniti. Melalui pembudayaan
etika dan integriti yang harus dilalui sebagai
satu proses seumur hidup , ia merupakan satu jalan ke arah mencapai Wawasan
2020 untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara
maju sepenuhnya menjelang tahun 2020, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi
juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta perpaduan nasional dan
sosial.
(930
patah perkataan)
Invitation from Unit HEM JPWPKL
Alhamdulillah for another rewards