Orait nak share kat sini.
MELINDUNGI
MASA INSTRUKSIONAL :
AMALAN OLEH GURU KAUNSELING SEKOLAH
Oleh
Nurhaiza Bt
Che Mat
Guru Kaunseling
SMK Cheras
Amalan guru
kaunseling dalam melindungi masa instruksional lebih dilihat sebagai suatu
proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid berbentuk arahan,
tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan melalui ceramah, taklimat dan sesi
kaunseling yang membolehkan murid belajar secara lebih berkesan untuk
meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid dalam aspek yang lebih menyeluruh
bukan sahaja dalam perkembangan akademik tetapi juga peribadi, kemasyarakatan,
sosial dan vokasional. Oleh kerana itu peranan guru kaunseling tidak boleh
dilihat sebagai guru ganti semata – mata dan guru pilihan pertama untuk
menggantikan guru mata pelajaran yang tidak hadir untuk pengajaran akademik. Jumlah
masa menggantikan guru mata pelajaran dalam seminggu hendaklah memadai 5 masa
seminggu dan tidak keterlaluan sehingga melebihi 10 masa seminggu. Ini kerana
guru kaunseling juga mempunyai masa instruksional terhadap perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling yang perlu dilindungi dan menjalankan sesi bimbingan
dan kaunseling individu mahupun kelompok di bilik kaunseling. Perkhidmatan ini
tidak boleh digantikan dengan guru akademik. Guru kaunseling juga terlibat
dalam perlaksanaan modul kaunseling yang
tersendiri dengan aktiviti bimbingan kelas apabila menjadi guru ganti. Selain
itu, guru kaunseling juga perlu menjalankan program yang bersesuaian untuk masalah disiplin dan sahsiah pelajar bagi
meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid. Unit bimbingan dan kaunseling mempunyai
perancangan tahunan dan masa instruksional yang meliputi akademik, peribadi, psikososial,
kerjaya, keibubapaan, pembangunan diri, pencegahan dadah dan HIV untuk memastikan murid belajar dengan lebih
berkesan dalam aspek yang menyeluruh. Dalam melaksanakan perancangan tahunan
ini, masa instruksional guru kaunseling juga perlu dilindungi dan dalam masa
yang sama membantu pihak sekolah melindungi masa instruksional guru mata
pelajaran.
PENDAHULUAN
Masa instruksional bermaksud suatu
proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid berbentuk arahan,
tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan atau bentuk lain bertujuan
membolehkan murid belajar secara lebih berkesan manakala melindungi masa instruksional
di sekolah untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid bermaksud
pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa halangan bagi mencapai
objektif yang disasarkan untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid. Amla
Salleh, Zuria Mahmud dan Salleh Amat (2006) menyatakan bahawa rasional
penubuhan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah ialah kerana tugas
hakiki guru mata pelajaran ialah mengajar dan tumpuan utama mereka menyampaikan
pengetahuan atau membina perkembangan minda pelajar sahaja dan tidak banyak
masa yang digunakan untuk membantu pelajar secara langsung tentang perkara – perkara
yang tidak berkaitan dengan pembelajaran . Oleh itu guru kaunseling ditugaskan
dengan program yang tersusun untuk membantu pelajar dalam aspek fizikal mahupun
psikososial. Suradi Salim (1996) menekankan antara sebab mengapa perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling perlu diadakan dan dikukuhkan di sekolah ialah
membantu pelajar berkembang dalam semua bidang, menolong pelajar membuat
penyesuaian yang paling baik di sekolah dan di luar sekolah, mengenal pasti dan
memotivasikan pelajar yang kurang bernasib baik dan mengatasi masalah
kemerosotan disiplin. Oleh itu guru kaunseling membantu meningkatkan
keberhasilan pembelajaran murid dan melindungi masa instruksional di sekolah.
