PROGRAM
SUIT MENINGKATKAN KEHADIRAN MURID KE SEKOLAH
ABSTRAK
Program SUIT iaitu
Sahsiah Unggul Individu Terbilang merupakan program peningkatan kehadiran murid
ke sekolah. Ini kerana peratus kehadiran
murid yang semakin merundum iaitu 83% pada tahun 2014, dengan bilangan surat
amaran mencecah 1027 untuk 668 murid ponteng sekolah. Menggunakan populasi
murid SMK Cheras untuk kajian ini bagi dan populasi murid Tingkatan 5 ponteng
tegar dan masalah disiplin berat bagi kategori butterfly SUIT. Menggunakan analisa deskriptif, impak program
ini berkesan meningkatkan kehadiran murid ke 90% pada penggal pertama
persekolahan tahun 2017. Bilangan surat amaran ponteng dan bilangan murid
ponteng sekolah juga berjaya dikurangkan.
Kata
kunci : ponteng sekolah, masalah disiplin
LATAR BELAKANG
Berdasarkan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, terdapat 11 anjakan untuk
transformasi sistem iaitu merujuk kepada anjakan ke 10 iaitu memaksimumkan
keberhasilan murid bagi setiap ringgit dengan cara mengaitkan setiap program
kepada keberhasilan murid yang jelas dan merasionalkan program impak rendah
setiap tahun untuk ditambahbaik.. Berdasarkan aspirasi transformasi daerah 2.0,
kehadiran murid ke sekolah ialah dengan indikator prestasi 95% sasaran
Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka dengan kehadiran murid di SMK Cheras pada
tahun 2014 hanyalah 83%, dengan bilangan surat amaran mencecah
1027 untuk 668 murid ponteng sekolah, maka
satu pendekatan sistematik dan berimpak tinggi perlu dijalankan oleh pihak
sekolah. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas
8/2001:Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah, maka program dilaksanakan
berdasarkan intipati surat pekeliling tersebut mengenai pemantapan
pengurusan disiplin dan kaunseling sekolah,
perlaksanaan sekolah penyayang dan permuafakatan ibu bapa, sekolah dan masyarakat.
Menurut Dr James Ang ( 2007) dalam bukunya berjudul Pengurusan Disiplin Murid,
pengurusan disiplin adalah perkhidmatan membangunkan modal insan dan institusi
sekolah kerana disiplin murid mempunyai kesan kepada pengajaran dan
pembelajaran. Dengan adanya pengurusan disiplin yang mantap dan berkesan, ia
membantu meningkatkan lagi kualiti pengajaran guru dan seterusnya pembelajaran
murid.
Pendekatan Teori
Pendekatan teori berdasarkan Teori Pelaziman Skinner (1904), di
mana ia digunakan untuk pengukuhan
positif berdasarkan prinsip meningkatkan
tingkah laku yang positif kerana adanya ransangan. Bentuk bentuk
pengukuhan positif ialah hadiah, dengan pujian dan kata – kata positif untuk
mengukuhkan tingkah laku yang positif seperti memberi ganjaran setelah
perlakuan berulang/ diperkuatkan atau memberi ucapan tahniah dan kata – kata
jika tingkah laku adalah positif. Pengukuhan negatif ialah meransang serta
merta perasaan yang tidak selesa. Murid rasa tidak selesa, segan dan sedaya
upaya tidak mengulangi tingkah laku yang negatif.
Pernyataan Masalah
Berdasarkan
Program Transformasi Daerah 2.0 pada tahun 2015, didapati SMK Cheras antara
sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Wilayah Pudu yang mempunyai
masalah kehadiran dan disiplin murid. Dengan rekod
kehadiran pada tahun 2014 hanyalah 83% dan surat amaran yang dikeluarkan
mencecah 1,027 keping surat kepada 668 murid, ia menunjukkan masalah kehadiran
murid perlu ditangani dengan segera. Maka dengan ini timbul satu idea yang
bernas dan praktikal untuk diperkenalkan iaitu Program SUIT iaitu Sahsiah
Unggul Individu Terpuji dengan transformasi sistem pelaporan, sistem pemantauan
dan sistem ganjaran. Sistem pelaporan dengan penambahbaikan kepada format
pelaporan kehadiran murid ke sekolah melalui sistem e-Kehadiran dan
penambahbaikan format buku kawalan kelas. Sistem pemantauan ditambahbaik dengan
kekerapan pemantauan ditambah melalui sistem kad SPOT (Sistem Pemantauan Orang
Tertentu) dan sistem ganjaran dicipta untuk memotivasikan murid melalui
ganjaran murid kategori Ultimate Kehadiran
iaitu murid kehadiran penuh, kategori Butterfly
untuk murid yang mempunyai peningkatan sahsiah dan ganjaran kelas melalui
kategori kelas mencapai indikator prestasi sasaran 95%, 90% dan 87% setiap
bulan kehadiran ke sekolah agar dapat mencapai sasaran 90% kehadiran murid
dalam tahun 2017. Transformasi dan inovasi ini dilaksanakan untuk menangani
masalah murid yang ponteng dan seterusnya meningkatkan kehadiran murid ke
sekolah dan seterusnya mengurangkan keciciran murid dalam sistem pendidikan
sekolah.
