Semalam saya menerima sijil penyertaan dari urusetia Hari Pengguna Malaysia untuk esei saya kategori E Bahasa Melayu. Tapi tak pasti adakah kecuaian urusetia yang silap menaip sijil itu yang meletakkan sijil saya dalam kategori Bahasa Inggeris atau silap saya sewaktu online esei ini saya menghantarnya pada kategori Bahasa Inggeris padahal terang lagi bersuluh ia adalah esei Bahasa Melayu. Terkilannya rasa dahlah salah sijil dan lagi terkilan bila fikirkan sudah tentu esei ini tidak diadili jika saya yang menghantar salah kategori. Apapun oleh kerana saya suka share penulisan saya di blog, marilah pembaca blog saya sahaja yang membacanya ahaks...
Tahniah kepada pemenang!
Pendapat
Para Pengguna Terhadap Perkhidmatan
Pengangkutan
Awam Malaysia
Pengangkutan awam atau transit awam
merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak
menggunakan kenderaan sendiri. Ia menawarkan perkhidmatan berjadual dalam
laluan tetap tanpa penempahan. Kadar tambangnya juga telah ditetapkan.
Kebanyakan pengguna bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah
mereka dan tempat kerja, pusat beli belah atau institusi pendidikan. Pengangkutan
awam di Malaysia terdiri dari pengangkutan darat seperti teksi dan bas,
pengangkutan rel seperti keretapi. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat
2010 dan ditubuhkan secara rasmi pada 3 Jun 2010. SPAD diletakkan di bawah
pengawasan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar
lebih efisyen dan efektif. SPAD
memainkan peranan penting di dalam merancang dan membuat polisi serta
mengawalselia pengangkutan awam darat di negara ini seperti keretapi, bas dan
teksi serta pengangkutan barang yang menggunakan jalan raya atau rel keretapi.
Suruhanjaya ini turut menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang
sebagaimana yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan
Jalan. SPAD memainkan peranan penting dalam usaha membaik pulih perkhidmatan
pengangkutan awam darat di mana usaha ini merupakan salah satu agenda utama
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pengangkutan awam bandar seperti
yang digariskan dalam Pelan Transformasi Kerajaan, yang diterajui oleh YAB
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Sebagai anak jati bandaraya
Kuala Lumpur kerana dilahirkan, dibesarkan malah mencari rezeki juga di Kuala
Lumpur saya dapat merasakan kepesatan pembangunan perkhidmatan pengangkutan
awam di Kuala Lumpur dari tahun 1970an hinggalah menuju ke era tahun 2020. Saya
merupakan pengguna setia pengangkutan awam dari kecil menaiki bas henti-henti
merupakan pengangkutan utama untuk pergi ke sekolah dan ke tempat-tempat lain.
Saya juga menaiki bas atau keretapi untuk balik ke kampung di Perak. Dari jalan raya yang kecil, hinggalah jalan
raya semakin melebar menjadi lebuh raya dan pembinaan rumah tol yang dibina di laluan
utama saya berulang alik ke sekolah pada era 1990an di laluan Cheras - Kajang
hinggalah jalan raya dikorek pula untuk pengangkutan rel. Perkhidmatan rel
telah menjadi faktor yang penting dalam pengangkutan awam Kuala Lumpur semenjak
pembukaan Transit Aliran Ringan (LRT), Sistem Transit Aliran Ringan Sdn. Bhd
(STAR) pada tahun 1996 dan kemudiannya LRT SIStem 11 iaitu Projek Usaha Sama
Transit Ringan Automatik (PUTRA) pada tahun 1998. Terdapat 50 kilometer
rangkaian rel dengan 40 stesen. Monorel menyediakan perkhidmatan untuk kawasan
pejabat dan perdagangan lain yang utama di pusat bandar raya yang merupakan penggerak
orang ramai di pusat bandar raya yang beroperasi di landasan bertingkat. Pada
pendapat saya pada ketika itu, perkhidmatan rel ini mendapat sambutan hebat
dalam kalangan warga kota Kuala Lumpur kerana perkhidmatan yang ditawarkan
merentasi kawasan strategik penduduk kepadatan tinggi ke pusat bandar seperti stesen
LRT yang dibina di kawasan Cheras berdekatan dengan kawasan rumah-rumah
pangsa Projek Perumahan Rakyat , pusat
membeli belah dan pusat bandar. Ia merupakan alternatif terbaik sewaktu
diperkenalkan memandangkan keselesaan dan kemudahsampaian berbanding
perkhidmatan bas yang lebih perlahan dan perlu bersesak di dalam bas dan
mengharung kesesakan jalan raya. Perkhidmatan pengangkutan awam adalah penting
kerana ia merupakan simbol kepada bandaraya yang efisien bagi membolehkan
anggota masyarakatnya mudah sampai ke semua kawasan dan kemudahan agar setiap
orang boleh menikmati faedah kehidupan bandar yang maksimum.
