30 June 2015

Terima kasih kaunselor praktikal

Terima kasih kaunselor praktikal

Hari terakhir kaunselor praktikal untuk Master Kaunseling di sekolah ini dari bulan Mac hingga Jun 2015. Bagi saya ini adalah pakej terbaik kaunselor praktikal yang saya ada kerana pakej berbilang kaum dari Cina dan India kerana guru kaunseling tetap di sini semuanya Melayu. Oleh itu peningkatan dalam jumlah klien Cina yang kami uruskan dalam tiga bulan ini sangat mendadak. Faktor penarik kaunselor Cina memandangkan 45 peratus pelajar sekolah ini berbangsa Cina. Saya pernah memohon agar seorang kaunselor Cina ditempatkan di sini kerana masalah bahasa untuk menjalankan sesi kaunseling terutama kepada pelajar Cina di sesi petang. Kadangkala kami terpaksa meminta bantuan PRS Melayu yang pandai berbahasa Cina untuk membantu kami menjalankan sesi kaunseling. Dengan setiap kali kemasukan pelajar dari sekolah rendah ke SMK Cheras mencecah 50 peratus dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina maka masalah ini memang dijangkakan. Oleh kerana itulah di sekolah ini kami mempunyai dua kelas peralihan untuk mengajar secara intensif bahasa malaysia selama setahun. Tetapi jika ada kes melibatkan kelas ini, kami terpaksa meminta pertolongan guru Bahasa Cina kerana kesukaran deal dgn pelajar ini seawal mengisi borang. Namun demikian stok guru kaunseling Cina memang sukar. Mereka akan ditempatkan terlebih dahulu di sekolah sekolah yg mana pelajar Cina mencecah lebih 70 peratus. Dengan bilangan guru kaunseling Cina yg posting saban tahun yg boleh dibilang dengan jari kanan sahaja di WPKL ini dan adakalanya tiada..keutamaan diberi kepada sekolah sekolah jenis kebangsaan cina.

Apa pun terima kasih kepada Teresa dan Darshini kaunselor praktikal yang sangat membantu saya menangani masalah pelajar di sini. Mempunyai kaunselor praktikal yang membantu dan tidak membuat karenah adalah satu bonus untuk perkhidmatan UBK.

Bye Jun /13 Ramadhan 1436H
Ya Allah...berikanlah ku kekuatan
Untuk membantu orang lain

29 June 2015

Tahniah! Projek Permata/Juara

Tahniah! Projek Permata/Juara

Tahniah kepada pelajar projek permata yg menerima keputusan terbaik SPM iaitu straight A seramai 2 orang dan 7 orang memperolehi nearmiss straight A yg bermaksud memperolehi keputusan A dan hanya satu subjek sahaja memperolehi B. Bercakap mengenai projek permata yang telah saya jalankan sejak tahun 2008 yg asalnya ialah projek kaunseling berfokus cemerlang. Namun demikian rupanya projek yg saya jalankan ini merupakan sesuatu yg baru pula bagi kebanyakan sekolah di KL. Ini kerana apabila kami mendapat pengarah Jabatan Pendidikan WPKL yang baru dari Selangor, pengarah ini memperkenalkan konsep Juara iaitu fokus untuk mendapatkan GP yg baik bagi SPM iaitu meningkatkan bilangan straight A di sekolah. Di Selangor ia diberi nama Champion. Apabila pengarah menyampaikan taklimat mengenai program Juara ini kepada pengetua dgn mengarahkan agar guru kaunseling selaku setiausaha..orait ia merupakan satu tugas tambahan yang perlu ditambah dalam skt selepas ini. Tetapi bagi sekolah saya, ia bukanlah sesuatu yg baru memandangkan saya sendiri yg mengasaskan projek ini di sekolah sejak 2008. Sebab itu balik dari taklimat pengarah, pengetua kata projek Juara yg pengarah bentangkan sudah seperti yang saya jalankan.  Cuma yg tak bestnya saya selalu memanggil permata tetapi kini dilabel program Juara. Sebab tu saya panggil permata juara sekarang. Program juara merupakan program sisipan dari projek yang dijalankan untuk pelajar cemerlang. Bergantung kepada sekolah masing masing perlaksanaannya. Minggu lepas saya kongsikan kertas kerja program permata juara yg saya buat pada akhir 2014 untuk program 2015 untuk panduan guru guru kaunseling WPKL yang belum biasa dengan projek ini. Semoga ia menjadi panduan. Boleh klik sini Kertas Kerja Program Permata untuk panduan program Juara yg diletakkan kepada guru kaunseling selaku setiausaha.