LATAR
BELAKANG DAN KAJIAN LITERATUR
Sekolah
Menengah Kebangsaan Cheras merupakan sekolah menengah harian biasa di Kuala
Lumpur. Sekolah merangka masa instruksional yang ideal, namun masa berkenaan
tidak sepenuhnya menjanjikan pembelajaran berkesan kerana faktor gangguan
tertentu yang berlaku di sekolah atau dalam bilik darjah seperti guru mata
pelajaran menghadiri kursus atau mesyuarat di luar atau mengiringi murid dalam
akademik. Oleh itu guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranan dalam
membantu meningkatkan keberhasilan pembelajaran pelajar dengan meningkatkan
masa instruksional di antara guru kaunseling dengan pelajar dan membantu pihak
sekolah melindungi masa instruksional guru lain dengan perancangan awal dari
unit kaunseling. Namun demikian, guru kaunseling juga mempunyai masa
instruksional terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang perlu
dilindungi dan menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling individu mahupun
kelompok di bilik kaunseling. Perkhidmatan ini tidak boleh digantikan dengan
guru akademik. Oleh kerana itu peranan guru kaunseling tidak boleh dilihat
sebagai guru ganti semata – mata dan guru pilihan pertama untuk menggantikan
guru mata pelajaran yang tidak hadir untuk pengajaran akademik. Jumlah masa
menggantikan guru mata pelajaran dalam seminggu hendaklah memadai 5 masa
seminggu dan tidak keterlaluan sehingga melebihi 10 masa seminggu. Dari aspek
faktor murid pula, murid tidak bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk
menghadapi pembelajaran instruksional pada hari tersebut. Mohamed Fadzil Che
Din (2000) menjelaskan dimensi kaunseling merupakan satu proses yang mempunyai
peringkat tertentu, teknik dan teori tertentu, ada kaunselor dan klien serta
alat kaunseling, mempunyai jangka masa dan ketertiban, setiap peringkat ada
perubahan dan dilakukan secara sistematik.
Ia bertujuan untuk meningkatkan masa instruksional pelajar di sekolah
agar dapat bersedia menerima pembelajaran.
OBJEKTIF
1) Memastikan masa dimanfaatkan dengan
aktiviti pembelajaran yang berfaedah serta mampu menyumbang ke arah
memperkembangkan minda dan menggilap potensi murid.
2)
Membantu murid mendapat sesuatu input
atau faedah semasa ketiadaan guru mata pelajaran.
3)
Masalah disiplin murid semasa pengajaran
dan pembelajaran dalam kelas diminimakan agar dapat membantu perlaksanaan masa
instruksional yang lebih berkesan bagi memperbaiki imej diri yang negatif.
4)
Memberi atau memberi jalan agar pelajar dapat mengurus
dirinya sendiri sama ada dari segi mental, emosi, kerohanian dan tingkah
lakunya dan meningkatkan keberhasilan pembelajarannya.
AMALAN
TERBAIK BERDASARKAN OBJEKTIF
1)
Kelas
ganti berdasarkan modul kaunseling yang terancang.
Guru
kaunseling sering menerima kelas ganti bagi kes kecemasan seperti menggantikan
guru yang mempunyai kes kecemasan dan guru penolong kanan yang mempunyai urusan
dengan ibu bapa dan tetamu yang lain di pejabat. Perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling yang merangkumi akademik, kerjaya, pembangunan diri murid,
psikososial, pendidikan pencegahan dadah dapat dijalankan dengan terancang
melalui perancangan modul kelas bimbingan kepada pelajar mengikut tingkatan.
2)Gabungan
kelas
Apabila
sudah diketahui pada satu tarikh yang ditentukan, ramai guru yang terlibat
dengan aktiviti luar hingga mencecah 10 orang dalam satu sesi persekolahan,
guru kaunseling akan merancang program di dewan dan menjalankan sesi ceramah
kepada beberapa kelas yang digabungkan agar dapat mengelakkan pelajar berada di
dalam kelas tanpa guru.
3) Bekerjasama
dengan AJK Pengurusan Jadual Waktu Ganti Kelas untuk mengatur kelas ganti bagi guru kaunseling menjalankan aktiviti
untuk sesuatu program tertentu.