Saya memang gemar mengambil LRT jika
ingin ke pusat bandar atau menghadiri mesyuarat. Memandangkan stesen LRT yang
terhampir dengan tempat saya bertugas hanyalah 5 minit sahaja maka ia merupakan
alternatif terbaik bagi saya. Pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dan dengan
tersusunnya kemudahan pertukaran antara mod,perjalananan menjadi lebih senang
dan lancar. Sebelum telefon pintar
popular dengan pelbagai aplikasi perisian waze dan “google maps”, saya akan
cuba mencari dan mengenal pasti stesen yang terhampir untuk ke tempat mesyuarat
dan akses pengangkutan awam lain seperti bas pengantara. Ini kerana saya tidak
selesa menggunakan perkhidmatan teksi jika bergerak seorang diri. Saya juga
tidak tahu arah kemana ingin dituju jika memandu seorang diri. Maklumlah jalan
raya di Kuala Lumpur ini sangat sesak dan sebarang kesilapan kecil masuk ke
lorong yang salah atau tersilap arah boleh menyebabkan stres dan penat akibat
memandu walaupun tugas belum dibuat! Maka apabila saya perlu menghadiri
mesyuarat yang merentasi zon Pudu untuk ke Bangsar, Keramat atau Sentul
perkhidmatan berasaskan rel adalah pilihan pertama. Namun demikian sejak tahun 2013, saya
mendapati semakin ramai pengguna LRT di waktu puncak pukul 7.30 hingga 9.00
pagi. Saya pernah menunggu LRT hampir 30 minit bukan kerana masalah ketepatan
masa tetapi masalah kepadatan yang menyebabkan LRT berhenti tetapi di dalamnya
sudah terlalu penuh dengan pengguna. Ini menyebabkan saya terpaksa berputih
mata melepaskannya pergi bukan sebuah tetapi dua buah LRT. Hanya LRT seterusnya
datang barulah saya berpeluang menaikinya dan terlewat ke tempat mesyuarat.
Saya dapati di waktu puncak, pengguna berebut rebut mendapatkan gerabak dan
tidak beratur. Saya berpendapat stesen LRT juga perlu membuat garisan di pintu
masuk seperti perkhidmatan Monorel dan
dengan itu, pengguna dengan spontan akan berbaris beratur. Pengangkutan awam
yang berkesan memerlukan sokongan lain seperti petak meletakkan kenderaan yang
mencukupi. Masalah utama saya untuk menggunakan LRT ialah tempat meletak
kereta. Namun sejak tahun 2013 hingga kini, masalah ini makin serius bagi
stesen Cheras atau Bandar Tun Razak. Ini kerana stesen ini terletak betul betul
di kawasan rumah pangsa atau pangsapuri yang mana kereta penduduk di situ pun
sudah memenuhi hingga ke hadapan stesen LRT. Saya pernah berputus asa mencari petak letak
kereta dan saya juga pernah mengalami kesukaran apabila kereta yang
ditinggalkan dihalang oleh kereta lain. Walaupun tempat saya bertugas hanyalah
5 minit pemanduan kereta ke stesen LRT tetapi tiada bas pengantara dari stesen
ke tempat kerja saya menyebabkan saya perlu juga memandu kereta.
Saya berpendapat perkhidmatan rel
perlu mesra pengguna kepada yang berbasikal. Pengalaman saya ke Perth,
Australia pada tahun 2012 dan Korea pada tahun ini dan melihat bagaimana
pengguna menggunakan basikal dan memasukkan basikal di dalam perkhidmatan rel
samaada subway atau transperth. Oleh itu mereka hanya bergerak dari rumah
menaiki basikal dan tidak memerlukan kereta untuk diletakkan di stesen dan bas
perantara. Saya tidak pernah melihat keadaan ini di Malaysia dan tidak pasti
sama ada dibenarkan atau tidak memandangkan rekabentuk dalaman LRT dan komuter
tidak mesra untuk pengguna berbasikal menaikinya bersama basikalnya sekali.