Doa Ramadhan hari ke 12
Ya Allah ! Hiasilah diriku dengan penutup dan kesucian. Tutupilah diriku dengan pakaian qanaah dan kerelaan. Tempatkanlah daku di atas jalan keadilan dan sifat insaf. Tenangkanlah diriku dari setiap yang daku takuti: dengan penjagaan-Mu, Wahai Penjaga orang-orang yang takut.

28 June 2015

Kertas Kerja Anugerah Insentif Galakan Pelajar Ke Sekolah: Di FRIMKepong

Kertas Kerja Anugerah Insentif Galakan Pelajar Ke Sekolah: Di FRIMKepong

KERTAS KERJA
PROGRAM GANJARAN GALAKAN KE SEKOLAH
AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI  FRIM, KEPONG

1.0     PENGENALAN
          Satu sesi aktiviti pengajaran dan pembelajaran luar kelas diadakan di FRIM, Kepong sebagai memenuhi ganjaran kepada murid di dalam kelas 5S3 kerana berjaya mempunyai peratus kehadiran ke sekolah yang paling tinggi bagi penggal pertama persekolahan. Murid dan mentor kelas ini memilih untuk ke FRIM, Kepong kerana mentor selaku guru Bahasa Malaysia ingin mengadakan aktiviti di luar kelas untuk meransang idea dan menjana pemikiran kritis dan kreatif pelajar mengenai tajuk perhutanan dan pelancongan memandangkan Forest Research Institute Of Malaysia merupakan satu-satunya hutan penyelidikan di dunia dan menjadi tarikan penyelidik seluruh dunia. Mentor kelas ingin murid mengambil kesempatan keistimewaan hutan di sini dengan merasai pengalaman menaiki kanopi dan mendapat input berguna mengenai aktiviti meneroka hutan ini melalui perjalanan di kanopi selama 3 jam dengan pelbagai maklumat yang menarik dari jurupandu yang berpengalaman. Mentor selaku guru Bahasa Malaysia mengharapkan dengan lawatan ini, aktiviti pengajaran yang bersifat secara langsung ini dapat menghasilkan esei yang bermutu.

2.0     OBJEKTIF
1) Sebagai ganjaran kepada murid kerana mempunyai peratus kehadiran ke  sekolah   
    yang paling tinggi.
2) Agar murid dapat menyertai satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar 
    sekolah dan sebagai galakan kepada murid  lain agar bersungguh – sungguh
    meningkatkan kehadiran diri ke sekolah.

3.0     TARIKH
          30 Julai 2015
         
4.0     MASA
          8.30  pagi hingga 2.00 petang

5.0     TEMPAT
          FRIM, Kepong

6.0     AHLI JAWATANKUASA
          Pengerusi               : Puan Kamariah Bt Abu
          Naib Pengerusi        : Puan Sapura Bt Amat
          Setiausaha              : Puan Nurhaiza Bt Che Mat
          AJK Pengangkutan  : En Che Mohamad Padali Bin Che Mat
          AJK Makanan         : Puan Noraini Jamaluddin
          AJK Dokumentasi    : Puan Norliza Borhan

7.0     TENTATIF PROGRAM
          8.30 pagi      : Pendaftaran
          8.40 pagi      : Bertolak ke FRIM, Kepong
          9.40 pagi      : Dijangka tiba di FRIM, Kepong
          9.50 pagi      : Taklimat dari pegawai FRIM, Kepong
          10.00 pagi     : Aktiviti berjalan di atas kanopi
          1.00 tengah hari : Tamat aktiviti berjalan di atas kanopi
                                       Makan tengah hari
          1.30 tengah hari: Bertolak pulang
          2.30 petang  : Dijangka tiba ke sekolah

8.0     ANGGARAN PERBELANJAAN
          Sumber Kewangan
          PIBG                      ;                                       RM 490
          SUWA                    :                                       RM 450
          Jumlah                   ;                                       RM 890
          Perbelanjaan
          Pengangkutan         :                                       RM 450
          Yuran jurupandu     :         RM 120 x 2 orang = RM 240
          Yuran kanopi           :         RM 5 x 20 orang   = RM 100
          Makanan                :         RM 5 x 20 orang   = RM 100
          Jumlah                   :                                     = RM 890