Guru
kaunseling boleh berbincang dengan jawatankuasa sekolah untuk melibatkan diri
dengan aktiviti pelajar dalam kelas bagi kelas yang memerlukan guru ganti
terutama untuk minggu tertentu seperti menjalankan saringan minda sihat untuk
semua pelajar tingkatan empat dalam minggu tersebut, halatuju selepas SPM
kepada semua pelajar tingkatan lima sewaktu minggu kerjaya dan sebagainya. Oleh
itu selain melindungi masa instruksional pelajar dalam akademik, guru
kaunseling dapat menjalankan masa instruksionalnya.
4) Kajian
tindakan yang dijalankan oleh guru kaunseling mengenai keberkesanan buku rekod
kawalan kelas dan tindakan susulan oleh guru kaunseling dari laporan dalam buku
rekod kawalan kelas
Buku
rekod kawalan kelas merekodkan kehadiran murid dan guru semasa pengajaran dan
pembelajaran. Ia mencatatkan nama murid yang tidak hadir dan murid yang ponteng
sekolah. Ia juga penanda aras yang penting bagi mengesan kehadiran guru dalam
bilik darjah. Guru kaunseling akan mengesan nama murid yang tiada di dalam
kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berlangsung dan
menjalankan sesi kaunseling individu bagi pelajar yang ponteng kelas dan
bermasalah. Guru disiplin pula akan menghukum pelajar yang mempunyai salah
laku. Hasil kajian tindakan yang dijalankan menunjukkan buku kawalan kelas
adalah satu dokumen penting yang merekodkan kehadiran guru dan salah laku
pelajar. Guru mata pelajaran yang prihatin dengan pengurusan buku rekod kawalan
kelas dengan memastikan bilangan pelajar, masalah pelajar lewat masuk kelas dan
salah laku pelajar akan membantu dari aspek penurunan bilangan pelajar yang
bermasalah dan melindungi masa instruksional guru mata pelajaran mengurus
disiplin pelajar.
5) Memenuhi
masa instruksional Kelab Kerjaya dan Pembimbing Rakan Sebaya
Purata kekerapan perjumpaan kelab ialah 12
kali setahun mengikut jadual kokurikulum yang dirancang. Masa yang
diperuntukkan telah digunakan oleh sekolah bagi tujuan memenuhi masa instruksional
kegiatan kokurikulum. Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
murid-murid perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara
menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu di peringkat Kelab Kerjaya dan
Pembimbing Rakan Sebaya di bawah Unit Bimbingan Kaunseling menyediakan pelbagai
aktiviti menarik agar dapat menarik minat pelajar dan mencungkil potensi
pelajar agar dapat disesuaikan dengan minat dan bakat murid itu sendiri.
6) Memenuhi masa instruksional semasa
acara rasmi sekolah dengan murid memberikan tumpuan kepada acara yang
berlangsung. Banyak nilai murni yang berkaitan dapat diterapkan.
Unit
Bimbingan Dan Kaunseling menjalankan aktiviti mentor mantee pada hari Isnin mengambil masa perhimpunan agar
dapat memupuk budaya penyayang dengan sifat kasih sayang dalam keadaan tidak
formal dalam kalangan guru dan pelajar dan menyemai sikap hormati guru. Nilai
murni pula disampaikan pada setiap hari Khamis untuk slot kaunseling dan
disiplin sewaktu perhimpunan pagi sebelum masuk ke kelas.
7) Bagi sekolah yang murid tidak
cemerlang, pihak sekolah bermasalah dengan kehadiran murid jika bengkel pemantapan
disiplin dan sahsiah dibuat di sebelah petang.
Guru
kaunseling menjalankan sesi kaunseling sewaktu masa persekolahan. Ini kerana bagi
kes pelajar bermasalah disiplin, masa instruksional yang sesuai untuk
menjalankan sesi kaunseling adalah sewaktu masa persekolahan kerana mereka
bersedia untuk menerima kaunseling berbanding selepas waktu persekolahan.
Begitu juga untuk aktiviti program dan bengkel berkaitan sahsiah dan disiplin,
akan diadakan sewaktu masa persekolahan kerana pihak unit bimbingan dan
kaunseling percaya bahawa masa instruktional pelajar di dalam kelas akan lebih
baik dan berkesan jika masalah dalam diri pelajar itu dapat dibantu terlebih
dahulu untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran mereka.
8 8) Mewujudkan
media sosial.