Namun demikian, saya berharap ada satu gerabak sekurang-kurangnya direkabentuk
untuk pengguna berbasikal. Stesen LRT juga pula mesra pengguna untuk
menyediakan tempat letak basikal yang sesuai. Ini kerana di waktu puncak,
pengguna juga terdiri dari ramai para pelajar yang ke sekolah. Penggunaan
basikal memudahkan mereka untuk terus menaiki basikal ke sekolah tanpa perlu menunggu
bas untuk menyambung perjalanan mereka. Malah peningkatan pengguna berbasikal
juga meningkat di jalan raya sama ada untuk tujuan riadah atau bersukan, tetapi
boleh digunakan untuk pengangkutan utama ke tempat kerja jika perkhidmatan rel
mesra pengguna berbasikal.
Memandangkan kini saya
tinggal di pusat bandar Kajang dan stesen komuter hanyalah 7 minit jarak
perjalanan dengan kereta, saya akan menggunakan komuter jika perlu menghadiri
urusan rasmi hingga ke kawasan Kepong, Sungai Buluh atau Shah Alam. Sewaktu
dilancarkan perkhidmatan komuter adalah perlahan. Menunggu hingga 30 minit
untuk jarak masa antara komuter yang berikutnya memang membosankan dengan
stesen keretapi yang panas. Keadaan di dalam komuter juga agak sesak dan
rekabentuk dalaman komuter juga tidak begitu menarik. Saya merasakan saya
seperti menaiki keretapi diesel untuk balik ke kampung kerana perlahan. Oleh
kerana itu, hampir 8 tahun saya tidak menggunakan perkhidmatan ini. Namun
demikian perkhidmatan komuter juga mengalami peningkatan mutu perkhidmatan, sewaktu
saya menaiki komuter ke Kepong dari
Kajang pada tahun ini, perjalanan hanya 45 minit dan jurang masa antara komuter
daripada 20 minit kepada 15 minit . Rekabentuk dalaman komuter juga kini sangat
selesa dan ada koc merah jambu lagi khas untuk penumpang perempuan. Sekarang
saya tidak sabar menunggu perkhidmatan MRT (Mass Rapid Transit) yang merupakan
laluan utama saya berulang alik dari rumah saya di Kajang hingga ke kawasan
tempat bertugas saya di kawasan Cheras. Setelah siap ia benar-benar menjimatkan
perjalanan saya yang memandu hampir 45 minit hingga sejam pada waktu pagi dan
menjimatkan duit tol juga. Dengan stesen Kajang yang hanya 3 minit dari rumah
dan stesen Taman Pertama, Cheras yang hanya 3 minit dari tempat kerja adalah
pilihan yang sangat berbaloi dari segi masa dan wang.