9.0     PENUTUP
          Diharapkan agar program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang  
          diharapkan.  
          Disediakan oleh,                                                        Diluluskan oleh,

          Nurhaiza Bt Che Mat                                                 Kamariah Bt Abu


LEMBARAN KERJA
1)       Nyatakan 5 jenis pokok yang terdapat di FRIM?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

2)       Bagaimanakah FRIM boleh ditubuhkan di Malaysia?
          ________________________________________________________________  
          ________________________________________________________________

3)       Nyatakan pokok yang boleh digunakan untuk tujuan membuat perabot?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

4)       Mengapa pokok Jelutong sesuai digunakan untuk membuat pensel?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

5)       Bagaimanakah proses mengambil kayu pokok untuk tujuan pembalakan?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________


6)       Apakah peranan FRIM terhadap perhutanan di Malaysia?
          ________________________________________________________________ 
          _______________________________________________________________

7)       Apakah yang anda tahu mengenai maksud ekopelancongan?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

8)       Apakah  inovasi –inovasi yang telah dihasilkan oleh pihak FRIM untuk
          sains dan teknologi?             
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

9)       Mengapa generasi muda harus didedahkan dengan alam semulajadi?
          ________________________________________________________________ 
          ________________________________________________________________

10)     Tuliskan satu esei yang panjangnya  350 patah perkataan mengenai Peranan           
          Anda Untuk Mempromosikan FRIM sebagai salah satu dari Ekopelancongan di        
           Malaysia.
          ________________________________________________________________ 
          _____________________________________________________


Pulun esei Hari Pengguna
Target hadiah wang tunai..jom :)

27 June 2015

Skop Tugas Guru Bimbingan & Kaunseling

Skop Tugas Guru Bimbingan & Kaunseling


Berdasarkan surat pekeliling perekayasaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah 2012 bertarikh 16 April 2012:

FOKUS PERKHIDMATAN B & K

1.              Perkhidmatan B & K dilaksanakan secara sepenuh masa  dan berfokus kepada program   dan aktiviti;

Pembangunan dan pengembangan sahsiah diri murid

Peningkatan disiplin diri murid

Pendidikan Kerjaya murid

Psikososial dan kesejahteraan mental murid

Pengurusan Profil Murid

Pendidikan Pencegahan

Konsultasi keibubapaan

Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)


Fokus Pembangunan Sahsiah Diri Murid:
2.             Fokus ini adalah untuk memupuk pengembangan personaliti kendiri (charector) murid dari aspek;
3.              Sikap penyayang (kepedulian)
Budi bahasa
Konsep kendiri
Kepemimpinan
Komunikasi
Kekemasan diri
Ketepatan masa

Fokus Peningkatan Disiplin Diri Murid
4.              Fokus ini adalah memupuk disiplin diri murid termasuk intervensi yang perlu dilakukan bagi mencegah mereka terlibat dengan gejala-gejala seperti berikut;
Perlakuan ponteng sekolah
Perlakuan berunsur jenayah
Perlakuan berunsur kelucahan
Perlakuan berunsur kurang sopan
Perlakuan berunsur vandalisme

Fokus Pendidikan Kerjaya Murid
5.             Fokus ini adalah berkaitan pendedahan dan bimbingan kepada murid mengenai  maklumat berkaitan peluang pendidikan dan hala tuju kerjaya. Menerusi fokus ini, guru B & K perlu;

melaksanakan program Pendidikan Kerjaya secara terancang bagi memastikan semua murid dapat mengenalpasti potensi diri, minat, sikap dan hala tuju kerjaya.

Menyediakan Profil Kerjaya setiap murid mulai sekolah rendah sehingga menengah dalam pelan pembangunan dan perkembangan kerjaya mereka.

Menyediakan rekod murid selepas tamat persekolahan sama ada terus ke kerjaya atau meneruskan pengajian ke institusi-institusi awam atau swasta.

