7 January 2014

Pemilihan elektif SPM

Hari yang sibuk
Welcome to my world

Sesi bimbingan dan kaunseling saya hari ini kepada pelajar tingkatan 4 dan perbincangan topik hangat dengan guru penyelaras tingkatan empat dan guru kelas tingkatan empat ialah isu pertukaran kelas pelajar. Selepas tamat tingkatan 3, pelajar perlu memilih aliran yang sesuai di tingkatan 4 berdasarkan pencapaian akademik dan minat masing - masing. Penyelaras tingkatan cuba untuk memastikan pelajar memilih aliran berdasarkan pilihan mereka sendiri tetapi tidak semua permintaan pelajar dapat dipenuhi bergantung kepada bilangan pelajar yang diperlukan dalam sesebuah kelas dan aliran yang sesuai. Saya telah menerangkan kepentingan aliran kelas ini seawal Tingkatan 3 lagi bagi pelajar bersedia dengan keputusan PMR yang akan menentukan aliran kelas yang sesuai dengan kebolehan , minat dan pencapaian akademik PMR mereka. Walaubagaimanapun apabila tiba harinya, pelajar tidak pasti pula dengan aliran yang ingin diceburinya apabila pengaruh ibu bapa, rakan -rakan, persekitaran dan pencapaian akademik kurang memuaskan yang mempengaruhi keputusan yang ingin dibuat.

Bagi pelajar yang berminat ke matrikulasi syarat wajib mengambil pakej mata pelajaran Matematik Tambahan sebagai syarat utama untuk kemasukan ke matrikulasi. Oleh itu pelajar yang memilih kelas 4s1 , 4s2, 4s3 , 4k1 dan 4k2 layak untuk memasuki matrikulasi. Bermula dari 4k3 dan 4k4 hanya dua mata pelajaran elektif yang ditawarkan iaitu perdagangan dan seni atau rekacipta dan seni manakala bagi pelajar 4k5 hanya satu mata pelajaran elektif iaitu seni. Bagi kelas vokasional iaitu kelas MPV hanya satu mata pelajaran elektif ditawarkan bagi SPM. Pelajar yang berminat untuk mengikuti aliran MPV , boleh memilih sama ada ke kelas katering, ke kelas rekaan dan jahitan pakaian atau seni reka tanda. Pelajar dari kelas ini akan mendapat 2 sijil iaitu sijil SPM dan sijil SPM (V). Jika mereka gagal dalam SPM tetapi mereka lulus kelas MPV maka mereka akan mendapat SPM (V).

Masalahnya sekarang apabila pelajar tidak berminat dengan aliran kelas yang ditempatkan: 

1) Merasakan mereka tidak dapat belajar di dalam kelas Perdagangan yang memerlukan mereka membaca, mereka lebih suka mata pelajaran tidak membaca seperti seni reka tanda atau grafik.

Begitu mudah kesimpulan yang dibuat oleh pelajar. Mereka tidak mahu mata pelajaran menghafal tetapi yang mudah bagi mereka dan kebanyakan pelajar yang protes ialah pelajar yang mempunyai masalah disiplin di tingkatan 3 kerana ponteng sekolah dan kelas serta tidak menyiapkan kerja projek folio hingga terpaksa dikejar oleh guru matapelajaran semata- mata memberikan mereka markah! 6 mata pelajaran wajib memang perlu dihafal. Pelajar pelajar yang mempunyai masalah disiplin lebih suka untuk memilih kelas aliran vokasional di sekolah kerana merasakan kelas vokasional ini mudah dan tidak perlu banyak menghafal atau membaca. Persepsi ini salah kerana kelas MPV di sekolah bukan seperti kelas Giat MARA atau Kolej Kemahiran yang menekankan mata pelajaran vokasional semata-mata. Kelas MPV masih memerlukan pelajar mengambil 6 mata pelajaran wajib untuk SPM dan hanya satu mata pelajaran elektif iaitu MPV. Kelas MPV merupakan kelas vokasional yang tidak boleh melibatkan 25 pelajar dalam satu kelas kerana ia memerlukan latihan intensif dengan peralatan dan bahan yang sesuai. Hampir setiap masa kelas diadakan selama direct 2 jam lebih dan berprojek untuk diambil markah . Ia memerlukan komitmen pelajar yang tinggi, kerajinan dan komitmen dan sahsiah yang agak baik walaupun pelajar seorang yang lemah dalam akademik. Ramai pelajar yang telah diberi peluang tetapi mensia siakan peluang yang diberikan dalam kelas tersebut. Ini kerana mereka tidak suka dengan 6 mata pelajaran menghafal dan kerap tidak hadir ke sekolah dan hadir semata mata untuk kelas MPV akan membuatkan mereka dibuang sekolah juga.. Dan ketinggalan menjalankan kerja projek MPV yang hanya ditawarkan di beberapa sekolah lain di Zon Pudu. Oleh itu keputusan penyelaras tingkatan empat menempatkan mereka yang berisiko tinggi ini adalah baik kerana mereka tidak terikat dengan kerja projek yang mempunyai komitmen yang tinggi dan tidak membazirkan kuota MPV dengan memastikan 20 pelajar Tingkatan 4 yang masuk akan bergraduasi seramai 20 orang juga di Tingkatan 5.


2)  Tidak suka dengan pelajar yang berada dalam kelas barunya kerana merasakan tiada kawan dan merasakan kombinasi pelajar dalam kelasnya tidak best.

Alasan yang paling popular. Sebelum guru kaunseling meneroka , pelajar akan memberikan alasan tidak berminat sedangkan kelas tersebut merupakan kelas yang dipilih dalam pilihan pertamanya dan ada yang mengatakan tidak minat kerana tidak boleh bawa mata pelajaran tersebut padahal pelajar belum lagi belajar atau membuat research mengenai susah atau senangnya sesuatu mata pelajaran itu. Setelah diteroka alasan ingin ke kelas lain yang ada kawan-kawannnya.Perlu diingatkan memang benar kita memerlukan rakan yang boleh membuatkan kita merasa selesa sewaktu belajar kerana boleh saling bertanya dan membuat kerja sekolah..namun ia tidak kekal lama kerana jika kita tidak berminat dengan aliran kelas tersebut semakin lama pelajar akan semakin bosan dan kawan kita pula yang semakin maju dalam pelajaran. Jika kawan baik dapat mempengaruhi untuk sama-sama cemerlang ia adalah satu bonus. Namun demikian melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi memerlukan pakej mata pelajaran elektif yang sesuai untuk sesuatu kursus yang diminati pelajar. Pelajar perlu menyesuaikan diri di dalam kelas ini kerana mungkin hampir 50 peratus pelajar dalam kelas sekarang adalah pelajar yang bukan sekelas dengannya di Tingkatan 3 atau di menengah rendah. Oleh itu mengatakan tiada pelajar yang boleh dijadikan kawan dalam masa baru 2 hari di kelas tersebut bukanlah satu alasan yang boleh diterima! 

Sekali lagi diingatkan..pengaliran mata pelajaran elektif yang sesuai adalah berdasarkan minat dan kebolehan pelajar. Tetapi yang menentukan pelajar layak memilih aliran tersebut adalah pencapaian akademik PMR. Ini kerana pelajar yang menepati kriteria di atas terlebih dahulu akan dialirkan ke kelas pilihan pertama dan yang lain bergantung kepada kekosongan setelah melalui sesi kaunseling sama ada perlu bertukar atau kekal dengan kelas sekarang ..then barulah permohonan kepada penyelaras tingkatan.




 

Telegram Channel