Perkhidmatan keretapi
antarabandar juga mengalami perubahan mutu perkhidmatan yang lebih baik. Di zaman 1980an keretapi antarabandar
mempunyai gerabak hingga kelas ketiga yang mana penumpang berebut rebut menaiki
gerabak tersebut tanpa perlu mempunyai nombor tiket untuk diduduki. Ada yang
membawa tikar dan surat khabar untuk duduk di atas lantai. Penjaja berulang
alik untuk menjual pelbagai jenis makanan di dalam gerabak keretapi. Saya
berpeluang merasai pengalaman tersebut dengan gerabak keretapi yang hanya
mempunyai kipas sahaja dan tingkap yang boleh dibuka. Tetapi kini tiada istilah
tiket kelas ketiga dan perkhidmatan keretapi jauh lebih baik . Perjalanan saya
ke Bagan Serai,Perak pada tahun 2013 selepas hampir 10 tahun tidak menaiki
keretapi untuk balik ke kampung amat mengejutkan saya. Tempat duduk yang sangat
selesa walau bukan dari kelas pertama! Kemudahan televisyen dan penghawa dingin
memberi nilai tambah kepada perkhidmatan keretapi. Stesen keretapi juga
mengalami perubahan yang sangat baik dengan peningkatan kualiti dan seni bina
landskap stesen keretapi dari stesen ke stesen yang dahulunya hanyalah dibina
dengan kayu sahaja. Sangat selesa sehingga sejak itu anak-anak saya meminta
agar menaiki keretapi sahaja untuk balik ke kampung. Saya berpendapat mutu
perkhidmatan keretapi yang semakin berkualiti merupakan faktor utama keretapi sering kehabisan tiket
kerana apabila saya ingin membeli tiket di saat –saat akhir biasanya tiket
sudah habis. Ia memberikan keinsafan kepada saya bertuahnya hidup di Malaysia
yang semakin meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. Pengalaman saya ke Sri Lanka
pada tahun 2013, melihat perkhidmatan keretapi mereka antarabandar dan merasai
sendiri pengalaman menaiki keretapi mengingatkan saya dengan rekabentuk dalaman
dan mutu keretapi di Malaysia di era
1980an. Yang terkini saya tidak sabar menantikan operasi keretapi elektrik atau
ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar yang laju dan memakan masa kurang empat
jam sahaja dan yang penting ia melalui kampung saya. Ini kerana perjalanan ETS
yang sedia ada hanyalah dari Sentral Kuala Lumpur ke Ipoh sahaja dan jika
menaiki keretapi lokomotif diesel memakan masa 3 jam dan tiba di stesen Bagan
Serai hampir 7 jam. Pembinaan rel keretapi itu semakin giat dijalankan dan
setiap kali saya balik ke kampung melihat pemandangan pembinaan stesen keretapi
merentasi di Tasik Bukit Merah satu panorama yang cukup
indah. Saya percaya ia merupakan
pengangkutan utama saya untuk berulang alik ke kampung selepas ini.
Bas merupakan pengangkutan
awam utama dari kawasan perumahan masing-masing. Mutu perkhidmatan bas awam
henti-henti telah banyak melalui fasa perubahan. Dari zaman 1980an era bas mini
yang mana bersesak sesak dan kita perlu membayar tiket kepada konduktor bas dan
pemandu bersama konduktor akan berusaha bersungguh –sungguh untuk mendapatkan
jumlah penumpang semaksimum mungkin bagi mendapatkan komisen dari pengusaha bas
hingga penumpang terpaksa berdiri di
tangga. Hinggalah ke era hujung 1990an,
inovasi menggunakan mesin tiket dimana kita perlu memasukkan duit dalam mesin di
sebelah pemandu hinggalah kini rekabentuk bas yang lebih menarik, lebih luas
bagi pengguna berdiri di lorong tengah dan dengan penghawa dingin dan televisyen. Rupabentuk stesen menunggu bas juga adalah
moden dan bergaya. Saya masih teringat menggunakan perkhidmatan bas Foh Hup di
Stesen Bas Puduraya untuk ke Cheras di era 1990an, di mana panas dan asap yang
banyak benar-benar menyakitkan mata. Maklumlah jika diambil dari stesen
Puduraya maka kebarangkalian untuk mendapat tempat duduk adalah tinggi dan
peluang untuk menaiki bas juga adalah tinggi berbanding menunggu di perhentian
bas. Ini kerana di waktu puncak, hampir 2 bas malah 3 bas yang lalu di hadapan
kita pun, tidak dapat berhenti kerana telah dipenuhi dengan pengguna dari stesen
pertama Puduraya lagi hingga ke stesen ketiga sudah penuh sesak hingga ke
tangga. Namun kini, semua stesen bas telah dinaik taraf untuk keselesaan
pengguna dengan lebih banyak tempat duduk disediakan dan dalam keadaan bersih.
Pemandu bas juga patut diberikan pujian kerana memandu secara berhemah dan
mengikut laluan yang ditetapkan. Ia sama sekali berbeza dengan perkhidmatan bas
dahulu di mana imej pemandu membawa dengan kelajuan dan kepadatan yang
membahayakan pengguna. Kini imej pengangkutan awam bas semakin baik dan selesa.
Mutu perkhidmatan bas henti-henti juga ditingkatkan dengan menambah kekerapan
perjalanan sewaktu masa puncak dan pengguna tidak perlu menunggu lama.
Rupabentuk fizikal bas juga adalah bersih sama ada dari luar mahu pun dalaman
bas.
Mutu perkhidmatan bas antarabandar
juga semakin bertambah baik. Lebuh raya yang memendekkan masa perjalanan dan
kemudahan hentian rehat dan rawat yang lebih banyak dengan kemudahan yang
selesa seperti tandas kategori bersih, surau yang luas dan jalan raya yang
semakin baik adalah faktor pengguna memilih bas bagi perjalanan jarak jauh jika
penat membawa kenderaan masing-masing. Rekabentuk dalaman bas yang lebih selesa
untuk perjalanan jauh dan keadaan jalan raya yang baik meningkatkan lagi
kualiti perkhidmatan bas antarabandar. Rekabentuk luaran juga adalah moden dan
tidak seperti dahulu yang kelihatan seperti bas kilang sekarang. Pujian juga
harus diberikan kepada mutu perkhidmatan teksi. Di dalam teksi sekarang
dilengkapkan dengan meter dan pelbagai maklumat mengenai pemandu teksi. Sudah
kurang panggilan ulat teksi iaitu teksi tanpa meter yang beroperasi kerana
pengguna mudah membuat aduan. Di Bandar, akses kepada perkhidmatan teksi juga
adalah mudah sama ada melalui telefon atau menunggu teksi di tempat yang
disediakan.
Saya berpendapat sistem
pengangkutan awam di Malaysia perlu memperkenalkan konsep 1 Tiket 1 Perjalanan.
Saya pernah ke Korea Selatan dan tertarik dengan sistem T-Card iaitu
transportation card yang boleh digunakan untuk semua jenis pengangkutan awam
termasuklah teksi. Di dalam teksi dilengkapkan dengan mesin seperti mesin untuk
kad kredit untuk diimbas. Jadi saya menggunakan hanya satu kad dari
perkhidmatan “Airport Express” seperti
ERL dari lapangan terbang Incheon ke pusat bandar Seoul dan dari Seoul ke Itchiwon
menggunakan perkhidmatan subway umpama LRT. Saya terkejut apabila ingin ke
Bukchon Hanok Village menggunakan perkhidmatan teksi, pemandu teksi juga boleh
menerima kad tersebut. Penggunaan kad ini sangat mesra pelancong dan pengguna
kerana mempunyai mesin layan diri untuk membayar semula baki wang yang masih
ada dalam T-Card itu sendiri. Bayaran tiket perjalanan menggunakan T-Card ini
lebih murah berbanding menggunakan kad jenis lain. Dalam usaha menambahbaik
pengangkutan awam di negara ini, kerajaan perlu menyediakan sistem pengangkutan
awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat untuk menjadikannya sebagai pilihan
utama masyarakat khususnya di bandar. Kerajaan perlu memberi fokus kepada beberapa
perkara utama dalam sektor pengangkutan awam di negara ini agar kepercayaan
masyarakat terhadap kemudahan ini meningkat. Antaranya meningkatkan
kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa. Jika semua
pengangkutan awam bergerak pada masa yang ditetapkan maka mudah untuk merancang
perjalanan dan meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam. Kerajaan juga
perlu memastikan akses mudah pengangkutan awam dengan menambahkan tempat
meletak kereta baru di stesen rel utama walaupun perlu dibayar, diluar kawasan
pinggir pusat bandar utama, dan mempertingkatkan perkhidmatan bas pengantara
pada waktu puncak. Selain itu kerajaan perlu menyediakan kapasiti pengangkutan
awam mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan baru. Perjalanan
semasa waktu puncak memerlukan kekerapan dan jurang masa yang lebih singkat
antara pengangkutan yang berikutnya untuk menampung bilangan pengguna yang
lebih ramai.
Oleh itu saya berharap agar kerajaan
memberi penekanan kepada penyediaan satu sistem pengangkutan awam yang
bersepadu, fleksibel, pelbagai dan efisien berorientasikan kemudahsampaian dan
keselesaan penumpang. Melalui pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dengan
pengangkutan persendirian maka pengangkutan awam boleh dijadikan pilihan utama
terutama di bandar bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Dengan tersusunnya
kemudahan pertukaran antara mod dan sistem tiket bersepadu, perjalananan
penumpang akan menjadi lebih senang dan lancar dan meningkatkan pilihan
pengguna terhadap pengangkutan awam.
Salam Maal Hijrah 1437H