Fokus Psikososial dan kesejahteraan mental murid

6.     Fokus ini adalah membimbing murid supaya mampu mengekal dan mengurus kesejahteraan diri dan mental. Menerusi fokus ini, guru B & K perlu;

Membimbing murid dalam proses sosialisasi dan interaksi
Membimbing murid dalam aspek pengurusan emosi
Membantu murid mengembangkan pemikiran yang positif

Fokus Pengurusan Profil Murid
7.       Fokus ini adalah menyediakan pengkalan Profil Murid. Ia bertujuan untuk membuat analisis terhadap sesuatu isu berkaitan murid seterusnya  tindakan membantu dan mencegah sesuatu isu itu boleh dilakukan secara lebih berkesan.  Menerusi fokus ini, guru B & K perlu;
           Menyediakan profil setiap murid bermasalah disiplin
           Menyediakan profil setiap murid ponteng sekolah
           Menyediakan profil kerjaya setiap murid
           Menyediakan profil murid dari segi Kesejahteraan Mental/emosi

8.    Profil murid hendaklah mengandungi maklumat mengenai latar belakang murid, latar belakang ibu bapa/penjaga, latarbelakang masalah, kekerapan dan punca  masalah, status tindakan penyelesaian.

Fokus Pelaksanaan Pendidikan Pencegahan
9.            Fokus ini adalah memberi pendidikan pencegahan serta membimbing murid agar berupaya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan diri dari segi kegiatan seks bebas, bahaya HIV, dadah, rokok termasuk bahan inhalan.

10.      Fokus ini juga adalah memberi pendidikan pencegahan serta membimbing murid agar mengelakkan diri daripada jenayah rogol dan bunuh diri.

Fokus Konsultasi Keibubapaan:

11.         Fokus ini adalah membimbing murid mengetahui tanggungjawab diri dalam keluarga di   mana;

kemahiran keibubapaan akan diterapkan bermula dari alam persekolahan,
melaksanakan aktiviti engagement bersama ibu bapa murid.

Fokus Pengembangan Kemahiran Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
12.         Fokus ini adalah meningkatkan  kemahiran menolong dan soft skills (kemahiran generik) semua ahli PRS. Guru B & K perlu;
           Melaksanakan latihan kemahiran kepada murid yang menjadi PRS.
        Melatih PRS agar berupaya memainkan peranan membantu rakan sebaya berkonsepkan    
       ‘Bantu Diri Untuk Bantu Orang Lain’ dengan;
a.            PRS sebagai role model kepada orang lain
b.            Memberi galakan kepada rakan agar bersikap positif
c.            Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain


Murid Berkeperluan Khas

13.          Fokus ini memberikan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan khas kepada murid-murid berkeperluan khas  di sekolah. Fokus ini memberi penekanan dari segi kebajikan, kemudahan, soft skills dan hala tuju murid berkeperluan khas. Murid normal yang lain juga menerima, membantu dan sentiasa memberi pertolongan kepada murid - murid berkeperluan khas 


Penyampaian Outreach Perkhidmatan 
14.   Membuat sebaran kepada murid berkaitan perkhidmatan yang boleh diberi oleh   
    GBK  serta faedah yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan bimbingan dan 
       kaunseling. Sebaran berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya murid.

Perkhidmatan Kaunseling Individu dan Kaunseling Kelompok

15.        Perkhidmatan Kaunseling Individu dan Kaunseling Kelompok adalah menjadi Sasaran Kerja Utama guru B & K.

.          Murid boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara individu atau kelompok pada bila-bila masa waktu persekolahan termasuk semasa waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P).


Pelaksanaan Program dan Aktiviti Murid
16.          Pelaksanaan program dan aktiviti murid yang merujuk kepada fokus perkhidmatan ini hendaklah dirancang dan dilaksanakan bersesuaian dengan matlamat yang ditetapkan.

17.          Selain itu, masa serta kerjasama pihak pentadbir, rakan guru yang lain perlu diperolehi bagi melaksanakan sesuatu aktiviti secara berkesan.


Menjalankan Tugas Luar

18.          Seorang guru B & K boleh dibenarkan menjalankan tugas luar iaitu selain daripada tugas hakiki di sekolah mereka dengan kadar 10 peratus setahun. Ini bermakna, 90 peratus masanya setahun hendaklah berada di sekolah tempat mereka bertugas.

19.          Kekecualian boleh diberikan sekiranya guru B & K diarahkan;

Mengikuti kursus, latihan termasuk menyambung pengajian dalam tempoh masa yang panjang.

Menjalankan tugas luar apabila berlaku sesuatu bencana atau mala petaka di sesuatu tempat.

Kekecualian menjalankan tugas luar melebihi tempoh atau kadar yang ditetapkan dalam perkara ini boleh juga diberikan dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu.

20.          Dalam hal ini, tugas luar bermakna tugas yang diarah atau diminta oleh agensi atau badan lain termasuk KPM, JPN dan PPD.


Penyampaian (Outreach) yang berkesan
21.         Bagi memastikan agar perkhidmatan B & K adalah perkhidmatan yang mesra murid, maka guru B & K hendaklah;

Membuat sebaran secara berkesan berkaitan perkhidmatan, program dan aktiviti yang ditawarkan kepada murid.

Menawarkan aku janji (piagam pelanggan) manfaat yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan B & K di sekolah.


Engagement  bersama murid, guru dan ibu bapa
22.          Bagi menentukan agar perkhidmatan ini menjadi istimewa, maka guru B & K hendaklah;

Mengadakan jalinan perhubungan mesra dengan khususnya ibu bapa dan keluarga dalam menangani sesuatu isu berhubung murid.

Mengamalkan sikap penyayang dalam hubungannya dengan murid, rakan guru, ibu bapa, komuniti setempat dan masyarakat.

Mewujudkan jaringan (networking) dengan pihak-pihak lain termasuk murid, rakan guru, ibu bapa dan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas terhadap perkhidmatan yang diberi.


Kelas Ganti
23.          Guru B & K Sepenuh Masa boleh mengambil kelas ganti tidak lebih 8 waktu seminggu.

24.          Semasa bertugas sebagai guru ganti di sesebuah bilik darjah, mereka hendaklah melaksanakan program atau aktiviti yang berkaitan perkhidmatan B & K.

25.          Guru B & K boleh menggunakan Modul Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sebagai panduan dan rujukan semasa melaksanakan aktiviti bimbingan di dalam kelas ganti.


Jadual Waktu

26.      Tempoh masa GBK adalah sama dengan guru P&P. walaubagaimanapun , jadual bertugas bagi GBK di sekolah perlu lebih flexi. Hal ini bermakna sesi bertugas seseorang GBK di sekolah tidak terikat sama seperti masa bertugas giru P&P di bilik darjah. Ianya boleh disesuaikan mengikut keperluan tugas seharian guru  B&K

Sesi bertugas mereka hendaklah lebih fleksible kerana fungsi mereka termasuk aktiviti engagement bersama ibu bapa murid, agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk pemimpin masyarakat dan komuniti luar sekolah di mana aktiviti tersebut hanyalah untuk kepentingan dan faedah murid mereka di sekolah

Perkapita Grant (PCG) Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah

27. PCG yang diperuntukkan kepada sekolah bagi BnK hendaklah digunakan sepenuhnya untuk semua perkhidmatan BnK yang berfokus kepada 4 bidang utama 

Sokongan Pentadbir Sekolah

28.          Dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan oleh guru B & K, sokongan dan kerjasama daripada pihak pentadbir sekolah amat diperlukan. Dalam masa yang sama, pihak pentadbir sekolah juga hendaklah membuat pemantauan serta memberikan maklum balas kepada guru B & K akan keberkesanan perkhidmatan mereka.




 Hari Terbuka SJKSC
 Unlock your kids potential :)













26 June 2015

Ceramah Pemantapan Sahsiah Moral

Ceramah Pemantapan Sahsiah Moral

Slot moral kelolaan UBK dijalankan pada setiap hari Jumaat sebulan sekali kepada pelajar bukan Islam di tapak perhimpunan. Slot yang memang dikhaskan satu masa pdp dalam jadual waktu sekolah setiap hari Jumaat. Pelajar Islam akan berada di dewan untuk bacaan Yaasin dan pelajar Moral di tapak perhimpunan bersama guru guru yang bukan Islam untuk slot Moral. Hanya sebulan sekali sahaja slot Moral dikhaskan untuk UBK. Hari ni saya menjemput penceramah berbangsa Cina untuk menyampaikan slot pemantapan sahsiah kepada pelajar dalam bahasa Cina. Pengisian mengenai tingkah laku yang beradab sopan dan menjaga sahsiah diri untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan perlakuan yang tidak bermoral dan gejala kepincangan sosial.





Selamat hari jadi mak
Semoga kesihatan di tahap terbaik

25 June 2015

Pengisian Data eSarana PIBK

Pengisian Data eSarana PIBK


Sila ke link berikut untuk format mengisi data tahun 2016 


Entri yang dipost pada tahun 2015 ini , untuk tahun 2015 dan format lama.

Taklimat Rintis Pengisian data eSarana Inisiatif  Perlaksanaan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti bagi sekolah - sekolah Zon Pudu  tetapi dijalankan merentasi zon nun jauh di SK Taman Tun Dr Ismail, Bangsar. Terdapat  program yang perlu di key in untuk pengisian data kehadiran ibu bapa dalam aktiviti sekolah iaitu Pendaftaran Tingkatan 1, Hari Orientasi, Mesyuarat Agong PIBG, Penetapan Matlamat, Hari Terbuka Sekolah. Data bilangan pelajar akan diperolehi terus dari data apdm sekolah. Memandangkan guru kaunseling merupakan penyelaras sarana sekolah di JPWPKL ini, sudah tentulah pengetua mengarahkan surat ke guru kaunseling untuk mengisi data key in PIBK ini. 

Yang menariknya bila klik nama student akan tertera nama ibu atau bapa atau penjaga masing- masing. Dan jika sekolah tidak berbuat apa -apa maka nama sekolah akan tertera warna merah sesuatu yang cuba dihindarkan oleh guru yang terlibat. maka hari ini juga data PIBK ini dilengkapkan menerusi
                                                    Klik disini  Data eSarana.


Kata laluan kod sekolah huruf besar dengan P dihujungnya WEB0000P dan
 password huruf kecil pibg.

Tahun ini juga ada format baru dengan tajuk sukarelawan sekolah iaitu jika ada sahaja ibu bapa yang menyumbang bakti dari aspek sumbangan wang atau khidmat kepada sekolah seperti nasihat, bertugas di tempat pendaftaran dan sebagainya dikira sebagai sukarelawan sekolah.




Doa Ramadhan ke 8

Ya Allah berilah daku rezeki berupa kasih sayang terhadap anak-anak yatim dan pemberian makanan serta penyebaran salam dan pergaulan dengan orang-orang yang mulia. Dengan kemuliaan Mu, wahai tempat berlindung bagi orang-orang yang berharap.

24 June 2015

Tadarus Quran Ihya Ramadhan

Tadarus Quran Ihya Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Mendapat pengetua yang mementingkan kerohanian untuk membentuk sahsiah yang terpuji menyebabkan pelbagai aktiviti dirangka oleh panitia agama. Dari solat Zohor dan Asar berjemaah untuk pelajar Islam dari awal tahun lagi hinggalah membaca Yaasin untuk pelajar Islam di waktu pertama setiap hari Jumaat manakala pelajar Moral program pemantapan sahsiah. Bagi bulan Ramadhan ini pula, pengetua meminta agar rehat sekali sahaja untuk semua pelajar bukan Islam bagi semua tingkatan 5 , 4 dan 3. Begitu juga 1c dan 2c disesi pagi. Oleh itu warga Islam boleh menunaikan solat duha di surau secara serentak.
Tahun ini juga antara pembaharuan yg dijalankan oleh pengetua ialah bacaan tadarus Quran dari guru guru. Jika tahun lepas hanya tadarus dalam kalangan pelajar sahaja tetapi tahun ni guru diberikan juz Quran untuk dibaca mengikut kumpulan. Alhamdulillah geng ubk dapat menghabiskan juz 6 hari ini.

Doa Ramadhan ke 7:
Ya Allah! Bantulah daku untuk melaksanakan puasa dan ibadah malam . Jauhkanlah daku dari kelalaian dan segala dosa. dan rajinkanlah daku berzikir mengingatiMu, dengan TaufiqMu, Wahai Pemberi Petunjuk Orang-Orang Yang Sesat

23 June 2015

Analisis Peperiksaan Pertengahan Tahun SPM: Punca Pelajar Gagal

Analisis Peperiksaan Pertengahan Tahun SPM: Punca Pelajar Gagal

Pengetua telah memberi email kepada saya mengenai analisa peperiksaan pertengahan tahun. Pada mulanya saya membuat analisis kepada pelajar projek permata memandangkan saya penyelaras projek permata di sekolah. Alhamdulillah semua capai target 6A ke atas dengan 2 pelajar straight A, 7 pelajar nearmiss panggilan yang kita beri kepada pelajar yang mendapat 6 A dan ke atas dan subjek lain B sahaja. Hanya 2 pelajar yang mendapat 6A dan ada gred B dan C. Memandangkan pelajar projek permata ini mendapat keputusan yang baik...maka pengetua meminta saya membuat analisis kepada pelajar yang gagal. 

Seramai hampir 130 orang yang GAGAL atau tidak layak mendapat sijil SPM sekiranya peperiksaan pertengahan tahun menjadi kayu ukuran. Satu jumlah yang sangat besar memandangkan 130 / 270 calon SPM yang gagal. Orait pendekatan kaunseling untuk menganalisa permasalahan sebenar pelajar ini. Sebagai guru kaunseling kita lebih melihat permasalahan dari sudut masalah pembelajaran dan masalah peribadi untuk strategi menolong. 

Saya mengkategorikan 130 pelajar yang gagal dari aspek keberadaan di sekolah terlebih dahulu. Saya mengkategorikan pelajar yang mendapat surat amaran 1-2, surat amaran 3 dan dibuang sekolah dan pelajar yang mempunyai kehadiran yang baik iaitu kehadiran penuh ke sekolah sehingga 25 hari tidak hadir ke sekolah dari Januari hingga Mei. Maklumlah biasanya pelajar selalu dikaitkan dengan kehadiran ke sekolah yang rendah penyebab utama gagal dalam SPM namun dari analisis yang saya lakukan di dapati 102 pelajar mempunyai kehadiran yang agak baik iaitu dari kehadiran penuh hingga ke maksimum 20 hari tidak hadir ke sekolah dari Januari hingga Mei 2015. 10 orang pelajar mempunyai kehadiran yang sangat teruk hingga dibuang sekolah. 8 orang pula menerima surat amaran 2 dan 3. Dari 102 orang pelajar ini, saya mengendalikan kaunseling kelompok mengikut kategori kelas untuk mengenalpasti masalah pelajar. Bayangkan 2 tahun berada di tingkatan 4 dan 5 tetapi hasilnya ialah kelulusan PMR semata-mata kerana tidak layak mendapat sijil SPM. Pelajar juga mempunyai kehadiran yang agak baik tetapi mengapa GAGAL ? 

Hasil dari sesi kaunseling yang dijalankan menunjukkan pertambahan pelajar yang GAGAL kerana subjek Sejarah merupakan mata pelajaran WAJIB lulus dan GAGAL Sejarah SPM bererti GAGAL mendapat sijil SPM. Murid sedar bahawa mereka perlu lulus mata pelajaran ini tetapi mereka tidak berapa faham kaitan gagal Sejarah dengan kesan -kesan berlaku selepas ini. Walaupun mata pelajaran elektif atau subjek teras ada yang mendapat kredit atau A sekalipun, tetapi GAGAL dalam Sejarah atau Bahasa Malaysia atau kedua duanya sekali bermakna GAGAL SPM.  Gagal SPM bermakna kelayakan dan kelulusan akademik yang tertinggi hanyalah PMR !! Ini bermakna 2 tahun di menengah atas tiada hasil yang boleh dituai. Majoriti pelajar mengaku bahawa mereka tidak minat dengan subjek ini. Malah tiada inisiatif dari pihak pelajar sendiri untuk menghayati, membuat nota ulangkaji apatah lagi membuka dan membaca buku Sejarah di rumah. Mereka hanya semata-mata mengharapkan pengajaran guru di sekolah malah tamat sahaja pengajaran guru, maka buku Sejarah juga akan ditutup. Jika diberi kerja rumah, mereka membuat kerja rumah seperti pemahaman Bahasa Malaysia iaitu mengambil jawapan dari rencana setiap soalan yang perlu dijawab. Tiada inisiatif untuk memahami jalan cerita. Pelajar tidak faham Sejarah malah pelajar Cina dan India pula mengatakan mereka tidak faham Bahasa Malaysia dengan baik jadi mereka susah untuk memahami Sejarah dan kebanyakan pelajar ini juga mempunyai pakej GAGAL Bahasa Malaysia. 

Saya cuba membimbing pelajar mempunyai teknik yang menyeronokkan untuk membaca Sejarah dengan kesungguhan membuat nota berwarna warni atau perbincangan berkumpulan secara bercerita. Saya menyedarkan mereka bahawa subjek ini walau bosan bagaimana  sekali pun oleh pelajar perlu mempunyai sikap positif terlebih dahulu.Sikap positif yang akan membawa pelajar menerima subjek ini kerana ia merupakan kertas peperiksaan WAJIB LULUS dan antara tiket untuk mendapat atau layak menerima sijil SPM. Jika tidak, tiada gunanya duduk dua tahun di menengah atas tetapi kelulusan setara pelajar yang keciciran sekolah dan berhenti sekolah setelah tingkatan 3 sahaja. 

Menariknya bila deal dengan pelajar kelas lemah ini, mereka suka bersoal jawab. Ada yang mengatakan bahawa mereka dari kelas aliran yang lemah iaitu perdagangan memanglah GAGAL. Lainlah jika mereka dari kelas Sains atau Akaun. hello murid.. aliran kelas adalah label semata -mata kerana kecenderungan dan pencapaian anda selepas PMR. Tetapi apabila anda telah ditempatkan dalam aliran yang sesuai dengan kebolehan, maka jangan toleh ke belakang melihat untung nasib anda selepas PMR. Anda harus buat yang terbaik dengan usaha dan kudrat anda sendiri. Anda hanya perlu LULUS dalam SPM dan syarat kelulusan pula serendah 40 sahaja yang perlu disasarkan. Semua pelajar dari kelas sains hingga ke aliran vokasional mempunyai pakej fizikal yang lengkap dan dikurniakan minda. Yang membezakan ialah usaha bukan bezanya ialah aliran kelas! Semua pelajar LAYAK LULUS dengan usaha. 

Berkonfran dengan pelajar yang sudah membuat kerja luar kononnya untuk menambahkan pendapatan maklumlah pelajar di Kuala Lumpur ini memang suka bekerja part time kerana banyak kerja ditawarkan dan macam -macam jenis kerja! dengan gaji yang mereka rasakan telah lumayan mengatakan tidak perlu untuk LULUS SPM kerana mereka telah merasakan mendapatkan kerja dengan gaji yang bagus dan ada yang mewarisi kekayaan atau bisnes keluarga dan jasad sahaja ke sekolah kerana ibu bapa tidak mahu mereka duduk di rumah atau bekerja sepenuh masa sewaktu masih dalam umur persekolahan. Ada juga yang memang lemah penguasaan dalam semua mata pelajaran kerana memang tidak minat lagi dalam alam persekolahan dan hanya datang ke sekolah untuk kelas akademik sahaja kerana dipaksa oleh ibu bapa dan langsung tidak aktif dengan kokurikulum walaupun perjumpaan persatuan. Saya amat kasihan dengan pelajar jenis personaliti begini. Ibu bapa pula yang disalahkan. Ibu bapa telah menjalankan tanggungjawab dengan baik melahirkan, menjaga keperluan dan melindungi pelajar. Apa yang perlu pelajar jalankan adalah amanah kepada diri sendiri iaitu tanggungjawab kepada diri sendiri untuk menjadi dan menghasilkan keputusan peperiksaan untuk diri sendiri kerana ia kayu pengukur sejauh mana kamu belajar. Jika berjaya dalam hidup walaupun tanpa sijil SPM, tetapi berapa peratus sahaja  orang yang bernasib baik ! Malah orang yang bernasib baik ini pun selepas gagal SPM berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki nasib hidupnya selepas GAGAL SPM. Tetapi anda sekarang yang masih mempunyai masa untuk mengubah sikap, gunakan peluang yang anda sebelum TIADA PELUANG !  

Saya berharap setiap pelajar yang menjalani sesi kelompok ini dapat mempelajari dan berubah sikap untuk menghadapi peperiksaan percubaan SPM bulan Ogos nanti. Jika bukan 130 orang ini sekurang-kurangnya 50 orang boleh LULUS dalam peperiksaan percubaan SPM nanti. Guru mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Malaysia akan melakukan yang terbaik pula di part mereka untuk membantu pelajar. Tetapi bantuan akan berkesan dengan kesedaran dan usaha dipihak pelajar sendiri. Itu yang penting! 



Doa Ramadhan ke 6
Ya Allah, jangan hinakan daku  kerana perlakuan maksiat padaMu, hindarilah aku dari siksaanMu, jauhkan daku  dari perkara -perkara yang menyebabkan kemurkaMu, dengan anugerahMu dan bantuanMu, wahai puncak keinginan orang yang berharap.

 

Telegram Channel