Objektif
1) meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah
2) meningkatkan kehadiran murid kehadiran
penuh ke sekolah
3) mengurangkan bilangan surat amaran yang diterima oleh
murid
4) mengurangkan bilangan murid yang menerima surat amaran
5) meningkatkan bilangan murid bersahsiah positif dari
negatif
6) mengurangkan kos operasi untuk pengurusan surat amaran
METADOLOGI
Reka bentuk kajian
Kajian ini merupakan kajian populasi yang melibatkan
keseluruhan murid di SMK Cheras manakala kajian butterfly SPOT melibatkan populasi murid tingkatan 5 yang mempunyai lebih dari
dua masalah iaitu masalah ponteng sekolah tegar dan juga masalah disiplin lain
yang berat.
Prosedur mengumpul
data dan analisis data
Kajian ini mengaplikasikan analisis data kuantitatif secara deskriptif. Statistik
deskriptif digunakan untuk mentafsirkan data. Objektif kajian diuji menggunakan
teknik peratusan. Teknik peratusan digunakan untuk melihat peningkatan
kehadiran murid ke sekolah. Statistik deskriptif min iaitu bilangan jumlah
digunakan untuk menunjukkan pengurangan
atau peningkatan bagi objektif kedua hingga keenam.
Data dikumpul melalui pelaporan peratus kehadiran murid dalam
sistem e-Kehadiran sekolah. Manakala data murid yang menerima surat amaran dirujuk dalam buku log pelaporan surat amaran
dan buang sekolah di pejabat sekolah. Data murid kategori Butterfly dirujuk
dari data murid berfokus masalah disiplin berat tingkatan 5 dalam fail
pengurusan disiplin murid- data murid bermasalah ponteng.
DAPATAN KAJIAN
Data yang dipersembahkan adalah
data yang dikumpul menggunakan teknik
peratusan dan analisa deskriptif bilangan jumlah sahaja.
Jadual 1
Jadual 1 menunjukkan peratus kehadiran murid yang semakin meningkat dari tahun 2014 hingga penggal pertama tahun 2017. Dari 83% pada tahun 2014 meningkat ke 90% pada September 2017.
PERBINCANGAN DAN
IMPLIKASI
Jadual 1 jelas menunjukkan peratusan kehadiran murid yang
semakin meningkat. Sebelum intervensi dijalankan, hanya 83% pada tahun 2014,
melonjak ke 87% pada tahun 2015 dan semakin meningkat hingga pertengahan tahun
2017 sebanyak 90%. Ini menunjukkan bahawa program SUIT ini
berjaya meningkatkan kehadiran murid ke sekolah. Melalui sistem pelaporan yang ditambahbaik,
sistem pemantauan murid bermasalah dengan lebih kerap dan sistem ganjaran yang
memotivasikan murid meransang peningkatan murid ke sekolah. Stategi untuk
meletakkan indikator prestasi yang berbeza bagi kategori kelas yang berbeza
iaitu 95%, 90% dan 87% membantu peningkatan ini kerana kelas yang berbeza latar
belakang akan cuba mencapai KPI kelas masing – masing untuk mendapatkan
ganjaran kelas.
Jadual 2 pula menunjukkan peningkatan bilangan murid
kehadiran penuh ke sekolah melalui sistem ganjaran Ultimate Kehadiran, murid kehadiran penuh diberikan pengiktirafan
berbentuk sijil penghargaan di tapak perhimpunan dalam Majlis Anugerah Hal
Ehwal Murid yang berprestij dan mendapat ganjaran individu seperti lawatan yang
dibiayai oleh pihak PIBG dan koperasi sekolah. Oleh itu peningkatan secara
mendadak sebanyak 64% bilangan murid kehadiran penuh dari 24 pada tahun
2014 kepada 88 murid pada tahun 2015 dan
meningkat setiap tahun. Ini kerana anugerah ini tidak pernah diwujudkan sebelum
program SUIT menyebabkan murid berpotensi kehadiran penuh tidak bermotivasi
untuk mengekalkan kehadiran penuh ke sekolah.