Blog
ialah laman web yang dikendalikan dengan entri yang kerap dan sentiasa
dikemaskini oleh penilik blog. Entri berbentuk penerangan mengenai peristiwa,
bahan grafik atau video. Penggunaan teknologi menerusi blog dapat membantu
murid berhubung cara online dengan guru-guru kaunseling. Facebook unit
bimbingan dan kaunseling, page unit bimbingan dan kaunseling dan blog unit
bimbingan dan kaunseling ialah medium penting dalam menghubungkan guru kaunseling
dengan para pelajar dan bukannya menggunakan media sosial peribadi. Nazir SKPM yang
datang melawat UBK pada tahun 2012 telah memberikan band 6 kepada Unit
Bimbingan Dan Kaunseling kerana inovasi menggunakan media sosial ini yang belum
lagi meluas penggunaannya dalam kalangan unit kaunseling sekolah lain ketika
ini.
9) Bekerjasama dengan ibu bapa bagi
urusan menghantar dan mengiring pasukan sekolah
sesuai dengan bidang khidmat
bantu kepada sekolah melalui Sarana Ibu Bapa dan Komuniti
Apabila
guru kaunseling terlibat dalam mengira data soal selidik sarana sekolah dan ibu
bapa, guru kaunseling dapat mengenal pasti ibubapa yang berminat untuk membantu
pihak sekolah berdasarkan Soal Selidik Sarana Ibu Bapa. Oleh itu guru
kaunseling menghubungi ibu bapa yang dapat membantu untuk urusan menghantar dan
mengambil pelajar. Ini kerana pada masa kini, apabila murid menjadi peserta
kursus atau ceramah, guru tidak perlu turut serta hanya perlu mengambil dan
menghantar peserta sahaja ke sesuatu kursus. Perjalanan sahaja boleh mengambil
masa sehingga 2 jam urusan pergi dan balik ke tempat berkursus. Oleh itu dengan
cara ini guru dapat melindungi masa instruksionalnya dan berada di sekolah.
DAPATAN
AMALAN
1) Unit
kaunseling dapat melindungi masa instruktionalnya berpandukan rancangan tahunan
unit bimbingan dan kaunseling dengan menjalankan silibus dan modul mengenai
bidang akademik, kerjaya, psikososial, keibubapaan, pembangunan diri dan
pendidikan pencegahan dadah untuk para pelajar.
2) Mengelakkan
kelas tiada guru dan menggabungkan kelas – kelas di dewan agar dapat mengadakan
aktiviti berbentuk ceramah dan taklimat mengenai halatuju pelajar, kemahiran
belajar dan sebagainya untuk sekurang-kurangnya 2 masa pengajaran.
3) Hasil
dari kajian tindakan guru kaunseling untuk meningkatkan disiplin pelajar, maka
buku rekod kawalan kelas digunakan dengan lebih berkesan. Untuk mengelakkan
buku tersebut hilang, diwujudkan buku kawalan kelas berdasarkan bulan dan ruang
diwujudkan untuk bahagian tindakan dan hukuman untuk rekod.
4) Sekiranya
masalah disiplin pelajar dapat diatasi, maka pembelajaran instruksional akan
meningkat kerana kurang masa digunakan oleh guru mengurus disiplin pelajar
tersebut.
5) Melalui
media sosial, guru kaunseling akan mendapatkan maklumat awal mengenai
pelajar
dan sekaligus membantu pelajar melindungi masa instruktional pelajar tersebut
dalam akademik.
6) Apabila
masa instruksional kelab dan persatuan terjaga, maka objektif untuk penubuhan
kelab dan persatuan itu sendiri tercapai. Kelab Kerjaya merupakan antara kelab
yang diiktiraf sebagai teraktif di sekolah selama 3 tahun berturut dengan
pencapaian yang baik di peringkat Zon Pudu.
7) Ibu
bapa memberikan kerjasama seperti yang terkandung dalam Sarana Ibu Bapa apabila
diminta oleh guru kaunseling untuk tujuan menghantar dan mengambil pelajar yang
terlibat dengan program di luar. Oleh itu ia menjimatkan bilangan guru yang
terlibat untuk urusan menghantar dan mengambil pelajar dan seterusnya membantu
melindungi masa instruktional guru tersebut dalam pembelajaran di sekolah.
