22 May 2024

Pengucapan Awam PRS : Tangani Buli Dan Salah Laku Seksual



berlipat sirih pinang,
Sirih dari pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada Yang Berusaha Pn Norlela Binti A Wahid,Penolong Kanan Pentadbiran Pn Hamimah Binti Shamsuddin,Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,Puan Sabidara Binti Mahmud, Penolong Kanan Kokurikulum En Zam Zam Bin Abdul Aziz. Para guru dan rakan-rakan sekalian. Saya Khadijah
dan saya ‘Afifah. Pada hari ini, kami ingin menyampaikan pengucapan awam tentang buli dan gangguan seksual. Pada era globalisasi ini, perbuatan buli telah menjadi kebiasaan terutama sekali kepada remaja-remaja zaman kini. Sebelum itu, Tahukah anda tentang apa itu buli?.Buli adalah tingkah laku agresif yang berulang – ulang, tindakan buli boleh terjadi dalam keadaan tidak sengaja ataupun tujuan untuk menyakiti individu lain dari segi fizikal,mental dan emosi. Buli juga boleh terjadi jika individu itu mempunyai niat bermusuhan. Perbuatan buli terbahagi kepada 4 jenis, termasuklah buli secara fizikal, lisan, siber dan buli berkaitan hubungan. Buli berkaitan hubungan merupakan buli dengan niat bagi membuat seseorang itu rasa (Terpinggir) dan (Ditolak dalam berkawan). Contohnya, sekumpulan kawan memutuskan untuk meminggirkan seorang daripada kawan mereka hingga menyebabkan kawan mereka itu rasa terpinggir, hal ini sering terjadi kepada murid sekolah tanpa mengetahui tindakan tersebut adalah salah satu tindakan buli. Selain itu, buli melalui laman internet ataupun dikenali sebagai buli siber merupakan buli melalui penggunaan teknologi iaitu Email, mesej segera dan laman sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp. Tujuan mereka adalah untuk menggangu, mengugut dan memalukan mangsa. Seterusnya buli fizikal, buli fizikal merupakan buli secara terang-terangan iaitu dengan mencederakan mangsa dengan perlakuan seperti memukul, menendang dan juga mencuri. Walaupun buli fizikal sangat berbahaya, perbuatan ini sering dikerjakan oleh remaja zaman kini atas sebab tertentu, yang sememangnya tidak munasabah. Di samping itu, buli juga boleh terjadi melalui percakapan. Perbuatan seperti menghina, fitnah, mengancam dan mengejek menjadi kebiasaan antara murid di sekolah, ia mungkin boleh terjadi tanpa diketahui. Buli secara lisan bukan sahaja sering dikerjakan oleh murid sekolah, ia juga telah menjadi perbuatan yang dianggap biasa bagi mereka. Walaubagaimanapun, perbuatan ini perlu dihentikan segera bagi menjamin keberadaan dan disiplin murid di sekolah.   
Gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini. Penting untuk kita tahu bahawa gangguan seksual menybabkan mangsa berasa tidak selesa,takut atau terancam dengan tingkah laku pelaku. Terdapat beberapa jenis gangguan seksual seperti fizikal. Contohnya, sentuhan, pelukan atau urutan yang tidak diingini dan tidak bersesuaian. Selain itu, gangguan seksual secara lisan contohnya, memanggil mangsa dengan kata – kata yang tidak sesuai seperti seksi, bebeh atau sayang. Disamping itu, terdapat juga gangguan seksual jenis bukan lisan seperti menghantar mesej lucah, gambar atau video pornografi. Seterusnya, gangguan seksual secara visual seperti memandang mangsa dengan cara seksual atau membuat isyarat yang tidak sesuai. Akhir sekali, terdapat juga gangguan seksual secara psikologi seperti jemputan social yang tidak diingini berulang – ulang. Kesan – kesan gangguan seksual terhadap mangsa, terhadap fizikal, emosi dan psikologi seperti sakit kepala dan letih, berasa terhina, menyalahkan diri dan berasa ingin membunuh diri atau cuba untuk membunuh diri. Kesimpulannya, kita hendaklah mengambil tahu hak diri sendiri dan jika kita mengetahui bahawa diri kita telah mengalami gangguan seksual, kita perlulah memberitahu kepada ibu bapa atau orang yang dipercayai dengan segera!

 

Telegram Channel