Jadual 3 yang menunjukkan
bilangan surat amaran dari 1027 pada tahun 2014 tetapi pada tahun 2015 semakin menurun hingga 51% , dan semakin
menurun pada tahun 2017. Ia menunjukkan bahawa dengan sistem pemantauan yang
kerap dan berterusan maka masalah disiplin murid ponteng dapat dikurangkan. Sistem
pelaporan yang efisien membantu Jawatankuasa Disiplin untuk mengesan murid
bermasalah salah laku dengan lebih cepat dan mengurangkan salah laku ini
diulang . Dendaan yang diberikan secepat mungkin akan menyebabkan murid sedar
bahawa sekolah serius dalam menangani masalah ponteng sekolah. Lawatan ke rumah
yang lebih agresif oleh pasukan Unit Bimbingan Dan Kaunseling dan guru kelas
yang menghubungi ibu bapa dengan kadar segera memberikan impak terhadap
penurunan surat amaran ponteng sekolah. Malahan perjumpaan berjadual juga
dijalankan dengan murid –murid penerima surat amaran kedua dan ketiga oleh guru
kaunseling.
Jadual 4 yang menunjukkan murid yang menerima surat amaran
pada tahun 2014 ialah 668 dan menurun dengan mendadak pada tahun 2015 dengan 54%
peratus pengurangan, dan semakin menurun pada September 2017 kerana murid –
murid ini telah dipantau kehadiran mereka oleh guru kelas, guru disiplin bahkan
guru kaunseling dengan intervensi pemantauan kehadiran melalui buku kawalan
kelas, buku kehadiran kelas, konsultasi keibubapaan dan pemantauan kad SPOT
(Sistem Pemantauan Orang Tertentu. Perkongsian
kajian kes mengenai lawatan –lawatan ke
rumah dikongsikan dalam perhimpunan
murid sekolah dengan merahsiakan nama murid. Ia membantu murid sedar bahawa
guru akan sedaya upaya menghubungi ibu bapa jika tidak dapat menghubungi ibu
bapa melalui telefon dan surat amaran yang tidak bermaklum balas. Konsultasi keibubapaan oleh pihak sekolah,
ceramah keibubapaan dan bantuan kewangan bagi yang memerlukan untuk kes kebajikan
murid anjuran Persatuan Ibu Bapa Guru juga turut memberikan impak terhadap
penurunan bilangan murid ponteng.
Jadual 5 menunjukkan bilangan murid butterfly kategori penerima kad SPOT tingkatan lima yang berjaya
bergraduasi iaitu dari tahun 2015 sebanyak 5 orang dari 15 orang . Pada tahun
2016 seramai 18 orang dari 20 orang bergraduasi dan pada tahun 2017, 10 orang
murid SPOT bergraduasi. Ini menunjukkan impak kepada risiko murid keciciran
sekolah terutama murid tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM tahun semasa. Ini
kerana setiap tahun sekolah menerima murid berisiko tinggi dari sekolah –
sekolah berhampiran yang dibuang sekolah, yang ponteng tegar atau mempunyai
masalah penyalahgunaan dadah. Dalam mengawal pengaruh negatif murid – murid ini di samping mengawal murid – murid tingkatan 5 yang
semakin senior dan semakin aktif dalam masalah salah laku, maka inovasi kawalan
kad SPOT dijalankan. Kad ini diberikan kepada semua ahli butterfly tingkatan 5. Kad ini mempunyai sistem warna iaitu dari
warna merah ke warna kuning dan akhir sekali kad hijau yang menunjukan bahawa
murid ini sudah berubah ke positif dengan pemegang kad SPOT hijau. Pertukaran
kad ini berlaku setiap bulan dan jika tiada perubahan warna kad tidak berubah. Masalah disiplin murid tingkatan 5 dapat
dipantau melalui ulasan setiap guru kaunseling, guru disiplin malahan guru
subjek. Guru subjek digalakkan memberi kata –kata peneguhan positif dalam kad
SPOT jika murid berjaya menunjukkan perubahan positif seperti tidak tidur dalam
kelas, membuat kerja sekolah, menyiapkan tugasan guru dan lain – lain. Ini
menyebabkan murid ini seronok kerana mendapat sedikit peneguhan atas perlakuan
positif mereka. Guru disiplin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid atau guru
kaunseling yang menandatangani kehadiran murid ini setiap hari pada kad SPOT
dapat berkomunikasi dengan murid ini setiap hari agar mereka sedar pergerakan
mereka diawasi oleh guru –guru yang prihatin terhadap kemajuan mereka untuk membimbing
mereka hingga bergraduasi dari sekolah. Pada tahun 2017, terdapat penurunan
murid yang dipantau kerana murid –murid bermasalah disiplin dari sekolah –
sekolah berhampiran sudah tidak berminat untuk memilih ke SMK Cheras jika
mereka dibuang sekolah.
Jadual 6 menunjukkan penjimatan kos operasi untuk pembelian
setem dan sampul surat penghantaran surat amaran daripada pihak sekolah kepada
ibu bapa. Kos ini ditanggung oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Memandangkan kos setem dan sampul surat
yang semakin meningkat setiap tahun, maka pengurangan bilangan surat amaran
menjimatkan kos operasi yang ditanggung oleh pihak PIBG.
RUMUSAN
Cadangan penambahbaikan bagi program ini ialah mempelbagaikan
kategori ganjaran untuk sahsiah dan disiplin murid, penyampaian anugerah sahsiah
murid dijalankan sebanyak dua kali
setahun, memaparkan wajah murid –murid dan data di papan kenyataan khas program
bagi yang menerima anugerah, ganjaran khas juga untuk guru yang memberikan
komitmen terhadap peningkatan sahsiah murid. Sekolah juga boleh mewujudkan
konsep mentor- mantee kepada murid –murid katergori butterfly iaitu murid – murid berisiko tinggi di bawah jagaan
barisan pentadbir dan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Sekolah sebagai satu sistem
perkhidmatan pendekatan psikologi dengan mendekati mereka. Peranan Kelab
Pencegah Jenayah boleh ditingkatkan lagi seiring dengan surat pekeliling
ikhtisas 7/1999 yang mengesyorkan penubuhan kelab ini untuk menangani gejala
antisosial dan kegiatan berunsur jenayah dalam kalangan murid sekolah.
Pengkaji berharap agar program ini dapat dikongsikan dengan
sekolah – sekolah lain juga. Ini kerana buat masa ini Pejabat Pendidikan Daerah
Bangsar dan Pudu memurnikan modul SUIT SMK Cheras ini untuk digunakan kepada
sekolah- sekolah yang di daerah tersebut yang masih lagi belum mencapai 90%
kehadiran murid ke sekolah dan tiada peningkatan kehadiran murid kerana kurang impak
program yang dijalankan. Selaras dengan anjakan 6 Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia yang mengupayakan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan dengan
memacu peningkatan prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan
dipimpin oleh PPD. Sebagai Jurulatih Utama
program kehadiran murid, pengkaji telah mewujudkan sebuah manual modul
menangani murid berisiko keciciran untuk disebarluaskan kepada sekolah-sekolah
yang memerlukan dan sebagai panduan dalam membimbing guru disiplin dan guru
kaunseling menangani masalah murid untuk diaplikasikan di sekolah sebagai
alternatif kepada program yang sedia ada di sekolah masing – masing.
Kesimpulannya, merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas 8/2001 mengenai Pemantapan
Pengurusan Disiplin Di Sekolah jelas menyatakan bahawa perkara-perkara penting
yang perlu dimantapkan untuk menguruskan masalah disiplin murid ialah dengan
pemantapan pengurusan disiplin dan kaunseling sekolah, mewujudkan sekolah penyayang
dan wujudnya permuafakatan ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Maka dengan
wujudnya elemen –elemen pengukuhan sistem pelaporan kehadiran murid di kelas
atau di sekolah, sistem pemantauan yang lebih kerap dan berjadual, serta
mewujudkan sistem ganjaran didapati menepati intipati surat pekeliling tersebut
yang jelas memberikan impak yang lebih tinggi dalam menguruskan masalah
disiplin murid di sekolah.
BIBLIOGRAFI
Ang
Jit Eng. Pengurusan Disiplin Murid Kuala
Lumpur: Publishing Sdn Bhd (2007)
Garis
Panduan Pengurusan Disiplin Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur .
JPWPKL.2004
Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia , Kementerian Pendidikan Malaysia
Sapora
Sipon dan Ruhaya Hussin. Teori
Kaunseling Dan Psikoterapi. USIM
2008
Surat
Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Surat Pekeliling Ikhtisas
8/2001:Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah,
Thanks sis Ema
Hush Puppies for my birthday present
And delicious meatball IKEA
Semoga murah rezeki..