CADANGAN
1) Bekerjasama
dengan Jawatankuasa Jadual Guru Ganti Sekolah untuk memberikan guru kaunseling kelas
ganti bagi memenuhi masa instruktional guru kaunseling dalam perlaksanaan
modul. Apabila Jawatankuasa tersebut memahami keperluan perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling maka kelas ganti yang diberikan adalah dari kelas yang berbeza
atau kelas yang diperlukan oleh guru kaunseling dalam minggu tersebut untuk
menjalankan modul dan bukannya menggunakan modul guru mata pelajaran
semata-mata. Ini untuk mengelakkan guru kaunseling dieksploitasikan untuk
dijadikan guru ganti pilihan pertama semata – mata hingga ada sekolah yang
mencecah 10-15 masa seminggu walhal sesi kaunseling individu dan kelompok juga merupakan masa instruksional guru
kaunseling di bilik kaunseling.
2) Melalui
penggunaan VLE-Frog, guru kaunseling mempunyai site sendiri untuk Unit
Kaunseling dan site untuk setiap guru kaunseling.
Setiap
pelajar mempunyai kata laluan untuk menggunakan VLE-Frog sebagai satu medium
rasmi dalam sekolah dan ini menggalakkan pelajar untuk menyampaikan masalah
mereka kepada guru kaunseling melalui e-mail rasmi dan membantu pelajar melalui
interaksi di alam maya . Ini melindungi masa instruktional pelajar tersebut dalam
aktiviti mata pelajaran di sekolah. Guru kaunseling akan mengatur pertemuan
dengan pelajar jika masalah perlu dirujuk secara bersemuka.
3) Selaku
penyelaras Sarana Ibu Bapa dan Sekolah yang dilantik, guru kaunseling boleh menggerakkan
jawatankuasa sokongan ibu bapa untuk membantu
pihak sekolah dalam aspek khidmat bantu kepada pihak sekolah. Guru kaunseling
dapat mengenal pasti ibu bapa yang sanggup meluangkan masa untuk aktiviti
khidmat bantu di sekolah dan menyimpan data ibu bapa tersebut untuk dihubungi
terutama dalam aspek mengiringi murid dalam aktiviti luar bilik darjah.
4) Terlibat
dengan Operasi Lewat dan dapat mengenalpasti dengan segera pelajar yang sering
terlibat dengan masalah lewat ke sekolah sehingga menggangu masa instruktional
pelajar itu dan guru mata pelajaran sendiri dan khidmat membantu dapat
dijalankan.
KESIMPULAN
Guru
kaunseling juga mempunyai masa instruksionalnya yang perlu dilindungi mengikut
perancangan tahunannya. Kebanyakan guru atau pentadbir hanya memikirkan
mengenai masa instruktional adalah di antara masa pelajar dengan mata pelajaran
semata-mata. Oleh kerana itu terdapat sekolah yang tidak membenarkan guru
kaunseling menjalankan sesi kaunseling bersama pelajar atau mempersoalkan
mengenai keperluan menjalankan program ceramah atau taklimat sewaktu masa
pembelajaran akademik. Oleh itu diharapkan melalui penulisan artikel ini,
amalan guru kaunseling dalam melindungi masa instruktional lebih dilihat
sebagai suatu proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid
berbentuk arahan, tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan melalui ceramah,
taklimat dan sesi kaunseling membolehkan murid belajar secara lebih berkesan
untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid dalam aspek yang lebih
menyeluruh bukan sahaja dalam perkembangan akademik tetapi juga peribadi,
kemasyarakatan, sosial dan vokasional.
RUJUKAN
Amla Salleh, Zuria Mahmud dan Salleh Amat (2006), Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah.
Selangor: UKM.
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,(2013). Sarana
Ibu bapa. Putrajaya: KPM
Mohamed Fadzil Che Din,(2012). Pengenalan Kaunseling. Kota Bharu: Excellent Mind Resources
Suradi Salim.(1996). Bimbingan Dan Kaunseling. Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd